Wednesday, January 14, 2009

Satu lagi kampus Universiti Madinah

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM

SEPANG 12 Jan. - Pembinaan sebuah lagi kampus Universiti Antarabangsa Madinah di negara ini adalah antara perkara utama yang akan dibincangkan dalam rangka lawatan empat hari Penasihat kepada Raja Arab Saudi, Putera Bandar Salman Al-Saud ke Malaysia bermula hari ini.

Beliau yang juga presiden universiti itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.40 tengah hari bersama delegasi lima anggota termasuk Imam Besar Masjid Nabawi, Abdul Bari Awwadh Al-Subaiti merangkap ahli majlis mesyuarat universiti itu.

Kedatangan Putera Bandar Salman dan delegasi disambut Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mohamed Reda Abu Al-Hamayel dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Zulkefli A. Hassan.

Putera Bandar Salaman antara lain dijadual menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa universiti itu esok.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kampus utama universiti antarabangsa itu bakal dibina di Cyberjaya yang sebelum ini bertempat di Plaza Masalam, Shah Alam.

No comments: