Thursday, January 1, 2009

10,000 pelajar China di Malaysia tahun ini

BEIJING 25 Dis. - Jumlah penuntut dari China di Malaysia dijangka melebihi 10,000 orang pada tahun ini, melonjak 30 peratus kedatangan pelajar baru, kata Kaunselor Pendidikan Kedutaan Malaysia, Chuah Chee Meng.

Beliau berkata, kira-kira 4,000 kemasukan baru dijangka antara Januari dan Oktober menjadikan jumlah keseluruhan 9,081 berbanding 5,962 orang tahun lepas.

Tiga suku daripada jumlah penuntut baru ini berdaftar dengan institusi swasta, katanya kepada Bernama di sini.

''Keseluruhan angka tersebut untuk tahun ini akan meningkat lagi kerana ada lagi kemasukan pada Disember dan saya jangkakan bilangan ini akan bertambah kepada 10,300 orang,'' katanya.

Peningkatan ini disebabkan krisis kewangan global, nilai yuan yang lebih kukuh dan promosi Malaysia sebagai destinasi pendidikan yang dijalankan oleh Unit Pendidikan kedutaan ini dan institusi pendidikan swasta di China yang menawarkan program berkembar dan kursus asas.

Chee Meng berkata, lebih ramai remaja China memilih Malaysia untuk tujuan ini kerana mereka boleh mendapatkan pendidikan berkualiti dengan kos yang munasabah malahan ini juga menarik siswazah baru mengikuti program ijazah lanjutan atau kursus lain di negara itu.

''Dengan kemelesetan ekonomi, ramai penuntut China bimbang mereka tidak dapat buat kerja sambilan untuk menampung kos yang tinggi jika mereka ke negara maju.

''Juga, ramai penuntut di sini yang tidak dapat tempat di universiti mereka sendiri kerana persaingan yang hebat,'' kata beliau.

Warganegara China merupakan kumpulan kedua penuntut asing terbesar di Malaysia selepas Indonesia.

Antara Januari dan Oktober tahun ini, jumlah penuntut China di institusi pengajian tinggi awam meningkat dengan mendadak kepada 2,189 orang daripada 598 tahun lepas sementara bilangan di institusi pengajian tinggi swasta ialah 6,892 orang berbanding 5,364 pada tahun lepas.

No comments: