Thursday, August 28, 2008

Kalkulator kitar semula pertama di dunia



MOdel kalkulator kitar semula pertama di dunia yang dilancarkan di pejabat Canon, Shah Alam, baru-baru ini.


Canon memperkenalkan kalkulator kitar semula yang pertama di dunia sebagai salah satu usaha memelihara alam sekitar selain melaksanakan proses pengeluaran lebih cekap.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing (M) Sdn. Bhd., Liew Sip Choon berkata, kalkulator tersebut sesuai untuk semua golongan termasuk eksekutif muda sehingga pengurusan tertinggi.

Menurut beliau, pihaknya menetapkan sasaran jualan sebanyak 10 juta unit untuk kalkulator jenis itu pada tahun ini.

Katanya, sasaran tersebut tidak mustahil dicapai memandangkan bagi setengah pertama tahun ini sahaja, jumlah jualan kalkulator keluaran Canon sudah pun melebihi 10 juta unit bagi pasaran dalam negara.

“Kami sedang giat memasarkan produk ini ke seluruh Asia.

“Dengan kepadatan penduduk yang tinggi seperti 1.2 bilion di India dan 300 juta di Indonesia, kita yakin mampu menjual 10 juta unit lagi di pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kalkulator Siri Alam Sekitar keluaran terbaru Canon di Shah Alam, baru-baru ini.

Kalkulator Siri Alam Sekitar yang dibuat sepenuhnya daripada bahan kitar semula itu kini berada di pasaran dan didatangkan dalam empat model berbeza iaitu LS-63TG, LS-154TG, HS-1000TG serta TS-1200TG dengan harga di antara RM29 hingga RM59 seunit.

Sip Choon memberitahu, beliau menyasarkan jualan bagi tahun depan akan meningkat sebanyak 20 hingga 25 peratus.

Bagi menggalakkan golongan muda menggunakan kalkulator kitar semula tersebut, Canon mengadakan promosi dari 14 Ogos hingga 30 September ini dengan kerjasama syarikat pengedar filem, Buena Vista.

Sepanjang promosi tersebut, iklan Siri Kalkulator Alam Sekitar keluaran Canon dan filem Wall-E yang mempunyai satu baucar diskaun bernilai RM5 akan diterbitkan di majalah kanak-kanak utama dan media talian terus terpilih.

Pembaca hanya perlu membawa baucar tersebut berserta kalkulator lama kepada peniaga-peniaga rasmi Canon di seluruh negara untuk mendapat potongan harga sebanyak RM5 bagi pembelian kalkulator Siri Alam Sekitar.

Sebuah buku aktiviti Wall-E untuk kanak-kanak juga akan diberikan secara percuma bagi setiap pembelian dalam tempoh promosi.

No comments: