Wednesday, January 14, 2009

Britain bimbang penduduk Islam jadi radikal


LONDON 13 Jan. - Menteri-menteri di Britain bimbang kempen serangan tentera Israel di Genting Gaza akan menyebabkan sesetengah penduduk Islam di negara ini menjadi radikal.

Menteri Kehakiman, Shahid Malik berkata, keganasan Israel di Gaza mendatangkan "kesan sangat mendalam dan tidak sihat" terhadap umat Islam di negara ini.

Shahid yang merupakan ahli politik Islam pertama dilantik menganggotai Kabinet Britain menyuarakan kebimbangannya dalam wawancara yang disiarkan di laman web akhbar Guardian, semalam.

"Timbul perasaan kecewa dan tidak berdaya di kalangan penduduk Islam Britain berhubung perkembangan di Gaza dan perasaan tidak puas hati dengan kezaliman yang berlaku sangat mendalam dan tentunya tidak sihat," kata beliau.

Setiausaha Kemasyarakatan, Hazel Blears pula berkata, beliau "sangat bimbang" konflik di wilayah Palestin boleh membantu puak pelampau menarik anggota baru.

"Saya sangat bimbang perkembangan di Gaza boleh digunakan oleh puak yang mahu menyebarkan fahaman pelampau untuk menyemai fahaman tersebut di kalangan golongan muda.

"Kerana itulah sangat penting untuk kita menjelaskan tindakan yang telah diambil oleh kerajaan kita, termasuk mengetuai usaha di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meluluskan resolusi menuntut gencatan senjata segera di Gaza," kata Blears kepada stesen Penyiaran British (BBC).

Blears memainkan peranan utama dalam kempen kerajaan untuk memperbaiki hubungan antara 1.6 juta umat Islam di negara ini dengan penduduk bukan Islam selepas hubungan itu keruh berikutan serangan 11 September, 2001 di Amerika Syarikat (AS) dan letupan bom di London pada Julai 2005.

Serangan di London itu dilaksanakan oleh empat pengebom berani mati warga Britain.

Pada minggu lepas, ketua perkhidmatan perisikan domestik Britain, Ketua Pengarah MI5, Jonathan Evans meramalkan bahawa tindakan Israel akan mendorong "percubaan puak pelampau untuk menyebarkan fahaman radikal untuk agenda mereka sendiri."

- AFP

No comments: