Thursday, August 28, 2008

IIC hab pelajar antarabangsa



kampus iic yang mula menerima pelajar pada tahun 2004 kini semakin diminati pelajar asing bagi melanjutkan pelajaran peringkat diploma.


Kolej Islam Antarabangsa (IIC) optimis untuk menjadi hab institusi pendidikan tinggi berkualiti kepada pelajar antarabangsa bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di rantau Asia Tenggara.

Naib Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Akademik IIC, Nor Akma Farizan Yunus berkata, matlamat itu mampu direalisasikan menjelang lima tahun akan datang. Ia berikutan kesungguhannya mempromosikan institusi pendidikan berkenaan ke pasaran global.

Menurutnya, ini dapat dilihat daripada laman web dan kakitangannya yang turut aktif terlibat dalam aktiviti pemasaran agresif yang dijalinkan bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke Dubai, Kemboja dan China.

IIC yang ditubuhkan pada tahun 2001 adalah institusi pendidikan milik penuh UIAM melalui anak syarikatnya IIUM Higher Education Sdn. Bhd.

“Selain itu, pengalaman pelajar luar negara yang sedang dan pernah mengikuti pelajaran mereka di sini juga memberi promosi percuma dan juga yang terbaik kepada saudara mara atau rakan-rakan mereka di negara masing-masing,’’ katanya kepada Mega, ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Nor Akma menjelaskan, sebagai usaha untuk mencapai status tertinggi tersebut, IIC sentiasa meningkatkan prasarana dan infrastruktur agar setanding dengan kemudahan bertaraf global serta menjadikan mereka berasa selesa mengikuti pelajaran di situ.

Katanya, selain memiliki hubungan yang baik dengan Jabatan Imigresen bagi sebarang urusan dokumentasi perjalanan, kolej berkenaan turut mengadakan jabatan antarabangsa khusus untuk mengendalikan sebarang urusan berkaitan dengan pelajar asing.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini 90 peratus pelajar luar negara yang sedang mengikuti pelajaran di IIC telah menjadikan ia sebagai platform terbaik untuk menyambung pelajaran mereka ke UIA.

Menurutnya, ini kerana kelayakan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke UIA tidak mencukupi dan sebagai pilihan terbaik, pelajar berkenaan perlu memulakan pengajian mereka di IIC.

IIC mula menerima pelajar asing sejak tahun 2004 dan sehingga kini ia memiliki seramai 337 pelajar.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan pengetahuan dan memahirkan mereka dalam bahasa Inggeris agar petah bertutur dalam bahasa berkenaan, IIC turut memiliki Pusat Pembangunan Inggeris yang dibangunkan sejak tahun 2005.

Menurutnya, daripada 500 pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam pusat berkenaan, 90 peratusnya adalah daripada pelajar antarabangsa manakala bakinya pelajar tempatan.

Kata beliau, jumlah itu dijangka terus meningkat setahun demi setahun yang mana pada tahun ini sebanyak 139 pelajar antarabangsa telah mendaftar untuk sesi kemasukan pelajar baru berbanding 82 pelajar tahun lalu.

Mereka datang dari 40 buah negara seperti Somalia, Jerman, Holland dan China.

Sementara itu, Nor Akma yakin cadangan pembinaan kampus baru IIC bersebelahan dengan UIAM di Gombak dalam tempoh lima tahun akan datang bakal meningkatkan imejnya di pasaran global.

No comments: