Wednesday, August 6, 2008

Persidangan penyelidikan dunia di Malaysia


BAGI memperkasakan lagi perkembangan tekonologi di negara ini, satu persidangan antarbangsa yang meliputi sesi suai padan perniagaan dan pameran teknologi SIRIM-WAITRO pada 12 hingga 14 Ogos ini.

Penganjuran persidangan itu adalah bersempena Perhimpunan Agung dan Kongres Dwi Tahunan Pertubuhan Penyelidikan Gunaan Sedunia (WAITRO) ke-19 yang dengan Malaysia selaku tuan rumah.

Sesuai dengan tema persidangan kali ini, ‘Mengaplikasikan Inovasi Teknologi ke arah Keuntungan’, persidangan tersebut merupakan platform terbaik bagi peserta menerokai konsep, strategi, model, proses dan alat inovasi teknologi untuk tujuan pengkomersialan.

Menurut Naib Presiden Bahagian Penyelidikan dan Teknologi Sirim Berhad, Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof persidangan tiga hari itu juga akan diisi dengan pelbagai program antaranya, pembentangan idea-idea baru dalam membiayai mekanisme dan sumber bagi merangsang pembangunan inovasi.

“Hasil penglibatan peserta dari luar negara juga diyakini membuka peluang untuk para peserta berkongsi idea dan kaedah terbaik untuk memupuk semangat keusahawanan dalam mengendalikan perniagaan berkaitan,’’ katanya.

Sementara itu, persidangan tersebut menyasarkan penglibatan serta penyertaan dari wakil-wakil syarikat swasta, ahli perniagaan, pihak universiti, badan kerajaan, entiti dan institusi penyelidikan yang terlibat dalam sistem pembangunan inovasi.

Peserta akan berpeluang untuk berinteraksi dengan menyertai sendiri pameran dan program khas yang diwujudkan iaitu sesi suai padan perniagaan.

Penganjuran pameran tersebut disasarkan bagi penyelidik tempatan, antarabangsa serta penggiat industri untuk mempamerkan produk, perkhidmatan mahupun teknologi mereka berteraskan tema penganjuran.

Ini merupakan peluang keemasan bagi peserta untuk melebarkan teknologi serta mempromosi produk masing-masing kepada hadirin serta delegasi antarabangsa yang hadir ke persidangan ini.

Ia juga merupakan platform yang terbaik bagi mencipta kesedaran pasaran dan penyelidikan dalam pembangunan pencarian produk mahupun teknologi terbaru bagi dimanfaat bersama.

Lebih menarik, menerusi penyertaan persidangan dan pameran tersebut, para peserta berpeluang untuk mengikuti sesi suai padan perniagaan.

Menerusi program khas tersebut, dijangkakan peserta berpeluang untuk membina serta mewujudkan hubungan rangkaian antara penggiat serta pencipta teknologi dari seluruh dunia.

Ia yang bertindak sebagai platform pelebaran teknologi berteraskan perniagaan itu berupaya untuk membantu para peserta bagi mengenal pasti syarikat mahupun rakan kongsi yang berpotensi untuk menjana keuntungan menerusi perluasan teknologi.

Secara tidak langsung, rangkaian perniagaan dapat diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa sekali gus memperkasakan individu ,organisasi dan juga industri perkembangan teknologi negara.

Bagi yang berminat untuk menyertai persidangan tersebut, maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web www.sirim-waitro2008.com.

No comments: