Wednesday, January 14, 2009

Martabatkan sarjana Islam



Sebahagian peserta Seminar Penyelidikan dalam Pengajian Islam 2008 di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


PENYELIDIKAN dalam pengajian Islam era moden perlu mengekal dan berlandaskan khazanah silam berteraskan al-Quran dan sunah yang diwarisi, jika mahu kelangsungan Islam yang tulen dan hakiki terus berkekalan.

Dalam masa yang sama, bidang dan hasil pengkajiannya mesti mengikuti dan memahami keseluruhan isu-isu keduniaan semasa secara objektif, saintifik dan praktikal serta berkait terus pula dengan kesan terhadap kemanusiaan.

Namun yang menjadi masalah, semua para syarat tersebut jarang ada dan kurang dimiliki oleh para penyelidik di kalangan ilmuwan dan sarjana Islam sekarang.

Sarjana Islam moden sebaliknya, kata Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (API, UM), Prof. Dr. Ahmad Hidayat Buang, lebih gemar mencedok terus daripada apa yang telah dihasilkan oleh ilmuwan silam tanpa mendalami implikasinya.

Akibatnya tegas beliau, persepsi terhadap pengajian Islam terus dianggap tidak realistik, rigid, emosional dan kurang menitikberatkan tuntutan semasa serta terlalu dikongkong oleh tradisi hukum hakam.

Untuk itu, kata Dr. Ahmad Hidayat, para penyelidik Islam moden perlu realistik dengan benar-benar memahami semua bidang keilmuan bagi mengetengahkan moraliti Islam yang tulen.

"Dalam masa yang sama ia mestilah berlandaskan al-Quran, sunah serta tinggalan keilmuan para tabie dan ulama silam dalam penghasilannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Seminar Antarabangsa Penyelidikan Pengajian Islam (ISRIS) di API, UM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar dua hari pada 17 dan 18 Disember lalu itu adalah kelolaan API UM dengan kerjasama Yayasan Takwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pusat Zakat dan Kerajaan Negeri Selangor. Ia dirasmikan oleh Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon.

Lebih 50 kertas kerja dibentang pada seminar yang disertai oleh ahli akademik, para sarjana dan ilmuwan Islam tempatan serta asing itu.

Dr. Hidayat berkata, hakikatnya Islam di era moden ketandusan ilmuwan dan saintis yang serba boleh untuk dibanggakan sebagaimana ilmuwan lampau seperti Ibnu Sina, Ibu Khaldun dan yang sezaman mereka.

Ini kerana, daripada 570 buah negara dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sekarang, hanya terdapat kira-kira 8.5 peratus saintis bagi setiap 1,000 orang penduduk negara-negara Islam dunia.

"Di kalangan 800 universiti yang ada di negara-negara dalam OIC, hanya 312 universiti dapat menghasilkan penyelidikan untuk disiarkan dalam jurnal antarabangsa," katanya.

Bidang penyelidikan sarjana Islam menurut Dr. Ahmad Hidayat, sepatutnya disokong oleh kaedah tauhid melalui aplikasi syariat yang bersumberkan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, bukan semata-mata merujuk pada falsafah dan teori yang dihasilkan Barat dan bukan Islam.

Sementara itu, Dr. Ghauth dalam ucapan perasmiannya pula menggesa agama Islam dikembangkan secara lebih meluas kepada golongan bukan Islam.

Ini kerana kata beliau, kegiatan dakwah oleh Muslim khususnya para daie hanya tertumpu di kalangan sesama Muslim.

"Sebenarnya golongan bukan Islam ternanti-nanti kesediaan orang-orang Muslim, terutama para pendakwah untuk membuka mulut dengan bercerita dan menerangkan mengenai Islam kepada mereka," katanya.

Sedangkan tambah beliau, konsep dakwah yang telah diamal dan diajarkan oleh Rasulullah SAW adalah menyebarkan Islam kepada yang bukan Muslim.

Sebabnya, kata Dr. Ghauth, bagi bukan Islam mereka perlu 'bayar' dengan harga yang tidak ternilai untuk mendapatkan hidayah.

Menurutnya, orang bukan Islam yang mendapat hidayah Islam, mereka benar-benar tahu dan memahami Islam serta sangat mencintai agama suci ini kerana mereka mengkaji al-Quran.

"Sebaliknya, bagi Muslim secara keturunan, mereka tidak faham dengan hidayah kerana mereka warisi hidayah dengan percuma, bukan dari hasil memahami Islam dan mengkaji al-Quran," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan API UM melalui sarjana Islam yang ada memperluaskan diskusi mengenai Islam dengan dan kepada yang bukan Islam.

"Seminar seumpama ini adalah landasan terbaik bagi sarjana dan ilmuwan Muslim membuka dan berkongsi mengenai Islam dengan bukan Muslim," ujarnya.

No comments: