Wednesday, June 25, 2008

Bursa Malaysia catat rekod baru 1,470.77 mata

Bursa Malaysia catat rekod baru 1,470.77 mata

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Bursa Malaysia hari mencatat rekod lagi hari ini, apabila penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) terus mempamerkan trend meningkat sejak Jumaat lalu.

Semasa ditutup pada pukul 5 petang, IKKL ditutup pada paras tertinggi baru iaitu pada 1,470.77, naik 4.10 mata dengan jumlah dagangan sebanyak 926.094 juta saham bernilai RM2.034 bilion.

Paras IKKL hari ini mengatasi paras tertinggi pada Jumaat lalu iaitu pada 1,466.67 mata, yang merupakan paras tertinggi sejak 1986.

Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Management Bhd., Alsetdek Al Haj Ali berkata, trend meningkat IKKL itu didorong oleh spekulasi tentang pilihan raya umum di negara ini, yang mula diperkatakan sejak kebelakangan ini.

“Laporan Finance Investment House yang meramalkan Malaysia sebagai pasaran pilihan bagi tempoh enam bulan akan datang turut mempengaruhi trend meningkat di pasaran tempatan hari ino,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, kejayaan IKKL hari ini boleh disifatkan sebagai mengejutkan ekoran kejatuhan pasaran serantau seperti Singapura dan Hong Kong selain Dows Jones pada Jumaat lalu.

Katanya, sentimen pembelian yang kuat dijangka kekal kukuh sepanjang minggu ini, jika ada perkembangan positif mengenai pilihan raya umum.

“Kini, ramai pelabur menanti sama ada momentum ini mampu melepasi paras 1,500 mata dalam tempoh terdekat,” jelasnya.

Alsetdek berkata, kerancakan pasaran hari ini turut dijana oleh minat kukuh terhadap saham-saham perladangan seperti Kulim (Malaysia) Bhd. (Kulim), Batu Kawan Bhd. dan Kuala Lumpur Kepong (KLK).

Antara saham yang mencatat untung ialah, Sime Darby menokok 10 sen kepada RM12.70, IOI Corp naik 15 sen kepada RM8.50, Maybank meningkat 30 sen kepada RM11.90, Telekom Malaysia meningkat 20 sen kepada RM12.30.

No comments: