Thursday, August 28, 2008

25 pelajar UiTM bawa Jalur Gemilang 200 kilometer


GERIK Seramai 25 kakitangan dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar yang menyertai ekspedisi membawa Jalur Gemilang merentasi negeri Kelantan ke Perak sempena sambutan kemerdekaan yang ke-51 berjaya tiba ke Tasik Banding baru-baru ini.Ekspedisi yang diketuai Pengarah Kampus, Profesor Dr. Abdullah Mohamad Said ini menamatkan perjalanan selama lima hari tujuh malam dengan mendaki Gunung Chamah setinggi 2,171 meter dan Gunung Ulu Sepat setinggi 2,161 meter.

Kata Abdullah, pendakian bermula dari Gua Musang di Kelantan hingga ke Kampung Lerlar yang terletak di Hutan Belum sebelum menaiki bot menuju ke Pulau Banding.

Merentasi"Kami mendaki melalui denai yang pernah digunakan oleh Pasukan 136 atau lebih dikenali dengan Harimau Malaya merentasi negeri Kelantan ke Perak semasa penjajahan Jepun pada tahun 1945.

"Sepanjang perjalanan ini, kami berjaya membersihkan lorong dan denai serta membuat tanda arah bagi memudahkan kumpulan lain yang membuat ekspedisi yang sama melaluinya,'' katanya .

Menurutnya, pendakian tersebut merupakan aktiviti kemuncak persatuan itu yang telah dirancang sejak enam bulan lalu dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51.

Di samping itu, seramai tujuh pendaki juga berjaya melengkapkan pendakian tujuh buah gunung tertinggi di negara ini yang digelar G7.

Tambahnya lagi, berdasarkan komitmen yang ditunjukkan semua ahli pendaki mereka akan menepati jangkaan menamatkan pengembaraan pada masa ditetapkan.

Katanya, pengembaraan pendakian merupakan antara aktiviti lasak yang paling murah disertai para pelajar bahkan ia mampu memberi impak kepada pembinaan jati diri, sifat kepimpinan selain meningkatkan kesihatan mental dan fizikal.

No comments: