Wednesday, August 6, 2008

Bagaimana menanggapi sejarah?



Faisal Tehrani
Fri | Nov 10, 06 | 12:17:26 pm MYT

Barat datang ke rantau ini dalam tahun 1511, mengerasi kita dan bermulalah satu perjuangan menentang Barat yang ganas, berdarah, berbahaya dan tidak pernah henti hingga ke hari ini. Mereka memulakan perang yang bertujuan untuk merampas hidup kita, kebebasan kita, dunia kita, tatacara hidup kita dan yang paling utama agama kita.

Iklan

Dalam novel saya berjudul "1515", seorang remaja perempuan yang masih amat sunti telah digelar Tun kerana kemampuan, kebijaksanaan dan keberaniannya menentang tentera penjajah Portugis ketika mereka menggempur pelabuhan Melaka pada tahun 1511, lalu menyerang Melaka. Tun Nyemah Mulya (watak dalam novel tersebut) bergerak ke Portugal dengan armada laut Nusantara dalam tahun 1515 dan membalas gempuran tersebut.

Hari ini kita mungkin telah merdeka secara fizikalnya, atau badaniahnya, tetapi minda dan jiwa kita terpenjara. Kita terpenjara separuh mati misalnya dengan idola realiti televisyen, kita terkurung dengan teruk contohnya oleh fantasi fantasia kita hingga merekalah yang ada dalam hela nafas, rindu mata dan gejolak rasa. Inilah yang seorang ahli falsafah Algeria, Malik Ben Nabi katakan bahawa penjajah Barat masih terus menguasai negeri-negeri jajahan mereka dengan ruang penjajahan yang baru yakni minda. Hibur-libur, senang-lenang serta lagha-magha dijadikan tujahan senjata. Perang untuk merdeka batin ini saya terokai dalam novel saya yang lain "Advencer Si Peniup Ney".

Memang kurang benar remaja berminat untuk membaca karya-karya saya. Karya saya tiada watak gadis cantik yang dicintai separuh mati oleh sepuluh pemuda kacak kacuk. Karya saya juga tiada mainan mimpi, dan fantasi tentang Cinderalla dilamar putera impian atau idaman hati. Karya saya tiada yo tiada ya dan mereka bukan puteri yang dilindungi bulan. Karya saya tidak melayan liar remaja, karya saya berusaha untuk mengajak mereka menilai diri, dan mengundang mereka mengecas semula bateri sejarah supaya dapat kita gunakan untuk satu tempoh lagi.

Mengecas bateri sejarah?

Arnold Toynbee, dalam bukunya 'A Study of History', telah melihat sejarah sebagai satu proses terbuka, tempat setiap peradaban tumbuh segar asalkan ia kreatif dan merespon kepada perubahan.

Bagaimana pula Islam melihat sejarah? Sesungguhnya Islam memberi ruang yang amat besar buat kita dalam hal ini. Sesetengah saudara meyakini Imam Mahdi Baqiyatullah akan kembali ke muka bumi ini untuk memimpin sebuah kerajaan yang adil. Sesetengah yang lain pula mempercayai Nabi Isa pasti turun semula untuk membawa kebenaran sebenar. Faham dari disiplin ilmu eskatologi begini tidaklah datang dari satu ruang yang kosong.

Imam Mahdi sahibuz zaman tercatat dalam sejarah sebagai tokoh Islam yang diburu dan pasti dibunuh oleh pemerintah kejam Abbasiyyah. Justeru, baginda terpaksa menghilangkan diri, sebelum ghaib sepenuhnya oleh kuasa Allah. Begitu jugalah Nabi Isa a.s yang hampir-hampir mati dibunuh oleh penjahat Yahudi, baginda terlepas kerana diangkat ke langit.

Melihat sejarah ke belakang dan menghubungkannya dengan masa hadapan yang jauh di hadapan, adalah satu bentuk kita mengecas sejarah dengan positif.

Begini, sejarah bagi saya umpama bateri, harus dicas semula (iaitu dirujuk semula, dibaca, dihayati dan diapungkan kebenarannya) kemudian barulah kita gunakan buat satu tempoh lagi, menggunakannya untuk menentukan arah masa depan, menggunakannya untuk membawa kita ke dunia akan datang yang lebih makmur tetapi penuh cabaran.

Generasi baru hari ini bukan sahaja buta sejarah tetapi masih meraba-raba tidak bergerak ke mana.

Sekularisasi

Apakah malapetaka yang dibawa oleh Portugis dalam tahun 1511? Rantau Melayu hanya kenal Islam. Bangsa Melayu tidak mahu beralih daripada kesatuan tauhid apabila disambar Portugis dan Belanda. Alhamdulillah, kita tidak ditimpa celaka seperti bangsa Melayu di wilayah lain Nusantara yang habis merubah agama setelah dikerasi oleh penjajah (baca: Filipina). Bangsa Melayu kita berpegang teguh kepada akidah. Tetapi kini malang sungguh, ada bangsa kita yang mahu menjadi lebih Inggeris daripada Inggeris.

Malapetaka paling besar disuntik penjajah ialah sejenis dadah pemikiran. Dadah tersebut ialah satu kejahatan dalam diam. Penjajah bertanggungjawab masuk ke wilayah ini lantas memperkenalkan sekularisasi. Sekularisme ialah satu fahaman memisahkan agama dari hidup. Hidup tidak lagi dipandu agama. Allah yang mencipta manusia dinafikan haknya untuk memimpin manusia. Sekularisasi ini mewujudkan � meminjam kata-kata Profesor Naguib al Attas � �pelbagai masalah dalam proses perkembangan akliah�.

Lebih buruk dari itu sekularisme adalah satu falsafah hidup yang hanya terhad pada masa kini. Sekularisme mengajar manusia masa sekarang sahaja yang penting. Masa lalu tidak punya apa-apa kepentingan. Masa hadapan pula usah difikirkan.

Akibat semua itu, dalam proses sekularisasi yang kejam, kita menolak undang-undang yang bersandarkan agama dengan dakwaan ia kolot dan tidak sesuai. Kemudian berakhirlah urusan agama kita (malah undang-undang) dengan termeterainya Perjanjian Pangkor 1874 antara Sultan Abdullah dan si bangsat Inggeris Andrew Clarke. Kita pun mengambil peraturan yang tiada kena-mengena untuk mentadbir negeri kita.

Pernah ada usaha terakhir, benteng yang cuba ditegakkan oleh almarhum Sultan Johor, Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim menerusi Majalah Ahkam Johor sebagai kubu terakhir undang-undang Islam. Hal ini terpendam dan terbenam. Harus kita gali dan diketengahkan semula. Ingat, kata saya tadi sejarah harus diletakkan di hadapan, dengan itu ia akan membuahkan sesuatu dan menjadi produktif buat kita.

Apa yang saya harapkan usaha ini, moga-moga diterima, dihayati dan dapat membuka mata generasi baru. Saya mohon Allah Taala mengurniakan kekuatan mengikhlaskan diri dalam melakukan usaha ini, dengan harapan kebenaran sejarah ini akan diketahui umum dan mencelikkan cendekiawan yang buta.

Majalah Ahkam Johor

Majalah Ahkam Johor. Tahukah generasi baru kita tentang undang-undang Islam ini?

Inilah yang telah saya cungkil dalam karya saya, Surat-surat Perempuan Johor. Dan untuk menjadikan ia sebuah karya yang lebih kaya saya sulami karya ini dengan ilmu seksologi Melayu, dan juga falsafah untuk memperkasakan semula ummah iaitu perkahwinan campur. Kerana perkahwinan campurlah yang telah meninggikan umat Islam dan membantu penyebaran Islam secara lebih meluas di segenap rantau.

Alhamdulillah Surat-Surat Perempuan Johor memenangi Sayembara Menulis Novel Sejarah dan Tradisi Johor I anjuran Yayasan Warisan Johor. Novel Surat-Surat Perempuan Johor ini dihasilkan berbeza dalam bentuk yang biasa saya terokai. Novel ini berbentuk novel warkah, atau epistolary novel, yang membina cerita melalui surat-surat.

Bertulangbelakangkan dua latar masa iaitu penghujung abad ke-19 dan awal abad ini, novel ini dipandu oleh dua watak utama iaitu Ungku Hamidah dan Ungku Nur. Kedua-dua watak ini mempunyai banyak persamaan sebagai kerabat diraja Johor, kedua-duanya juga sanggup melangkah batas tradisi untuk menegakkan kebenaran sambil disulami cinta syahdu apabila masing-masing jatuh cinta dengan lelaki berbangsa Turki. Saya ingin menghantar mesej bahawa kebenaran agama adalah lebih penting dari tradisi.

Melalui surat-surat yang dikarang dua wanita tersebut, sejarah kegemilangan negeri Johor sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar dihidangkan. Saya ikut menelusuri hubungan akrab kerajaan Johor dan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang tidak begitu diketengahkan selama ini oleh sejarawan kita. Di samping itu, pemikiran wanita-wanita terpelajar tersebut dalam menanggapi undang-undang Islam saya harapkan dapat mampu membuat pembaca merenungi bahawa kegemilangan peradaban sesuatu bangsa akan dapat dipertahankan andai Islam diletakkan sebagai tunjang utama dalam seluruh sistem kehidupan.

Oksidentalisme

Saya memilih untuk terus tekal dengan tema oksidentalisme, di mana saya masih menganjurkan bahawa kejahatan dan tipu muslihat Barat dalam menghancurkan umat Islam datang dalam pelbagai bentuk. Tidak perlu kombat di medan perang, Barat hanya menusuk jarum sekularisme yang menjauhkan agama daripada umat Islam melalui campur tangan mereka dalam pemerintahan kerajaan Islam. Ini dapat dilihat bagaimana Undang-Undang Tubuh Johor telah dicemari dengan civil code dan penal code yang jelas sekali amat bertentangan dengan undang-undang Islam. Begitu juga bagaimana Sultan Abdul Hamid telah ditekan dari segenap penjuru oleh Barat hingga membawa kepada kejatuhan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah dan melorongkan jalan kekuasaan kepada pendokong sekularisme, Mustafa Kamal Attartuk. Niat murni saya ialah untuk mengenengahkan hakikat sejarah mampu membangkitkan kesedaran jati diri insani, keagamaan, kebangsaan dan kekeluargaan dalam jiwa setiap manusia.

Sering ada orang bertanya apakah yang perlu ada pada naratif kita, baik dalam karya seni sastera mahupun filem? Sebagai seorang muslim, pada saya pemikiran dalam kepengarangan karya dan karyawan, perlulah dalam acuan pandangan sarwa (worldview) tauhidik-profetik iaitu dalam erti mempersepsi dan menyikapi segala sesuatu berdasarkan perspektif Islam. Karya sastera harus menumbuhkan ciri "nafi�an wa mumti�an fi waqtin wahid" (bermanfaat dan sekaligus mengasyikkan khalayak) dan ini hanya dapat dipenuhi apabila karya sastera tersebut mempunyai mesej moral yang cukup padat berbungkuskan nilai estetika makna mahupun bentuk.

Untuk menghantar pandangan sarwa Melayu, epistemologi Melayu (falsafah keilmuan) dan juga aksiologi Melayu (sistem nilai) yang mengakar kuat dengan ajaran Islam saya ciptakan warkah-warkah kiriman Ungku Hamidah yang pemikirannya melampaui batas masa dan tradisi namun tetap berpaut kukuh dengan ilmu dan nilai Islam. Begitu juga pandangan Ungku Nur dalam mentafsir semula nilai sejarah dan pandangan sempit tentang pemisahan di antara politik dan agama.

Saya juga sengaja mencuba plot anti konvensional. Saya bina plot yang berkembang perlahan-lahan, membesar dan kemudian terus mendadak terhenti, dengan tujuan mencengkam pembaca dengan ideologi yang tepu. Biarpun penceritaan dalam novel ini berdasarkan surat-surat yang ditulis oleh kedua-dua wanita intelek itu, namun saya cuba memastikan pembaca dapat mengikuti alur cerita dengan mudah. Jalan cerita misalnya masih tetap mengikut kronologi.

Ilmu Seks Melayu

Seperti yang telah saya tekankan sebelum ini, saya dengan sengaja menerokai falsafah institusi perkahwinan sebagai salah satu daripada permulaan sebuah sejarah. Sejarah manusia kita ketahui bermula dengan ikatan kasih sayang di antara Adam dan Hawa. Secara dasarnya jua hubungan suami isteri yang kukuh berpegang kepada adab-adab tradisi dan Islam adalah sangat penting dalam penciptaan insan.

Saya menerapkan falsafah yang manusia yang telah dilantik oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini, perlulah berasal daripada benih yang baik dan diredhai Allah. Penerapan ilmu seksologi Melayu dalam novel ini ialah untuk membuktikan masyarakat Melayu sangat menitikberatkan hubungan suami isteri dalam menghasilkan insan yang bakal menerajui dunia ini. Insan yang bakal menggunakan sejarah sebagai kenderaan menuju masa hadapan.

Kesimpulan

Begitulah serba sedikit mengenai Surat-surat Perempuan Johor. Saya ingin menutup ruang kecil ini dengan menghimbau nukilan Uthman el-Muhammady dalam bukunya 'Memahami Islam', sastera Islam sebenarnya ialah sastera yang menyedarkan serta menghiburkan insan tentang status diri, dalam hubungan dirinya, Tuhannya, dan alam sekitar serta peradabannya.

Harapan saya novel ini dapat menjadi satu pengajaran dan peringatan kepada generasi muda kita tentang betapa peri pentingnya peranan sejarah dalam pemikiran sesebuah bangsa di samping mengekalkan keutuhan Islam dalam sistem kehidupan makhluk bernama manusia.

Surat-surat Perempuan Johor boleh dibeli atas talian di www.ujanailmu.com.my. Blog Faisal Tehrani http://tehranifaisal.blogspot.com.

No comments: