Wednesday, January 14, 2009

Lahir ulama: Rancang tubuh universiti ala Al-Azhar


KOTA BHARU 12 Jan. - Negeri-negeri pakatan pembangkang merancang untuk menubuhkan sebuah universiti ala 'Universiti Al-Azhar' khusus bagi melahirkan lebih ramai ulama di negara ini.

Wakil Exco pendidikan negeri pakatan pembangkang, Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, penubuhan universiti itu amat penting kerana sistem pendidikan yang ada di negara ini tidak cukup untuk merealisasikan hasrat itu.

Beliau berkata, penubuhan universiti itu masih dalam peringkat cadangan dan ia memerlukan penelitian sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

''Ia amat penting kerana di negara ini masih belum ada universiti seperti Al-Azhar yang benar-benar memberikan tumpuan kepada pendidikan agama secara mendalam dan menggunakan kaedah tradisional,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco Pendidikan negeri pakatan pembangkang di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Exco Pendidikan Selangor, Dr. Halimah Ali dan Exco Pendidikan Kedah, Abdullah Jusoh. Bagaimanapun wakil dari Perak dan Pulau Pinang tidak hadir kerana terikat dengan urusan rasmi yang lain.

Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah berkata, penubuhan universiti tersebut akan mengikut acuan pakatan pembangkang.

"Persepsi masyarakat terhadap siswazah lulusan agama dari universiti tempatan juga tidak baik, rata-rata mereka beranggapan bahawa ia tidak sehebat dengan Al-Azhar.

"Sebab itu kita perlu mewujudkan sebuah universiti seperti Al-Azhar bagi melahirkan lebih ramai ulama," katanya.

No comments: