Wednesday, January 14, 2009

Operasi mencari mangsa feri karam diperlahan

Operasi mencari mangsa feri karam diperlahan

JAKARTA 13 Jan. - Indonesia hari ini memperlahankan usaha mencari lebih 232 orang yang dilaporkan hilang dalam tragedi feri karam di perairan Sulawesi dua hari lalu, akibat ombak besar di perairan tersebut.

Angin kencang dan keadaan laut bergelora masih berterusan di Selat Makassar yang memisahkan Sulawesi dengan Kepulauan Borneo, lokasi feri Teratai Prima seberat 700 tan yang membawa kira-kira 267 orang karam, awal kelmarin.

Pegawai maritim Kementerian Pengangkutan Indonesia, Sunaryo berkata, kapal-kapal kecil diarahkan untuk tidak lagi menjalankan operasi mencari dan hanya empat kapal tentera laut dan dua bot peronda meneruskan misi mencari mangsa.

"Kami sedang berhadapan dengan cuaca buruk dan laut yang bergelora. Kami tidak mahu mengambil risiko dengan menghantar kapal-kapal kecil," katanya kepada pemberita.

Sunaryo berkata, setakat ini seramai 34 orang telah diselamatkan, sementara satu mayat ditemui.

Dalam operasi semalam, lebih 15 orang ditemui termasuk mayat seorang wanita yang terapung, katanya.

Beberapa pegawai kanan mendakwa harapan untuk menemui mangsa yang lain semakin tipis selepas 48 jam feri tersebut dipukul ribut monsun ketika berada 50 kilometer dari Sulawesi.

Feri tersebut dalam perjalanan dari Pare Pare, selatan Sulawesi ke Samarinda, timur Kalimantan ketika insiden itu berlaku.

- AFP

No comments: