Saturday, June 28, 2008

UiTM Kelantan anjur sidang perabot antarabangsa

UiTM Kelantan anjur sidang perabot antarabangsa

KOTA BHARU 24 Jun - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan dan Furniture Industry Technology Centre (FITEC) akan menganjurkan persidangan perabot antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 28 Julai ini.

Pengarah persidangan itu, Prof. Madya Zulkarnain Yusoff berkata, ia akan diadakan selama tiga hari dan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, persidangan itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada pengusaha industri perabot di negara ini mengenai kepentingan reka bentuk inovatif dan kontemporari dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, persidangan tersebut juga akan membincangkan mengenai strategi pemasaran terkini bagi pasaran perabot global yang begitu kompetitif, kompleks dan mencabar.

"Ia akan dihadiri kira-kira 500 peserta dari dalam dan luar negara dan sempena program itu, kita juga akan mengadakan satu pameran perabot FITEC Showcase," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis UiTM Bersama Media Kelantan di sebuah hotel di sini malam tadi. Hadir sama, Pengarah Kampus UiTM, Datuk Prof. Dr. Hussin @ Mohamad Ab. Rahman.

Zulkarnain yang juga Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Akademik UiTM Kelantan berkata, persidangan yang bertemakan mengantarabangsakan reka bentuk perabot akan mengutarakan dua perkara asas iaitu reka bentuk serta pemasaran bagi pengeluaran perabot.

Katanya, ia bertepatan dengan perkembangan yang memberangsangkan eksport perabot negara ini yang dijangka mencatat jualan melebihi RM8.5 bilion pada tahun ini berbanding RM4.36 bilion, 10 tahun lalu.

"Dua penceramah terkemuka akan membentangkan kertas kerja mereka termasuk Karim Rashid, seorang pereka perabot terkenal dunia yang akan mengupas mengenai kepentingan reka bentuk berkualiti.

"Dr. Stefan Wille daripada Aktrin Furniture Information Centre pula akan membincangkan secara terperinci mengenai strategi pemasaran," katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhannya, sebanyak 56 kertas kerja hasil penyelidikan akan dibentangkan.

No comments: