Sunday, August 17, 2008

Pantai khas untuk wanita di Mesir

Pantai khas untuk wanita di Mesir

MARINA, Mesir 16 Ogos - Wanita Mesir yang menutup aurat kini boleh menanggalkan tudung dan memakai bikini di pantai yang dikhaskan untuk mereka di sebuah pusat peranginan di sini.Pantai bergelar La Femme dalam bahasa Perancis yang bermaksud 'Wanita' yang dibuka khas di sebuah pusat peranginan mewah itu hanya dikhaskan untuk kaum wanita dan kanak-kanak.

"Idea untuk mewujudkan pantai khas untuk kaum wanita ini sangat mengagumkan kerana kami mempunyai alternatif untuk mandi-manda di laut dan berjemur di pantai," kata seorang pengunjung La Femme, Safa.

Kebanyakan pengunjung pantai ini bagaimanapun terdiri dari golongan kelas menengah dan atasan seperti Safa kerana ia mengenakan caj yang agak tinggi.

Yuran masuk ke kelab eksklusif ini ialah AS$14 (RM46) pada hari biasa dan AS$16 (RM53) pada hari Sabtu dan Ahad atau pada cuti umum.

Menurut Safa, walaupun terpaksa membayar pada harga yang mahal, dia sangat gembira kerana tidak lagi bimbang untuk mandi di laut dan memikirkan apa yang perlu dipakai bagi melindungi pandangan lelaki.

Pengusaha pantai khas itu, Walid Mustafa berkata, idea untuk mewujudkan pantai itu lahir selepas menyedari kehendak wanita dalam masyarakat konservatif di Mesir.

"Ketika ini, dianggarkan hampir 80 peratus penduduk wanita yang beragama Islam di negara ini menutup aurat.

"Namun mereka juga mahu bersantai di pantai dan bebas dari pandangan lelaki,'' tegasnya.

- AFP

No comments: