Thursday, August 28, 2008

Untuk golongan profesional


Barangkali tidak terlalu susah hendak membuat penilaian apabila menghadap komputer bimbit ini kerana segalanya bagaikan lengkap mengikut kehendak pengguna.

Dengan kemasan kulit sebelah luar dan warna hitam yang menawan, pastinya pemilik model ini mementingkan gaya dan kepuasan. Meskipun agak berat sedikit, tetapi kepuasan memiliki model BenQ model Joybook 45 ini akan hanya dirasai apabila memilikinya.

Dengan penggunaan touchpad berbutang untuk klik sebagai alternatif kepada tetikus, penggunaan model ini lebih mudah dan sempurna untuk navigasi, dan memilih fungsi yang dikehendaki semasa menggunakannya.

Model ini juga dilengkapi dengan mikrofon terbina dalam, untuk rakaman suara dan kamera web 2 megapiksel untuk mengambil gambar statik, merakam video dan sembang secara online.

Pengguna juga hanya perlu menekan butang bagi mengaktifkan penggunaan WLAN untuk sambungan tanpa wayar dan USB 2.0 untuk kamera, pemain MP3 dan kamera digital.

Paparan skrin 340 x 26 x 27.5mm mungkin masih dianggap lebar dengan berat lebih dua kilogram tetapi bukanlah menjadi masalah bagi mereka yang tidak memikirkan sangat aspek fizikal luaran sebaliknya menambah kepuasan untuk aplikasi hiburan dan sembang maya.

Dengan cip pemproses Intel 2 Core Duo yang menawarkan kepantasan, pastinya prestasi kerja lebih membanggakan di samping sistem operasi Windows Vista yang tentunya menjadi pilihan pengguna.

Mungkin seindah namanya, beberapa spesifikasi lain dengan juga tentunya sebagai daya penarik termasuk ikon Qmedia yang memudahkan aplikasi seperti e-mel, dan aplikasi DVD dan kamera web. Klik sahaja pada ikon tersebut pada skrin untuk menggunakan mana-mana aplikasi dan sedikit bunyi unik akan dikeluarkan.

Cepat panas

Dengan beberapa kelebihan yang dinyatakan pastinya pengguna yang biasa menggunakan telefon bimbit akan teruja memilikinya tetapi bagi mereka yang masih agak canggung untuk memanfaatkan sekian banyak aplikasi di dalamnya akan berasakan ia terlalu kompleks dan cerewet.

Tambahan pula komputer riba ini cepat panas dan terasa pada papan kekunci semasa menggunakannya.

Mungkin timbul sedikit kebimbangan mengenai masalah ini tetapi ada beberapa pesanan dalam manual panduan untuk mengatasinya. Hanya agak rumit apabila meribanya atau meletakkan di atas katil atau sebarang objek yang sensitif terhadap suhu panas.

Dengan kecerahan warna pada monitor , dan paparan ikon yang menarik, tidak ada sebab bagi pengguna profesional menafikan keunggulan model ini yang memang istimewa dalam kelasnya.

Dengan harga RM2,699, tidak ada sebab untuk menolak mencubanya . Biarkan selera anda menilainya.

No comments: