Wednesday, June 25, 2008

Frasa baru pendidikan

Hak sama rata timba ilmu
DUNIA pendidikan negara memperoleh suntikan baru dan mampu menjana pembangunan nilai modal insan dengan pengumuman Bajet 2008 dibentang, baru-baru ini.

Bermula peringkat sekolah rendah, menengah dan tinggi, bajet berkenaan memperuntukkan jumlah besar demi memastikan mutu pendidikan negara dipertingkat bagi melahirkan generasi berilmu.

Dengan peruntukan RM30 bilion kepada Kementerian Pelajaran, pelajar institusi pengajian tinggi tempatan mendapat kenaikan biasiswa antara 23 hingga 84 peratus dan bagi pengajian di universiti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada, kenaikan sehingga 97 peratus.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Abdul Rashid Mohamed, berkata pendidikan negara perlu memasuki frasa baru dengan memperhebatkan kemampuan pelajar menerokai pelbagai kemahiran dan pencapaian akademik.

Menurutnya, peruntukan bajet itu membuktikan hasrat kerajaan memberi pendidikan terbaik bermula daripada peringkat rendah hingga tertinggi.

“Untuk melahirkan generasi berkualiti, asas utama adalah pendidikan awal yang betul kerana mempengaruhi pembentukan peribadi dan pemikiran seseorang.

“Dalam usia masih muda, mereka mudah menyerap ilmu serta boleh dicorakkan dengan asas disiplin bagi pemantapan sahsiah.

“Penekanan pertama mesti dilakukan pada peringkat awal persekolahan bukan institusi persekolahan saja tapi dengan sokongan ibu bapa dan masyarakat kerana ini boleh merangsang pembentukan minda pelajar mengenai tanggungjawab belajar,” katanya.

Bermula tahun depan, pendidikan di peringkat rendah dan menengah di negara ini percuma, ini meringankan bebanan ibu bapa kurang berkemampuan memberi pendidikan terbaik kepada anak.

Pada masa sama, memansuhkan beberapa yuran tahunan sekolah rendah dan menengah serta memperluaskan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak.

Ia juga dianggap langkah terbaik menyamaratakan hak memperoleh pendidikan berkualiti di kalangan masyarakat.

Dr Abdul Rashid berkata, apabila pelajar sekolah rendah diasuh dengan mekanisme sesuai, kredibiliti boleh dipertingkat dengan mudah kerana kemampuan berfikir berkembang.

Menurutnya, pada peringkat ini, kepentingan pendidikan harus dilaksanakan dengan serius sebagai persediaan berdepan peperiksaan penting sekali gus melayakkan mereka memasuki menara gading.

“Dalam transformasi ilmu, hendaklah dilakukan secara berterusan kerana ia membentuk penyaluran maklumat penting dalam diri pelajar. Jika maklumat tidak mantap, penafsiran juga berbeza.

“Peringkat ini adalah antara proses terpenting dalam membentuk masa depan pelajar bagi merencana masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, dia berkata semua usaha itu memerlukan kesinambungan berterusan bagi melihat hasil sepertimana disasarkan.

“Kesinambungan itu, perlu dimulakan sejak di bangku sekolah rendah lagi secara berterusan. Untuk menyuntik kecemerlangan, kena tahu apa fungsi sekolah dan menekankan aspek akademik dan vokasional.

“Asas dan fungsi pendidikan negara perlu diperhalusi selain melihat misi negara yang disasarkan untuk masa depan. Misalnya, kalau ingin menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan Islam terkemuka, pelbagai pihak perlu menekankan kepentingan subjek seperti bahasa Arab.

“Dengan cara itu, kesinambungan dapat diteruskan selain berupaya mencapai aspirasi negara,” katanya.

Pada peringkat pendidikan tinggi, kerajaan memperuntukkan RM12 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek dan program pengajian tinggi termasuk meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan di empat Universiti Penyelidikan.

Kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mencapai sasaran 200,000 pelajar menjelang 2010, manakala Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan akan dinaik taraf.

Ini memperlihatkan usaha pelbagai pihak untuk menaikkan taraf institusi pendidikan di peringkat antarabangsa selain melahirkan golongan masa depan berkualiti.

Namun, ia sukar dilaksanakan jika pelajar masih tidak berubah selain dibelenggu masalah disiplin.

Satu kajian dijalankan mendapati antara punca kegagalan pelajar disebabkan faktor persekitaran seperti tempat kediaman sesak atau bising, pengurusan sekolah kurang berkesan termasuk aspek disiplin dan masalah pembelajaran pelajar yang kurang kefahaman dan lemah.

Bagi menanganinya, pelbagai program berprestij dikaji serta diperkenalkan, antaranya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan Program Sekolah Cemerlang bertujuan memartabatkan profesion keguruan.

Selain itu, pendekatan pelbagai pihak yang hanya mementingkan sistem peperiksaan juga perlu diubah bagi melahirkan golongan pelajar berkeyakinan tinggi terutama bagi memenuhi permintaan kerjaya.
emel Emel Artikel cetak

No comments: