Saturday, June 28, 2008

11 pengurusan UiTM berentap jadi terbaik

11 pengurusan UiTM berentap jadi terbaik

SHAH ALAM Sebanyak 11 daripada 45 pengurusan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpilih untuk berentap pada peringkat akhir Konvensyen Amalan Pengurusan Terbaik UiTM 2008.Antara pengurusan UiTM yang terpilih ialah pejabat Bendahari, Perpustakaan Tun Abdul Razak dan pejabat Pendaftar.

Pertandingan itu akan diadili 10 pengadil yang diketuai Profesor Madya Dr. Rahmah Mohd. Rashid dan keputusannya akan diumumkan pada November depan.

Majlis perasmian pertandingan akhir Konvensyen Amalan Pengurusan Terbaik UiTM 2008 dirasmikan Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Datuk Dr. Nasuddin Othman di sini semalam.

Nasuddin dalam ucapannya berkata, konvensyen yang julung kali diadakan itu adalah anjuran Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), melibatkan penyertaan seluruh bahagian, jabatan, pusat, unit, fakulti dan kampus-kampus negeri.

Beliau berkata, konvensyen dengan tema 'Isu dan Perspektif Antara Pemahaman dan Pembangunan' itu bertujuan memberi pengiktirafan sama ada dalam bentuk hadiah kemenangan mahu pun perkongsian ilmu di kalangan warga kerja.

"Saya yakin melalui pelbagai inisiatif anugerah kualiti yang dilaksanakan, ia telah berjaya menyemarakkan idea-idea baru seterusnya melahirkan warga universiti yang kreatif dan inovatif.

"Semangat daya saing yang tinggi di kalangan warga kerja UiTM seharusnya mendapat penghargaan yang sewajarnya sama ada di peringkat jabatan, universiti dan seterusnya ke peringkat negara dan antarabangsa," katanya.

Menurut Nasuddin, beliau yakin hasil konvensyen itu mampu menjadi salah satu pemangkin untuk merealisasikan tema tahun 2008 iaitu Pengantarabangsaan UiTM: Menyahut Cabaran Global.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan agar projek-projek amalan pengurusan terbaik yang dipamerkan dapat diguna pakai dan dijadikan Prosedur Operasi Standard bagi memantap fungsi operasi proses-proses utama di peringkat fakulti, bahagian dan kampus negeri.

No comments: