Wednesday, January 14, 2009

Sistem e-Bas pertama di UUM


SINTOK Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi kampus pertama di negara ini yang menyediakan perkhidmatan bas kitaran dalam kampus dengan menggunakan sistem yang dipanggil e-Bas, berkuat kuasa pada 17 Januari ini.

Sistem bernilai RM800,000 itu diperkenalkan oleh syarikat pengurusan bas kampus, Unic Symbol Business Sdn. Bhd.

Pengarah Urusannya, Asmanwadi Sheikh Abdul Latif berkata, sistem e-Bas itu merangkumi aplikasi tanpa wayar (wireless) yang dapat membaca kad matrik pelajar yang turut menjadi tiket kepada pelajar UUM untuk menaiki bas berkenaan.

Menurut beliau, pelajar hanya perlu menyentuh kad matrik itu pada terminal yang tersedia dalam bas tersebut.

Kata Asmanwadi, penggunaan sistem e-Bas tersebut adalah lanjutan daripada pengenalan sistem prabayar menggunakan kad matrik yang disepadukan dengan sistem akaun simpanan mereka di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Beliau berkata, pembaharuan semula sistem e-Bas itu akan selesai sepenuhnya pada 8 Januari ini.

Menerusi sistem baru itu, syarikat pengurusan bas berkenaan menawarkan pakej yang lebih baik bagi kadar caj tambang sebelum ini.

Kata Aswandi, pelajar diberi pilihan sama ada penggunaan bas tanpa had bagi tempoh satu semester pada kadar RM90 atau penggunaan sebagaimana biasa dengan kadar RM22 (RM0.55 sehala), bersamaan 40 point atau 40 kali menaiki bas dan membeli semula tambah nilai selepas habis point.

Bagaimanapun, kata beliau, kegagalan pelajar untuk membuat bayaran dan mengaktifkan semula kad matrik sebelum tarikh 17 Januari menyebabkan pelajar tidak dibenarkan untuk menaiki bas.

Asmanwadi berkata, pemandu pula dibekalkan dengan kad e-Driver yang berfungsi sebagai penjamin kepada pergerakan bas mengikut jadual yang ditetapkan.

Setiap pemandu akan menyentuh kad e-Driver di terminal kawalan di pos yang akan diletakkan berdekatan Dewan Kuliah Gugusan (DKG) setiap kali melalui laluan tersebut.

Asmanwadi memberitahu, bagi melicinkan operasi perjalanan bas dalam kampus UUM, syarikat pengurusan menambah lagi bilangan bas sedia ada daripada 25 kepada 31 buah bas.

Beliau berharap dengan pembaharuan itu, pelajar akan dapat memanfaatkan perkhidmatan bas kitaran yang disediakan dan dengan pilihan yang diberikan itu menggalakkan pelajar supaya menaiki bas.

No comments: