Thursday, January 1, 2009

USIM juara cipta laman web


PADA 16 Disember lalu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Laman Web Kategori institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada majlis sempena Sambutan Hari Kualiti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2008 menewaskan 19 IPTA yang lain.

Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), manakala tempat ketiga disandang oleh Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pasukan USIM pada pertandingan itu diwakili Pengarah Pusat Perkembangan Strategik dan Hubungan Korporat, Prof. Dr. Mohammad Alias, menerima trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi , Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu KPT/jabatan/agensi di bawahnya, IPTA, institut pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti. Kriteria penilaian KPT berdasarkan kriteria penilaian dari Multimedia Development Corporation (MDeC) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Majlis yang bertujuan untuk memperkukuhkan nilai-nilai budaya kualiti dan memberi pengiktirafan terhadap usaha-usaha meningkatkan kualiti dan produktiviti agensi di bawah kementerian telah dirasmikan oleh Mohamed Khaled, sekali gus melancarkan tagline baru KPT iaitu Meneraju Kegemilangan Ilmu.

No comments: