Wednesday, June 25, 2008

Biasiswa Khazanah Merdeka taja 25 pelajar setiap tahun

Biasiswa Khazanah Merdeka taja 25 pelajar setiap tahun

KOTA BHARU 28 Feb. - Yayasan Khazanah hari ini melancarkan Program Biasiswa Khazanah Merdeka yang menawarkan 25 biasiswa setiap tahun kepada pelajar terbaik Malaysia untuk mengikuti pengajian di Universiti Oxford atau Universiti Cambridge.

Pengerusi Lembaga Yayasan Khazanah, Datuk Mustapa Mohamed berkata, matlamat jangka panjang program itu ialah mewujudkan kumpulan bakat Malaysia yang memiliki pencapaian cemerlang dalam akademik dan kemahiran kepimpinan, perniagaan serta industri.

''Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Oxford Centre For Islamic Studies (OCIS).

''Ia bertepatan dengan objektif Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara untuk meramaikan modal insan kelas pertama," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Biasiswa Yayasan Khazanah dan juga Majlis Pemeteraian Kerjasama dengan OCIS di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Azman Mokhtar dan Pengarah OCIS, Dr. Farhan Ahmad Nizami.

Sementara itu, Mustapa menjelaskan, dua lagi program terbaru yang turut dilancarkannya hari ini ialah Program Biasiswa Watan dan Program Biasiswa Asia yang ketiga-tiganya menjadi tambahan kepada Biasiswa Khazanah-100 Global.

Katanya, menerusi Program Biasiswa Watan Yayasan Khazanah pula, 25 biasiswa akan ditawarkan kepada pelajar untuk mengikuti pengajian di universiti terkemuka dalam negara.

''Mereka ini kemudian akan diberi pendedahan industri di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui program Mentor GLC.

''Program Biasiswa Asia pula menyediakan peluang kepada para pelajar asing untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

''Ketiga-tiga program terbaru ini melibatkan tawaran pengajian di peringkat pasca siswazah dan juga prasiswazah," ujarnya.

No comments: