Wednesday, January 14, 2009

Penyelidik UPM cipta ubat sembuh luka lebih cepat



DR. Suhaila Mohamed (kanan) menjelaskan keistimewaan Healex kepada pengunjung Program Promosi Penyelidikan UPM, baru-baru ini.


SERDANG 25 Dis. -Seorang penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta kapsul dan krim sapu daripada daun kelapa sawit, rumpai laut dan daun keledek yang mampu menyembuhkan luka dengan cepat.

Penyelidik tersebut, Prof. Dr. Suhaila Mohamed berkata, produk yang diberi nama Healex itu boleh meningkatkan pemulihan luka atau kecederaan tisu dan organ dalaman dalam masa lebih singkat.

"Healex mempercepatkan proses pemulihan terutama kepada individu yang mengalami kadar penyembuhan yang lambat seperti pesakit kencing manis.

"Produk ini boleh ditelan dalam bentuk kapsul atau disapu di bahagian yang luka dan tidak mempunyai toksik seperti produk lain yang menggunakan bahan kimia," katanya semasa majlis promosi penyelidikan UPM di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, produk itu juga membantu mengurangkan tekanan darah tinggi, kolestrol, penyakit kardiovaskular dan kanser.

Dr. Suhaila yang juga Profesor Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan berkata, kajian ke atas tikus menunjukkan Healex meningkatkan pemulihan pada tahap 30 peratus untuk pelbagai jenis luka yang dalam atau lebar.

Katanya, kajian menunjukkan pemulihan luka sebanyak dua sentimeter pada haiwan berlaku pada hari ke-15 berbanding dengan luka yang tidak disapu dengan produk tersebut.

"Bahagian luka yang disapu dengan produk itu juga akan mengalami kadar pengecutan, kematangan dan granulasi tisu lebih pantas bagi tujuan penyembuhan luka.

Dr. Suhaila turut membentangkan penyelidikannya yang kedua iaitu Addex iaitu bahan anti penyerap minyak yang pertama di dunia dan ia dapat mengurangkan 30 peratus penyerapan minyak dalam makanan bergoreng.

Katanya, produk itu terdiri daripada formulasi khas biophenol daripada ekstrak tumbuh-tumbuhan.

"Addex bersifat antioksida lemak semula jadi sehingga 85 peratus terhadap makanan, menghalang tekanan darah tinggi, anti alah, anti kejang otot, anti kuman, anti kolesterol, anti bengkak, anti kanser selain meningkatkan keranggupan dan rasa makanan tersebut.

"Penggunaan produk ini mengurangkan masalah kegemukan, kolesterol tinggi, kanser, tekanan darah tinggi dan penuaan yang disebabkan pengambilan lemak berlebihan," katanya.

Pada majlis tersebut, Prof. Madya Dr. Ishak Aris dari Fakulti Kejuruteraan memperkenalkan penyelidikan Sistem Imbasan Optikal Berbilang Pancaran yang menggunakan sistem laser bagi kegunaan dalam bidang perubatan terutama bagi rawatan kulit.

"Produk ini berupaya mengawal sistem kepala pengimbasnya dengan lebih anjal dan cekap," katanya yang menganggarkan produknya berharga separuh lebih murah daripada produk import.

No comments: