Wednesday, January 14, 2009

PPH teras produk halal negara



Zahid Hamidi (kiri) bertanya sesuatu semasa melawat makmal Institut Penyelidikan Produk Halal, UPM Serdang, baru-baru ini.


INSTITUT Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM) kekal sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan tunggal dalam urusan menentukan soal halal haram produk negara.

Tidak akan ada mana-mana lagi pusat penyelidikan produk halal kedua dan yang baru selepas ini, demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Keputusan itu katanya, penting bagi memastikan segala peruntukan, kemudahan peralatan dan tenaga mahir tertumpu sepenuhnya di IPPH UPM.

Sekali gus dapat menjamin keberkesanan IPPH melalui peruntukkan akan disalurkan oleh kerajaan bagi mendapatkan peralatan moden bermutu tinggi serta mengguna kepakaran yang ada secara maksimum.

Malah kata Dr. Ahmad Zahid lagi, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yang diberi hak pengeluaran dan penentuan sijil halal mesti bekerjasama dengan IPPH dalam semua urusan penentuan produk-produk halal negara.

"Tidak timbul soal pertindihan tugas dan bidang kuasa antara HDC dan IPPH atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya.

Peranan Jakim adalah jelas manakala HDC adalah badan yang bertanggungjawab mengeluar dan menjalankan penguatkuasaan terhadap penyelewengan persijilan produk halal.

Tetapi dalam mengesan dan menentukan status kehalalan sesuatu produk sama ada yang berkaitan makanan, barangan kosmetik, bahan perubatan dan pakaian untuk keperluan umat Muslim akan dikendalikan oleh IPPH UPM sepenuhnya.

Untuk itu kata Dr. Ahmad Zahid, kerajaan memperuntukan sebanyak RM25 juta bagi memastikan kompleks IPPH serba lengkap dengan segala kemudahan peralatan dalam penyelidikan moden bermutu tinggi yang hampir tertangguh sebelum ini disiapkan sepenuhnya.

IPPH yang bermula dengan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM pada era 1980-an diikuti sebagai Institut Makanan Halal pada Jun 2005 dalam usaha meluas peranan dan meningkatkan mutu penyelidikan dan pembangunan dalam produk halal.

Sementara itu, Pengarah IPPH UPM, Profesor Dr. Yaakub Che Man berkata, IPPH kini berperanan sebagai pusat sehenti mengguna pendekatan pelbagai dan bersepadu dalam memajukan industri halal negara di peringkat antarabangsa.

Industri halal katanya, terlalu besar dan luas yang bukan sahaja melibatkan pasaran dalam negara tetapi peringkat antarabangsa.

"Ia bukan hanya soal produk berasakan makanan tetapi merangkumi barangan penjagaan diri, kosmetik, bahan pencuci, nutriseutikal dan farmaseutikal tetapi juga perbankan, kewangan, pemasaran serta pengurusannya," jelasnya.

Matlamat IPPH jelas Dr. Yaakub adalah untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam penyelidikan produk halal dengan menyediakan perkhidmatan profesional bagi membantu merealisasikan Malaysia sebagai Hab Produk Halal Global.

Selain itu tambah beliau, IPPH UPM juga bertanggungjawab mengeluarkan sarjana dalam penyelidikan dan pengurusan produk halal yang menepati syariah Islam.

Sehingga kini katanya, terdapat 20 orang penuntut peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) tempatan serta asing terutama dari Timur Tengah sedang menuntut dan menjalankan penyelidikan di IPPH.

Melalui kepakaran dan peralatan yang ada, IPPH misalnya telah menghasilkan teknik verifikasi produk halal dengan menggunakan kaedah yang dikenali sebagai masa nyata Tindak Berangkai Polimerase (PCR).

Teknik yang dibangun bagi mengesan kehadiran protein dari lemak babi melalui sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil daripada makanan berasaskan daging serta beberapa produk berkaitan lain.

Beliau yang mengetuai sendiri projek tersebut berkata, kaedah pengesanan berasaskan DNA didapati lebih dipercayai kerana DNA lebih stabil pada keadaan suhu tinggi, tekanan dan bahan kimia.

"Melalui kaedah ini, kehadiran DNA babi di dalam produk makanan akan dapat dikesan dengan lebih spesifik dan sensitif kerana ia mampu mencapai had pengesanan sehingga 0.001 nanogram.

"Malah kaedah itu tambah beliau, bukan sahaja boleh diguna untuk kajian pada bahan makanan tetapi pada produk-produk lain termasuk produk kosmetik dan farmaseutikal," jelas beliau.

Apa yang IPPH usahakan kata Dr. Yaakub, adalah bagi membantu umat Muslim menghindari dari menjadi pengguna kepada produk yang meragui status kehalalannya.

Malah visi IPPH sendiri adalah untuk menjunjung kesucian, keaslian dan kemurnian halal melalui penyelidikan dan perkhidmatan, katanya.

No comments: