Saturday, June 28, 2008

Pokok bantut kegilaan ramai bonsai

Pokok bantut kegilaan ramai


Memiliki sejumlah pokok bonsai menjadikan Fanny Lim puas dengan apa yang dilakukan.


Sejarah bonsai dipercayai bermula seawal 2,000 tahun lalu semasa Dinasti Han di China dan telah dibangunkan dalam bentuk baru di China, Jepun, Korea dan Vietnam.

Pada mulanya, masyarakat Jepun menggunakan pokok-pokok bantut yang ditanam dalam bekas untuk menghias rumah dan taman,

Semasa era Tokugawa, landskap taman menjadi semakin penting dengan pokok-pokok seperti azalea dan maples.

Pokok bonsai paling tua yang masih ada dikatakan dalam koleksi Happo-en (sebuah taman dan restoran eksklusif) di Tokyo, Jepun yang berusia antara 400 hingga 800 tahun.

Salah seorang ahli Persatuan Bonsai Malaysia yang boleh dikatakan sifu tanaman bonsai Fanny Lim berkata, pokok bonsai yang cantik dan menarik perlu memenuhi tiga kriteria utama iaitu umur pokok yang tua, daun yang kecil dan pokok yang tahan lasak.

“Pokok bonsai biasanya dipelihara semasa berusia tiga atau empat tahun ketika ukur lilit pokok sekitar tiga inci,” katanya yang mula bergiat dalam seni bonsai sejak berusia belasan tahun.

Fanny berkata, membuat bonsai merupakan satu kepuasan baginya yang tidak didapati dalam aktiviti-aktiviti lain.

Menurut beliau, aktiviti bonsai boleh menghilang tekanan seharian selepas seharian membuat kerja-kerja di pejabat atau perniagaan.

Fanny yang juga tuan punya Sanfong Bonsai and Art Garden yang terletak di Jalan Semenyih, Selangor memberikan khidmat mengajar membuat bonsai dengan percuma.

“Di sini 40 peratus pembeli terdiri daripada orang Melayu dan mereka boleh belajar membuat bonsai di sini.

“Saya tidak mengenakan sebarang bayaran tetapi mereka perlu melakukan semua sendiri,” katanya yang juga memberikan nasihat mengenai penjagaan pokok bonsai.

Fanny berkata, bonsai biasanya menggunakan pokok berdaun halus seperti asam jawa, kemuning, cucur atap, ara dan melati.

Pokok yang hendak dijadikan bonsai biasanya ditanam di dalam pasu yang kecil agar pertumbuhannya bantut.

Penjagaannya juga mudah, hanya memerlukan banyak air disiram dua kali sehari kerana pokok diletakkan di kawasan yang terdedah dengan cahaya matahari.

Baja pula perlu diletakkan seminggu dua kali bagi mengembalikan nutrien dalam tanah dan dibuangkan daunnya mengikut keperluan. “Pokok yang hendak dijadikan bonsai perlu diuruskan dengan melilit dawai pada dahannya agar mudah dibentuk.

“Selepas selesai dibentuk, dawai akan dibuka setelah empat bulan, pokok dicantas sekali lagi dan dahan dililit dengan dawai semula,” katanya.

Ini dilakukan berkali-kali sehingga pemiliknya berpuas hati dengan bentuk bonsai yang diinginkan.

Memandangkan bonsai mempunyai peminatnya tersendiri, terdapat Persatuan Bonsai dan Suiseki Malaysia yang menganjurkan Pertandingan dan Pameran Bonsai dan Suiseki Kebangsaan setiap tahun.

Pertandingan yang telah diadakan pada 24 hingga 28 Mei lalu menampilkan antara bonsai tercantik dan termahal.

Antara acara yang bakal menarik perhatian pengunjung adalah demonstrasi membentuk pokok bonsai oleh sifu dari Taiwan, esei kanak-kanak mengenai bonsai, ceramah mengenai batu dan penjualan pokok-pokok bonsai.

Mereka yang berminat dengan pokok-pokok bonsai bolehlah meluangkan masa ke sebuah pasar raya besar di Cheras.

No comments: