Wednesday, August 6, 2008

Promosi pelukis Malaysia di London


Oleh ABD. AZIZ ITAR
(Yang membuat liputan Minggu Malaysia ‘08 di London, United Kingdom, baru-baru ini)


S. AMIN Shahab menjadikan London Bridge yang menjadi tumpuan pelancong dalam lukisannya, The 1 Kilometre World.

PERANAN Balai Seni Lukis Negara (BSLN) di Kuala Lumpur bukan setakat mempamerkan hasil-hasil karya para pelukis tanah air untuk tatapan para pengunjung tempatan dan juga luar negara semata-mata.

Sebaliknya, peranan yang telah dimainkan oleh balai itu sejak 50 tahun lalu sering diperkembangluaskan sesuai dengan keperluan serta permintaan semasa dalam bidang seni lukis hingga di peringkat global.

Terbaru BSLN telah terbabit dalam program Minggu Malaysia ‘08 yang telah berlangsung di Potters Fields Park, London, United Kingdom (UK) dari 30 Julai hingga 3 Ogos ini.

Menerusi program itu, BSLN bukan sahaja mempamerkan lebih 34 lukisan tetapi mereka turut membawa sebilangan pelukis tempatan yang terbabit pada program anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) itu.

Ketua Pengarah BSLN, Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, ini merupakan pameran lukisan terbesar anjuran balai itu yang diadakan di luar negara bagi memperkenalkan karya-karya hasil sentuhan para pelukis tanah air.

Pendekatan itu diharap dapat bukan sahaja memperkenalkan para pelukis tempatan tetapi juga mempromosikan seni, budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa di luar negara.

Mohamed Najib berkata, ia merupakan pameran yang terbesar pernah diadakan oleh BSLN di luar negara selepas pameran para pelukis Malaysia di Covent Garden di Galeri Brunei dengan tajuk Rupa Malaysia.

“Melalui pameran ini pada kali ini, kami mahu mencetuskan kesedaran orang ramai di London termasuklah para pelancong dari seluruh dunia yang berkunjung ke sini supaya mengenali lebih dekat para pelukis kita dan karya-karya mereka.

“Kalau boleh kita mahu kehadiran kita dalam bidang seni lukisan turut disedari oleh mayarakat hinggalah di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui di Potters Fields Park, London baru-baru ini.

Selain di taman bersebelahan tempat tarikan pelancong di London Bridge itu, BSLN turut membuka ruang pamerannya di galeri La Galleria, Pall Mall, London yang telah dirasmikan oleh Menteri KPKKW, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Hadir sama pada pelancaran Semesta itu ialah Datuk Bandar Southwark London, Eliza Mann dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK dan Eire, Rustam Yahaya.

Menerusi pameran lukisan bertajukkan tema Semesta itu, BSLN turut membawa sebilangan pelukis tempatan yang terbabit pada pameran yang diadakan di galeri itu dari 30 Julai lalu hingga 10 Ogos ini.

Antara pelukis yang terbabit dalam program itu ialah S. Amin Shahab, Rafie Abdul Rahman, Ismail Kadir, Pheh It Hao dan Maamor Jantan.

Menurutnya, melalui pameran itu juga BSLN berusaha memberi pendedahan dan peluang berkarya serta pasaran kepada para pelukis yang telah terpilih pada program tersebut.

Jelasnya, antara matlamat BSLN ialah untuk mengetengahkan para pelukis Malaysia di peringkat antarabangsa. Melalui cara itu ia boleh memberi dorongan dan pendedahan yang lebih luas kepada mereka.

“Ini kerana, London merupakan antara tempat pasaran dan pusat kesenian lukisan yang amat popular bukan sahaja di Eropah tetapi juga peringkat antarabangsa.

“Kami memilih mereka ini kerana banyak sebab termasuklah kebolehan mereka melukis secara langsung dan cepat pada sesuatu demonstrasi yang kami banyak adakan di sini,” ujarnya.

Bagaimanapun, jelas Dr. Mohamed Najib, BSLN telah menetapkan banyak kriteria penting yang lain bagi pelukis dan karya-karya mereka sebelum ia diangkat di lapangan seni lukisan bertaraf dunia seperti di London.

Katanya, antara elemen penting yang diperlukan ialah penerapan nilai-nilai budaya masyarakat setempat berbilang bangsa di Malaysia yang harus terdapat pada setiap karya yang dipamerkan melalui pameran Semesta itu.

“Semesta itu sendiri menggambarkan tentang gambaran suatu imej yang bersifat global. Tetapi dalam konteks ini ia menjurus kepada kepelbagaian gambaran budaya dan kehidupan masyarakat di Malaysia.

“Lukisan merupakan suatu medium yang mampu merentasi sempadan budaya apa-apa juga bangsa di dunia ini. Jadi, kami di BSLN turut menggunakan kaedah ini bagi membantu memperkenalkan seni budaya masyarakat kita di London,” katanya.

Salah seorang pelukis yang terbabit dalam pameran itu, S. Amin Shahab berkata, pameran Semesta dan yang diadakan di Potters Fields Park itu tidak akan dilepaskannya begitu sahaja.

Pelukis yang juga merangkap penulis lirik serta pengarah filem ini banyak menggunakan ruang yang ada di kota London untuk diterapkan sebagai subjek lukisannya yang berjudul The One Kilometre World.

“Di United Kingdom terdapat banyak bangunan yang hebat serta mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sebab itu, saya cuba menampilkan elemen-elemen itu dalam lukisan saya bagi memperlihatkan lagi gabungan unsur artistik, tamadun dan sejarahnya yang tersendiri.

“Sungai Thames, monumen Stone Henge dan London Bridge merupakan antara objek yang saya lukis melalui lukisan saya itu. Saya berterima kasih kerana kesudian KPKKW menaja saya demi menyiapkan lukisan tersebut,” ujarnya.

The One Kilometre World merupakan projek beliau yang mahu mencipta rekod dunia melalui Malaysian Book of Records dan Guiness Book of World Records sebagai yang terpanjang pernah dihasilkan jika ia berjaya disiapkan kelak.

Para pelukis yang mempamerkan lukisan mereka di La Galleria, London terdiri daripada Chan Kok Hooi, Chap Kok Leong, Choy Chun Wei, Faizulyusri Yusof, Ismail Kadir dan Jainal Amambing.

Turut terbabit ialah Jailani Abu Hassan, Jeganathan Ramachandram, Juhari Said, Maamor Jantan, Pheh It Hao, Stephen Menon, Rafie Abdul Rahman, S. Amin Shahab, Suhaimi Fadzir, Tetriana Ahmed Fauzi, Yau Bee Ling serta Zulkifli Yusoff.

No comments: