Wednesday, January 14, 2009

Kekuatan domestik hadapi cabaran operasi luar negara


KUALA LUMPUR 13 Jan. - Syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menggunakan kekuatan, konsep integrasi dan penyepaduan di peringkat domestik untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam operasi di peringkat antarabangsa.

Presidennya, Tan Sri Mohd. Hassan Merican memberitahu, dalam menghadapi risiko beroperasi di luar negara, syarikat itu juga membangunkan kebolehan dan keupayaan sumber tenaga manusia serta meningkatkan daya saing secara berterusan.

''Petronas memilih rakan kongsi atau membentuk usaha sama dengan menawarkan kekuatan dan kemahiran yang telah terbentuk selama beroperasi di Malaysia sebagai strategi di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk Memperkasa Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan Tempatan dan Penerokaan Berkesan dalam Pasaran Global: Persiapan Mendepani Cabaran Baru Ekonomi Dunia pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di sini hari ini.

Kongres itu anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Majlis Perundingan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kertas kerja beliau dibentangkan oleh Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Korporat Petronas, Ahmad Nizam Salleh.

Mohd. Hassan memberitahu, penerokaan yang dibentuk berdasarkan analisis dan kajian ke atas peluang-peluang meneroka dan berurus niaga yang belum maju, tetapi mempunyai potensi besar untuk membangun.

Katanya, Petronas beruntung kerana kebanyakan negara yang diberi tumpuan tidak menerima pelaburan daripada kuasa-kuasa besar yang mungkin disebabkan oleh faktor-faktor geopolitik.

''Petronas sentiasa sedar bahawa ia haruslah tulus dan ikhlas dalam proses menjalinkan hubungan dengan kerajaan-kerajaan tuan rumah dan cuba mengambil pendekatan yang berbeza daripada syarikat-syarikat minyak gergasi antarabangsa lain.

''Kami mengambil konsep kemakmuran bersama yang telah berjaya menyakinkan kerajaan-kerajaan tersebut untuk memberi peluang kepada Petronas melabur di negara mereka," katanya.

Jelas beliau, semua projek usahasama yang dilaksanakan oleh Petronas dipastikan untuk mendatangkan manfaat dari segi teknologi iaitu mengeksploitasi teknologi dalaman serta teknologi rakan niaga.

Tambah beliau, dari segi pasaran, ia perlu memberi laluan atau menghubungkan Petronas dengan pasaran baru serta memberi akses kepada lebih ramai pelanggan.

''Projek usahasama ini juga dipastikan akan dapat mencipta nilai kepada pihak berkepentingan, meningkatkan kebolehan dan kemahiran organisasi serta perkongsian dari segi sumber, risiko dan meningkatkan kuasa beli," katanya.

No comments: