Wednesday, August 6, 2008

IPTA/IPTS disaran giatkan program kajian


KUALA LUMPUR 1 Ogos - Semua Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) di negara ini disaran menggiatkan usaha program kajian bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam sektor penyelidikan negara.

Presiden Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Tan Sri Datuk Dr. Abu Bakar Suleiman berkata, saranan itu perlu disahut setiap IPTA dan IPTS di seluruh negara terutama dalam bidang perubatan dan kesihatan memandangkan negara kini masih kekurangan tenaga mahir dalam sektor terbabit.

''Berbanding di negara luar seperti Jepun dan Singapura, Malaysia hanya mempunyai seramai 17,790 ahli kajian setakat tahun 2002.

''Daripada jumlah tersebut, setakat ini, hanya 11,000 ahli kajian yang menjalankan kajian sepenuh masa, sedangkan ahli kajian di negara luar kian bertambah dari tahun ke tahun,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Ucaptama Seminar 'Celebration Of Research', Strengthening Linkage In Research' di IMU, Kampus Bukit Jalil, di sini hari ini.

Menurut beliau, walaupun kerajaan memberi sokongan penuh termasuk menyediakan peruntukan, namun ia belum dapat menjamin kualiti sesebuah kajian yang dijalankan berikutan kekurangan tenaga mahir dalam bidang penyelidikan perubatan.

''Jika ada peruntukan pun, tetapi negara masih kurang tenaga mahir, sudah tentu hasil kajian juga tidak sampai kepada tahap yang memuaskan, tidak kira apa jua kajian yang dibuat.

''Hal ini perlu ditangani segera kerana saya percaya ia dilihat boleh membantutkan kepentingan kemajuan negara,'' katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, selain mengembangkan jalinan usaha sama dengan universiti luar negara, universiti tempatan juga disaran untuk meningkatkan kualiti akademik pelajar-pelajar menerusi bahan pengajaran dan kaedah pembelajaran.

Selain itu, katanya, tenaga pengajar di setiap IPTA juga harus terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan dalam bidang penyelidikan hingga peringkat doktor falsafah bagi membantu usaha tersebut.

Terdahulu, seramai 80 pelajar perubatan IMU hadir pada seminar sehari tersebut.

Antara panel jemputan yang hadir adalah Pengarah Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan, Dr. Maimunah Abdul Hamid, Pengarah Pembangunan Produk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Kalanithi Naseretnam dan Pengarah Bioteknologi Kebangsaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovatif, Prof. Datuk Dr. Mohammed Noor Embi.

No comments: