Thursday, August 28, 2008

Akademi IT Microsoft di IPT


KEMAHIRAN dan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat (ICT) sememangnya diperlukan oleh para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan diri mereka tidak ketinggalan dalam arus pemodenan tanpa sempadan.

Ini kerana, selain membantu dalam proses pembelajaran, pengetahuan tersebut juga bakal membantu pelajar bersaing dalam pasaran kerja yang kian kompetitif sekarang.

Kelebihan yang diperolehi itu bukan sahaja dapat menghasilkan graduan, malah yang paling penting ialah graduan berkualiti serta mampu diserapkan ke dalam industri ICT di peringkat global.

Justeru, untuk membangun dan mengembangkan peluang kemahiran itu, peneraju industri teknologi dan perisian komputer, Microsoft telah mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam mewujudkan program Akademi IT kepada pelajar-pelajar universiti.

Program yang telah dimulakan sejak tahun 2006 itu kini menyasarkan pelaksanaannya kepada 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain dua buah politeknik iaitu Politeknik Sultan Idris Shah dan Politeknik Ungku Omar.

Antara IPTA yang terlibat pula adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan banyak lagi.

Melalui akademi tersebut, Microsoft akan melengkapkan institusi pengajian terlibat dengan dengan beberapa kemudahan teknologi terkini seperti latihan kemahiran, sumber pengajian, kurikulum dan juga pensijilan kepada pelajar-pelajar mereka.

Menurut Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Yasmin Mahmood, akademi itu juga akan berfungsi sebagai pusat pengajian global yang menghubungkan pelajar, pensyarah, institusi serta komuniti dalam proses membangunkan kemahiran tersebut.

‘‘Program ini merupakan program yang unik kerana ia melibatkan skala yang besar serta memerlukan komitmen yang tinggi dari KPT dan Microsoft sendiri.

‘‘Integrasi ini merupakan satu usaha yang baik kerana ia secara tidak langsung dapat mewujudkan hubungan baik di antara pelajar dengan pihak industri,’’ katanya.

Yasmin memberitahu, program Akademi IT Microsoft itu merupakan komitmen berterusan pihaknya untuk melatih para pelajar agar menjadi individu yang benar-benar berkualiti dan berpotensi dalam memenuhi keperluan industri ICT.

Selain menawarkan kurikulum teknologi bertaraf antarabangsa, program tersebut juga mendedahkan para pelajar dengan dunia pekerjaan sebenar agar mereka bersedia berhadapan dengan situasi pekerjaan pada masa depan.

Apa yang menarik, setelah menamatkan program berkenaan, para pelajar akan menerima sijil pengiktirafan profesional peringkat antarabangsa dari Microsoft.

Beliau memberitahu, setakat ini, kesemua pelajar yang pernah menjalani program tersebut telah diterima bekerja sekurang-kurangnya tiga bulan selepas mereka menamatkan pengajian.

Ini kerana, pengiktirafan yang diberikan oleh pihak Microsoft menjamin kualiti terbaik para pelajar untuk memberi sumbangan kepada pembangunan dunia ICT.

Secara keseluruhannya, program tersebut ditawarkan kepada pelajar- pelajar semester akhir dari kursus multimedia dan juga kejuruteraan.

No comments: