Wednesday, June 25, 2008

Dunia IT di hujung jari Fauziah

Dunia IT di hujung jari Fauziah

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI


FAUZIAH DIN.

DARIPADA dunia peruncitan kepada penerbitan dan pengiklanan semata-mata untuk mencari lebih pengalaman sebelum membuat keputusan membantu suaminya menguruskan syarikat teknologi maklumat (IT) sendiri yang telah ditubuhkan sejak 1999.

Diajak suami, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin, untuk bersama membangunkan syarikat yang telah lama diusahakannya, kata Fauziah Din, 31, seperti berada di dua persimpangan. Menolak atau menerima? Banyak perkara yang dicongak.

‘‘Risiko kerja suami isteri dari segi pendapatan bersama, sebumbung dan bidang yang sangat saya daif awalnya.

‘‘Apabila menimbangkan soal alang-alang penat, tetapi syarikat sendiri yang maju, saya nekad memajukan Dataran Optima, sebuah syarikat yang terlibat dalam pembangunan aplikasi sistem IT dan data mobile.

‘‘Bermula saat itu, saya mula melangkah ke satu permulaan baru yang amat mencabar. Saya mula belajar tentang industri IT dan pengurusan syarikat secara keseluruhan dalam masa yang sama,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya di Desa Sri Hartamas baru-baru ini.

Berjawatan Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Operasi Dataran Optima bukanlah suatu tempelan sahaja sebagai isteri pemilik syarikat.

‘‘Segala pengorbanan dan kerja kuat yang selama ini saya tumpukan iaitu dari pengalaman yang kosong dalam bidang IT tetapi sekarang telah berada di hujung jari sahaja adalah satu detik manis dalam hidup saya,’’ jelasnya.

Menceritakan pengalamannya dalam meniti kejayaan sekarang, Fauziah berkata: ‘‘Dari awal kandungan anak sulung hingga bulan-bulan terakhir mengandung, hampir setiap hari saya keluar membuat penjelajahan mempromosikan syarikat.

‘‘Penat dan susah….tapi hati saya sangat kental dengan sokongan suami demi menyempurnakan impian untuk berjaya… Saya dan suami juga terpaksa membawa anak kecil sambil diletakkan di kerusi buaian di tepi meja sementara menunggu kami berdua menyiapkan projek-projek.

‘‘Apabila mengimbau kepayahan dulu saya nampak hasilnya sekarang. Komitmen, kesungguhan, disiplin dan keinginan yang kuat adalah resipi kepada apa yang dikecapi hari ini. Dari kepayahan itu, ia membina peribadi dan mental yang lebih kuat untuk menghadapi politik perniagaan yang mencabar,’’ kata ibu kepada dua cahaya mata, Tengku Natasya, 8 dan Tengku Iezat Atiqqullah,7.

Menurut wanita gigih ini, skil serta pengalaman yang dikutip selama tujuh tahun mengurus perniagaan ini menjadikan operasi syarikat lebih teratur dan matang.

‘‘Sekarang, Dataran Optima mula mengembangkan operasi ke luar negara seperti Singapura, Indonesia dan sedang mengkaji pasaran Eropah.

‘‘Suami kini tidak bergalang risau untuk meninggalkan syarikat di bawah jagaan saya apabila dia perlu ke luar negara ataupun kerja-kerja politiknya. Tapi beliau tetap tunggak utama saya merujuk dan berbincang. Saya masih perlu banyak belajar dan saya rasa ia tidak akan berakhir,’’ ujarnya.

Menurut pemegang ijazah sarjana muda pengurusan perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, perniagaan yang diceburinya ini sebenarnya penuh dengan peluang dan cabaran. Teknologi bertukar setiap hari dan terus berkembang. Itulah kelebihan dalam perniagaan ini terutama dalam perkembangan operasi. Cabangnya luas tapi berkait rapat setiap satu.

‘‘Kami adalah di antara beberapa syarikat IT bumiputera yang masih bertahan hingga kini dan membangun dari permulaan era meletusnya Internet di Malaysia. Walaupun bidang ini banyak dipelopori oleh oleh bangsa-bangsa lain dan juga syarikat-syarikat luar negara yang bertapak di sini, tetapi kami bersyukur, kami masih kuat dan mampu bersaing,’’ katanya.

‘Ujar beliau, cabaran utama pastilah persaingan dan konsistensi dalam menjaga pencapaian syarikat.

“Persaingan amat tinggi dalam bidang IT kerana industri ini kini sudah melampui norma-norma biasa teknologi apabila pasaran atau pengguna mula meningkatkan cara hidup atau operasi mereka dengan membawa teknologi ke tahap yang lebih tinggi dalam kehidupan seharian.

‘‘Maka seharusnya perkara-perkara ini diambil kira oleh kami dan trend-trend semasa diikuti untuk selari dengan permintaan dan pembangunan teknologi terkini,’’ katanya.

Sementara itu, beliau juga percaya, setiap manusia punya matlamat hidup. Ramai yang berkongsi keinginan untuk kebahagiaan dunia dan akhirat. Cuma apabila diteliti, penekanan dan pendekatan berbeza.

‘‘Matlamat saya dan suami seiring, kejayaan perkahwinan dan membesarkan anak-anak dengan sempurna, kejayaan dalam karier kami dan paling utama keredaan Allah dalam hidup sehari-hari,’’ katanya.

No comments: