Wednesday, January 14, 2009

Gigi palsu berinovasi baru



Adnan Bozdemir menjadi tulang belakang dalam penciptaan baru gigi palsu Turkom Cera.


Teknologi pergigian terutama gigi palsu biasanya menggunakan porcelin dan diikat dengan logam yang tidak nampak kosmetik dan kadang-kala menyebabkan alahan kepada pengguna.

Kini pengguna gigi palsu sudah boleh tersenyum dengan teknologi Turkom Cera yang bukan saja mudah dan cepat pembuatannya tetapi ringan dan mempunyai nilai kosmetik yang tinggi.

Produk gigi palsu hasil teknologi Turkom Cera boleh dilakukan pada kawasan makmal yang terhad dengan kemudahan ketuhar.

Segalanya bermula semasa pengasas yang juga Presiden Turkom-Ceramic (M) Sdn Bhd (TCM), Adnan Bozdemir yang telah lebih 20 tahun menceburi bidang gigi palsu kerana membantu ahli keluarganya dalam industri berkenaan.

Kira-kira 10 tahun lalu beliau melakukan solat istikharah sebagai memohon petunjuk mengenai apa yang perlu dilakukan.

"Selepas itu apa yang terlintas di fikiran adalah Kuala Lumpur, Malaysia dan saya sendiri tidak tahu di mana tempat berkenaan.

"Tetapi saya terus mencari nama tempat berkenaan dan pergi ke sana walaupun saya tidak tahu langsung," katanya.

Setelah mencari lokasi Kuala Lumpur dan Malaysia, beliau terus ke sana tanpa sebarang persediaan rapi.

Dengan menyewa sebuah rumah banglo dua tingkat, Adnan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai kesihatan pergigian terutamanya pembuatan gigi palsu.

Berbekalkan pengalaman yang ada beliau berusaha melakukan yang terbaik dalam pembuatan gigi palsu yang bukan saja mudah tetapi teguh, ringan dan sesuai dengan pengguna.

Selama tiga tahun menumpukan usaha dalam R&D, TCM telah berjaya menghasilkan formulasi bahan gigi palsu serta penemuan teknik fabrikasi gigi palsu yang mampu memenuhi dua kriteria utama yang ditetapkan iaitu:

lPenyediaan bahan asas pergigian restoratif yang mempunyai ciri kekuatan dan ciri kosmetik yang menarik tanpa kesan sampingan negatif atau alahan kepada pengguna.

lPenglibatan aplikasi teknik fabrikasi pergigian yang mudah, ringkas, fleksibel dan kos yang kompetitif

"Aktiviti utama TCM adalah mengeluarkan gigi palsu atau prosthetic yang diperbuat daripada bahan berasaskan seramik.

"Kekuatan produk TCM bukan hanya terletak kepada ciptaan formulasi bahan pergigian yang diiktiraf sebagai semua bahan terdiri daripada seramik tetapi disokong oleh teknik fabrikasi gigi palsu yang dicipta khas bagi memudahkan pembuatannya, berkualiti tinggi dan menepati keperluan pasaran global," katanya.

Teknik fabrikasi pergigian ini sedang dalam permohonan paten antarabangsa bagi memelihara hak harta intelek keluaran TCM.

Sehingga kini TCM menanggung sendiri semua kos termasuk pendaftaran perlindungan harta intelek dan R&D.

Hasil usahanya sendiri kini TCM telah berjaya memasarkan produknya sehingga ke lebih 60 buah negara meliputi rantau Eropah, Asia dan Amerika Selatan.

Ini secara tidak langsung akan meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa dan menonjolkan imej negara sebagai kelompok kecil negara yang berupaya mengeluarkan produk pergigian seramik.

"Di sini, produk utama TCM, kit alumina dental Turkom Cera telah diterima secara rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Malahan KKM telah mengambil inisiatif melaksanakan projek perintis di Makmal Pergigian Putrajaya bagi menguji aplikasi produk pergigian TCM bagi menghasilkan gigi palsu bagi kegunaan orang ramai," katanya.

Jika usaha projek perintis dengan KKM berjaya, Adnan berkata, sudah pasti rakyat negara ini dapat menikmati rawatan pergigian lebih maju dengan kos pembiayaan minimum.

Bagi menjayakannya, TCM telah melatih juruteknologi pergigian KKM Putrajaya sehingga mampu menghasilkan gigi palsu bermutu tinggi yang diperbuat daripada bahan pergigian seramik Turkom Cera sepenuhnya.

Bukan itu saja, TCM juga telah melaksanakan tanggungjawab sosial dengan mewujudkan program latihan pembantu makmal pergigian bagi pelajar Institut GIATMARA.

TCM juga telah lama menjalinkan hubungan dengan institut pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi R&D teknologi produk pergigian TCM.

"Dari konteks global produk pergigian TCM berpotensi menyumbang kepada peningkatan mutu rawatan di negara membangun.

"Tambahan pula ia tidak melibatkan kos yang besar kerana tidak memerlukan pelaburan infrastruktur baru," katanya.

Manakala di negara maju, TCM bukan saja menawarkan harga yang kompetitif tetapi juga dapat meningkatkan produktiviti juruteknologi pergigian dan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga pekerja di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Kini banyak klinik pergigian di negara ini telah pun menggunakan teknologi Turkom Cera di klinik mereka.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai produk pergigian Turkom Cera boleh menghubungi 03- 26818977 atau e-mel ke: info@turkom-cera.com atau layari laman web www.turkom-cera.com.

No comments: