Wednesday, January 14, 2009

Pengalaman baru kembar tiga masuk asrama



Dari kiri Haziqah Abu Hanifah, Hazirah dan Haziyah selepas mendaftar memasuki asrama di Sekolah Menengah Agama al Quran Waddin, Stulang Baru, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 6 Jan. - Sekolah Menengah Agama al-Quran Waddin, Stulang Baru di sini hari ini cukup bertuah apabila menerima kemasukan pelajar kembar tiga yang memulakan sesi persekolahan 2009 semalam.

Tiga kembar itu ialah Haziqah, Hazirah dan Haziyah Abu Hanifah, 13, kini menuntut dalam tingkatan satu dan turut menginap di asrama sekolah tersebut.

Mereka yang agak pemalu ketika ditemui di sekolah tersebut berkata, ia merupakan pengalaman pertama tinggal di asrama dan kebetulan mereka bertiga duduk di bilik yang sama bersama sembilan pelajar lain.

Menurut Haziqah, dia memang suka tinggal di asrama kerana dapat berdikari dan berkenalan dengan lebih ramai kawan baru.

"Sedih memanglah sedih kerana berjauhan dengan keluarga, tetapi dengan adanya kawan-kawan tidaklah terasa sangat," katanya.

Dua lagi kembar itu, Hazirah dan Haziyah berkata, pengalaman dapat tinggal di asrama akan dijadikan semangat serta azam baru untuk belajar bersungguh-sungguh.

Kembar berkenaan sebelum ini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Amar, di sini dan merupakan anak pertama daripada empat beradik.

Sementara itu, beberapa pelajar baru lain turut menyifatkan diri mereka sangat beruntung kerana dapat belajar di sekolah berkenaan dan tinggal di asrama.

Syaza Nurayuni Salahuddin, 13, dari Taman Senai Baru berkata, mula-mula dia rasa takut tetapi perasaan itu mulai hilang apabila mendapat ramai rakan baru.

"Ini menjadi azam baru saya untuk lebih cemerlang dan memperbaiki diri kepada yang lebih baik dalam pelajaran," katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik yang sebelum ini belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Senai itu berkata, dia sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental sebelum menjejakkan kaki ke asrama walaupun agak sedih meninggalkan ibu dan bapanya.

Bagi Raja Nurhaziqah Jaafar, 13, pengalaman memasuki asrama menguatkan lagi semangat untuk terus berjaya dalam pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

"Memang saya teringin sangat mahu masuk asrama dan akhirnya cita-cita saya tercapai," katanya yang sebelum ini belajar di Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB).

Rakannya, Nur Arisya Amran, 13, berkata, walaupun sedih berjauhan dengan keluarga, semangatnya begitu tinggi untuk belajar bersungguh-sungguh.

No comments: