Thursday, January 1, 2009

Penyelidik UPM terima Anugerah Inovasi Penyelidikan


PUTRAJAYA Penyelidik dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi Anugerah Inovasi Penyelidikan Antara Sektor Awam dan Swasta 2008 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Mereka ialah Prof. Dr. Mohd. Hair Bejo, Prof. Dr. Aini Ideris dan Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Omar yang menjalankan projek penyelidikan bertajuk MyVAC UPM93 Infections Bursal Disease Vaccine.

Ketua kumpulan tersebut, Dr. Mohd. Hair berkata, projek itu merupakan vaksin untuk merawat wabak penyakit jangkitan bursa (IBD) atau gumboro pada ternakan ayam akibat virus IBD yang sangat aktif hingga menyebabkan kerugian lebih daripada RM72 juta setahun di Malaysia.

"Kerugian ini disebabkan oleh kematian tinggi dan kehilangan daya tahan pada ternakan ayam.

"Rawatan bagi IBD tidak berkesan dan penyakit itu hanya boleh dicegah dengan program vaksinasi dan biosekuriti. Dari situ, kami telah mengkomersialkan MyVAC UPM93 IBD sebagai vaksin yang selamat dan berkesan untuk ayam daripada dijangkiti di ladang," katanya.

Beliau berkata, vaksin itu telah lulus kesemua keperluan ujian makmal seperti ujian keselamatan, pembasmian kuman, berulang menjadi aktif dan bebas daripada virus lain.

Dr. Mohd. Hair berkata, kajian membuktikan MyVAC UPM93 IBD selamat, berkesan dan boleh menghasilkan paras antibodi yang tinggi dan melindung ayam.

Katanya, vaksin yang telah berada di pasaran sekarang itu juga tidak menganggu tumbesaran dan prestasi ayam.

Kumpulan tersebut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 dan sijil penghargaan.

No comments: