Thursday, August 28, 2008

Cabaran pembangunan Orang Asli


MEMPERKATAKAN status dan hak bumiputera, umum lebih tertumpu kepada hak dan kedudukan orang Melayu serta sukuan etnik di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, hak dan kedudukan Orang Asli jarang mendapat tempat dalam kebanyakan perbincangan dan pembelaan hak di semua peringkat.

Apa lagi untuk mendapat ruang dalam liputan media arus perdana. Satu-satunya medium maklumat ‘konvensional’ mengenai Orang Asli negara ini ialah saluran khas siaran Radio Orang Asli oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) melalui saluran Asyik FM.

Lazimnya pula, isu-isu mengenai masyarakat Orang Asli hanya mendapat tempat di kalangan pemimpin dan media apabila menjelang pilihan raya.

Jadi tidak hairanlah sambutan Hari Orang Asli Sedunia pada setiap 9 Ogos jarang malah tidak pernah diraikan secara meriah dan menyeluruh sama ada di peringkat kebangsaan, negeri, daerah apa lagi di perkampungan.

Malah mungkin tidak pernah terdengar sambutan dan perayaan khas bagi masyarakat Orang Asli negara ini sebagaimana sambutan Hari Gawai untuk peribumi di Sarawak dan Hari Kaamatan bagi bumiputera di Sabah.

Untuk masyarakat bumiputera Melayu, sudah termaklum dengan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban – dua perayaan tetap dalam kalendar Islam yang disambut penuh meriah sama di peringkat individu, keluarga, kampung, daerah, negeri mahupun negara.

Sedangkan kewujudan peribumi Orang Asli di bawah Akta 134: Akta Orang Asli 1954 sudah termaktub dalam perlembagaan sejak sekian lama.

“Hak dan status kewarganegaraan Orang Asli di negara ini tidak boleh siapa pun mempertikaikan,” kata Fello Pusat Pengajian Pribumi Malaysia (PPPM) Universiti Malaya (UM), Yahya Awang.

Begitu pun kata mantan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) itu, status kedudukan bumiputera bagi Orang Asli di negara ini tidak begitu jelas.

Paling bermasalah apabila hak milik tanah yang menjadi warisan Orang Asli dalam peruntukan di bawah kerajaan negeri-negeri, perlu dirujuk kepada Kerajaan Pusat untuk status, pengiktirafan dan kelulusan, jelasnya.

Yahya berkata demikian dalam sesi panel perbincangan mengenai ‘Sejarah Perkembangan JHEOA’ pada Seminar Pembangunan Orang Asli: Cabaran dan Kejayaan di UM pada 19 Ogos lalu.

Seminar sehari itu adalah antara usaha institusi pengajian tinggi awam berkenaan untuk meraikan sambutan Hari Orang Asli Sedunia di samping membela, mengiktiraf dan mengetengahkan peranan golongan minoriti bumiputera dalam negara ini kepada umum.

Program kelolaan PPPM UM yang berlangsung di dewan kuliah A Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM itu diadakan sempena Sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2008.

Seramai lapan ahli panel terdiri daripada ahli akademik, pentadbir dan penggiat masyarakat dari kalangan komuniti Orang Asli terlibat dalam perbincangan dan pembentangan yang berlangsung dalam dua sesi itu.

Walaupun ia bukanlah bersifat pesta perayaan, tetapi seminar yang dikendalikan oleh PPPM UM itu merupakan usaha jangka panjang bagi memartabatkan peranan Orang Asli dalam kemerdekaan dan pembangunan negara.

Namun dengan bilangan penduduk Orang Asli negara ini yang hanya berjumlah sekitar 141,000 orang, menjadikan mereka peribumi minoriti yang terus terpinggir dan dipinggirkan.

Sumbangan masyarakat Orang Asli bagaimanapun kata Prof. Dr. Wan Zawawi Ibrahim selaku moderator pada sesi perbincangan pertama seminar tersebut, adalah ‘jasa yang belum terbalas’ oleh negara dan rakyat Malaysia.

Ini kerana tegas beliau, perjuangan dan pengorbanan rakyat peribumi Orang Asli terhadap kemerdekaan dan pembangunan negara bukan sedikit.

“Oleh itu agenda pembangunan negara perlu diusahakan pasca–Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi menumpukan kepada pribumi minoriti, Orang Asli terutamanya,” tegasnya.

Dalam hubungan ini kata Wan Zawawi, membangun dan membela hak serta kepentingan Orang Asli bukan hanya tanggungjawab JHEOA, tetapi melibatkan semua agensi pembangunan negara dan rakyat.

Masyarakat minoriti Orang Asli menurut beliau, bukan hanya perlu pembelaan dan diberi hak pada memilik tanah warisan tetapi lebih penting lagi adalah pendidikan.

“Hak pemilikan tanah warisan tidak boleh diketepikan tetapi pendidikan adalah ruang mobilisasi terpenting bagi jaminan masa depan kehidupan Orang Asli,” tegasnya.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim berkata, peranan dan sumbangan Orang Asli paling besar terutama dalam menjayakan kemerdekaan negara.

“Pasukan Senoi Praaq memainkan peranan penting dalam mempermudahkan kejayaan negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957,” katanya.

Teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Prof. Mohd. Siden Ishak. UM kata Rafiah, komited mengenai nasib, perjuangan dan hak Orang Asli negara apabila menjadi satu-satunya universiti yang mewujudkan Pusat Penyelidikan Pribumi Malaysia dengan Orang Asli sebagai fokus.

Tradisi penyelidikan ke atas masyarakat minoriti Orang Asli dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan ini akan turus dipertingkatkan oleh UM melalui PPPM, jelasnya.

“Usaha ini penting bagi melihat, mengenali, memahami, membongkar dan seterusnya mendedahkan kepada umum mengenai nilai serta masalah mereka kepada umum secara menyeluruh,” kata Rafiah.

Usaha berterusan itu tegas beliau, penting supaya seluruh rakyat faham dan kenal Orang Asli sebagai peribumi Malaysia secara lebih dekat.

Rakyat dan kerajaan katanya, perlu melihat dan menilai dengan adil mengenai perjuangan, cabaran dan masalah yang telah, sedang dan akan dilalui oleh Orang Asli agar mereka mendapat hak pembelaan serta tempat

No comments: