Wednesday, June 25, 2008

Dua buku pengalaman Angkasawan Negara di pasaran pada Februari, Julai

Dua buku pengalaman Angkasawan Negara di pasaran pada Februari, Julai

PULAU PINANG 5 Jan. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dijangka menerbitkan dua buku yang mengandungi catatan, pengalaman serta kisah hidupnya, masing-masing pada bulan Februari dan Julai ini.

Beliau berkata, buku pertama merupakan hasil nukilan adiknya, Allahyarham Sheikh Mustapha Shukor Al-Masrie, 32, yang menceritakan tentang usaha dan cita-cita Dr. Sheikh Muszaphar untuk merealisasikan impian menjadi seorang angkasawan.

“Buku itu dilancarkan lebih awal berbanding buku mengenai pengalaman saya, sebagai penghargaan kepada adik saya, dan ia hanya menunggu masa untuk diterbitkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Detik Manis Bersama Angkawasan Negara di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Adiknya yang lebih dikenali dengan panggilan Ajil, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) seminggu selepas berada dalam keadaan koma akibat kecederaan di kepala kerana terhantuk tiang ketika memasuki sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini.

Pada majlis itu Dr. Sheikh Muszaphar turut mengadakan sesi penerangan dan soal jawab bersama pelajar USM, dimana ramai pengunjung majlis itu dilihat berminat untuk mengetahui aktivitinya sepanjang tempoh semasa beliau berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), sehingga beliau kembali ke Bumi. Program itu dihadiri lebih 3,000 orang, termasuk pelajar sekolah.

Dr. Sheikh Muszaphar berkata, buku kedua yang mengandungi pelbagai pengalaman beliau ketika menjalani latihan serta berada di ISS itu pula kini di peringkat suntingan.

“Buku bertajuk My Journey To Space mengandungi setiap detik pengalaman dan nasihat itu nanti mungkin boleh dijadikan panduan untuk orang ramai. Seperti yang saya janjikan sebelum ini, setiap pengalaman yang saya lalui itu akan saya kongsi bersama semua orang,” katanya.

Beliau berkata, buku itu diharap dapat membakar semangat golongan muda untuk menyertai program angkasa pada masa depan selain meningkatkan usaha pelajar mendalami subjek Sains dan Matematik di peringkat sekolah.

Ditanya mengenai rancangan tahun ini, katanya beliau akan menjelajah serta berkongsi ilmu mengenai angkasa lepas bersama-sama pelajar sekolah menengah sama ada di bandar atau di luar bandar, bagi membolehkan generasi muda mengetahui dengan lebih mendalam pengalaman serta penyelidikan yang dijalankannya.

Dr. Sheikh Muszaphar yang menyertai program angkasawan menerusi perjanjian Malaysia bersama Rusia, berlepas ke angkasa pada 10 Oktober lepas dengan menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke ISS.

Beliau yang kembali ke bumi 11 hari kemudian iaitu pada 21 Okt selepas menjalankan pelbagai penyelidikan sains termasuk mengenai bakteria dan penghabluran protein.

– Bernama

No comments: