Monday, June 30, 2008

Salahkah berbasikal ke Parlimen?

Ahmad Tajdid
Tue | Jun 24, 08 | 3:12:28 am MYT

Selepas puas memujuk rakyat mengubah cara hidup ekoran kenaikan mendadak harga minyak, nada seorang menteri kabinet kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi tiba-tiba berubah.

Semuanya angkara empat Ahli Parlimen KeADILan berbasikal ke Parlimen pada Isnin, 23 Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan tindakan empat wakil rakyat KeADILan itu sebagai kebudak-budakan yang langsung tidak mencerminkan tahap keupayaan pemikiran anggota Parlimen.

Nazri dilapor Utusan Online mendakwa ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu cuba mencari publisiti murahan sedangkan sebagai anggota Parlimen banyak lagi tindakan lebih matang boleh dilakukan bagi membantu kerajaan berhadapan dengan fenomena kenaikan harga minyak global.

�Dahlah kayuh pun setakat dari Bank Negara saja... saya harap kalau sungguh-sungguh sangat, teruslah berbasikal ke Parlimen setiap hari selagi kerajaan tidak penuhi tuntutan mereka (turunkan minyak).

�Jangan setakat kayuh hari ini sahaja, budak darjah enam pun boleh. Pada saya yang penting empat orang ini kena ingat, mereka adalah Ahli Parlimen, ruang tersedia untuk mereka berhujah bagi mengatasi masalah, bukan gimik macam ini.

�Apakah mereka ini ingat kalau dengan kayuh basikal kerajaan boleh turunkan harga minyak?� rungut Nazri kepada pemberita di lobi Parlimen, hari kejadian bersejarah itu berlaku.

Tian Chua (KeADILan-Batu), N. Gobalakrishnan (KeADILan-Padang Serai), Zulkifli Noordin (KeADILan-Kulim Bandar Baharu) dan Hee Loy Sian (KeADILan-Petaling Jaya Selatan) benar-benar mencatat sejarah.

Mereka tidak sepatutnya menjadi 'bahan belasahan' Nazri. Malah jika menteri itu benar-benar berfikiran rasional, beliau sendiri wajar ke pejabat dengan berbasikal untuk sama-sama merasai keperitan hidup rakyat yang semakin merana akibat kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian.

Hina sangatkah naik basikal ke pejabat? Di negara-negara maju khususnya negara-negara Scandinavia, berbasikal untuk ke pejabat bukanlah perkara yang pelik. Tidak payah cakaplah di negara-negara Asia seperti India, Pakistan, Cina, Jepun dan Korea.

Jika Nazri menganggap berbasikal ke Parlimen melambangkan sikap kebudak-budakan, beliau sebenarnya lebih dibuai sentimen daripada memikirkan tindakan itu dari aspek positif.

Apa salahnya kita membudayakan berbasikal ke pejabat? Dan yang patut memulakannya adalah para pemimpin negara yang hanya 'gatal-gatal mulut' meminta rakyat mengubah cara hidup.

Daripada bersesak-sesak dan berhimpit-himpit di dalam bas, komuter, LRT, Putra dan sebagainya, apa salahnya bagi warga kota Kuala Lumpur yang jarak antara rumah dan pejabat sekadar 5km radius menggunakan basikal ke pejabat?

DBKL khususnya perlu memikirkan mekanisme, infrastruktur dan kaedah yang sesuai bagi menggalakkan budaya ini. Ya lah! Kita bukan punyai sistem pengangkutan awam semaju dan seselesa negara-negara maju.

Jika Nazri dan menteri kabinet menggunakan bas, LRT, Putra, komuter dan teksi ke Parlimen, adakah mereka yakin tidak akan sampai lewat ke Dewan Rakyat jika bertolak daripada rumah pada jam 8.00 pagi? Jawablah... Jangan sekadar gatal mulut mahukan rakyat mengubah cara hidup!

DBKL contohnya boleh menyediakan laluan khas berbasikal di ibu kota. Apatah lagi majlis-majlis bandaran di Ipoh, Alor Setar, Pulau Pinang, Shah Alam, Johor Bharu, Kuantan dan jangan lupa Kota Bharu.

Sesekali rakyat mahu melihat YB Takiyuddin Hassan dan YB Husam Musa berbasikal ke Kota Darul Naim. Tak salahkan?

Dalam apa juga aspek kehidupan, soal pendidikan amat penting. Pendidikan berupaya menentukan personaliti dan tabiat manusia.

Jadi apalah salahnya jika kampus-kampus universiti awam memulakan budaya berbasikal ini. Para mahasiswa dan mahaguru di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dikenali sebagai 'Green Campus' sepatutnya boleh berbasikal di dalam kampus. Keadaan tapografi UPM yang rata dan landai membolehkan basikal dijadikan alat pengangkutan utama paling kurang pun di dalam kampus. Begitu juga di Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia dan lain-lain IPTA dan IPTS.

Tapi janganlah berbasikal di UiTM Shah Alam, nanti separuh pelajarnya akan patah kaki dan tangan kerana brek basikal cepat haus dek keadaan tapografinya yang berbukit-bukau.

Bak kata pepatah, alah bisa tegar biasa, nak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Berbasikal memang boleh diamalkan. Ia bukan idea budak-budak tapi cara paling praktikal untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak di samping menyihatkan badan.

Nazri perlu memikirkan semula pandangan serongnya tentang basikal. Atau mungkin sejak dari lahir, pak menteri tu dah boleh tunggang motorsikal!_

Saturday, June 28, 2008

Penyelidik UTP cipta biodiesel biji getah

Penyelidik UTP cipta biodiesel biji getah

TRONOH 3 Jan. – Sekumpulan pensyarah Universiti Teknologi Petronas (UTP) hari ini berjaya menghasilkan biodiesel daripada biji getah yang terbukti lebih murah serta lebih berkualiti berbanding biodiesel yang dihasilkan daripada minyak sawit.

Apa yang menakjubkan biodiesel daripada biji getah ini bukan sahaja boleh digunakan di negara yang beriklim panas tetapi boleh digunakan di negara beriklim sejuk tanpa memerlukan pengubahsuaian kimia.

Ketua Pengkaji biodisel daripada biji getah UTP, Mohd. Tazli Azizan, 26, berkata, ini kerana biji getah yang berlambak di negara ini, terbiar dan tidak digunakan langsung di lebih satu juta hektar ladang getah, dapat menghasilkan biodiesel dengan lebih murah berbanding persaingan terhadap minyak sawit dan bahan tumbuhan yang lain.

Beliau berkata, pihaknya mengkaji produk ini sejak tiga tahun lalu, berikutan biodisel yang dihasilkan daripada minyak sawit dianggap terlalu mahal ekoran kenaikan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Katanya, daripada kajian yang dijalankan, setiap hektar ladang getah mampu menghasilkan antara 800 hingga 1,200 kilogram biji getah setahun.

Beliau berkata, daripada jumlah itu mengikut jumlah keluasan ladang yang terdapat di negara ini, Malaysia mengeluarkan lebih sejuta biji getah dengan kira-kira 450,000 tan isinya setahun.

‘‘Berdasarkan kajian, setiap sekilogram biji getah dapat menghasilkan satu pertiga atau sebanyak 300 hingga 400 gram minyak biodisel,” katanya kepada Utusan Malaysia di UTP di sini hari ini.

Hasil daripada kajian luar biasa Mohd. Tazli bersama dua lagi pensyarah iaitu Prof. Madya Dr. Suzana Yusup dan Prof. Madya Ir. Abdul Aziz Omar dan beberapa pelajar telah merangkul pingat emas di Pameran Innova Eureka di Brussels, Belgium baru-baru ini.

Beliau bersama pensyarah itu memperoleh pingat emas menerusi Penghasilan Biodiesel Daripada Biji Getah: Dalam Bentuk Transesterifikasi pada pertandingan inovasi antarabangsa itu.

Katanya, proses menghasilkan biodiesel daripada biji getah ini begitu mudah iaitu dengan terlebih dahulu biji getah dikisar halus dan dicampur bahan untuk mengurangkan asid lemak seperti alkohol dan katalis tertentu yang menjadi ramuan khas yang dicipta oleh pensyarah berkenaan.

Beliau berkata, alkohol dan katalis ini bertindak sebagai penapis mengeluarkan minyak daripada biji getah dan selepas itu melalui dua peringkat penapisan.

‘‘Apabila berlaku proses mengurangkan asid lemak maka tindak balas untuk menghasilkan minyak biodiesel berkenaan sudah selesai,” katanya.

Menurutnya, pada masa kini, kos penghasilan di makmal setiap kilogram biodiesel biji getah ini dianggarkan hanya RM2.60.

Mohd. Tazli, pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia yang berasal dari Mata Air, Perlis itu begitu optimis penghasilan biodisel daripada biji getah ini boleh dikomersialkan dengan lebih serius pada masa depan berdasarkan beberapa maklum balas yang diperoleh daripada beberapa buah negara seperti Australia.

Katanya, pihaknya memerlukan peruntukan sebanyak RM3 hingga RM4 juta untuk membina sebuah loji penapisan biodisel ini.

‘‘Kami menganggarkan setiap 100 hektar ladang getah boleh dibina sebuah kilang berkapasiti sederhana untuk menghasilkan biodisel ini dan kilang ini boleh dibina dalam kawasan ladang getah itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah mencari kaedah untuk mengutip biji getah yang bertaburan di ladang bagi mengurangkan kosnya.

‘‘Saya berharap dengan berjayanya pencetusan biodisel ini, penyelidik pokok getah dapat mencetuskan pula bagaimana untuk menambah pengeluaran biji getah dari setiap pokok,” katanya.

Pendidikan percuma

Pendidikan percuma

Oleh: MARZITA ABDULLAH

MENGUKUR kepesatan pembangunan negara terutama pembangunan pendidikan, sememangnya ukuran sepanjang tempoh 50 tahun kemerdekaan memaparkan senario yang menakjubkan.

Mungkin bagi generasi sekarang perubahan itu suatu perkara yang harus berlaku atau ‘biasa-biasa’ seperti yang berlaku di negara-negara jiran.

Namun bagi diri ‘orang lama’ seperti Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang, dahulu dan sekarang dalam konteks pendidikan amat jauh bezanya dan bukan suatu perkara yang datang sendiri tetapi atas usaha banyak pihak.

Perkara utama iaitu izin Allah, diri sendiri, keluarga dan kerajaan memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan.

Semua orang tahu rata-rata generasi lama berhempas pulas untuk memperoleh ilmu kerana situasi pada masa tersebut yang serba ketinggalan namun suatu perkara yang amat penting adalah kegigihan mereka.

Tidak dapat tidak kekangan yang dihadapi oleh generasi dahulu seperti Zulkurnain perlu dibuat perbandingan untuk generasi sekarang mensyukuri kemudahan yang telah tersedia.

Berasal dari Pasir Putih, Kelantan, Zulkurnain mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Petai, Pasir Putih pada tahun 1957, namun hanya bertahan dalam tempoh satu tahun kerana jalan yang sering becak.

Maka beliau bertukar sekolah yang hampir dengan rumahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Putih bermula dari darjah dua hingga empat.

Jika dibandingkan dengan sekolah pertama, sekolah kedua ini terlalu daif dengan hanya berlantaikan tanah dan beratap nipah yang bocor manakala semua pelajar ditempatkan dalam satu kelas yang besar tanpa mengira tahap.

Tanpa sebarang pengetahuan tentang bahasa Inggeris, malah tidak ada pun mata pelajaran Bahasa Inggeris diajar di sekolah dan guru-guru yang tidak terlatih, hanya berkelulusan darjah enam namun berdedikasi, Zulkurnain terpilih untuk menduduki peperiksaan yang dikenali sebagai ‘Special Malay Examination’ semasa darjah empat.

‘‘Ujian ini menumpukan ujian IQ dan Matematik dan saya bersama dua orang lagi pelajar berjaya dalam peperiksaan tersebut namun kerana tidak tahu bahasa Inggeris maka dalam ujian itu saya diletakkan pada tahun 1B,” katanya.

Bermula saat itu, beliau ditempatkan di sekolah aliran Inggeris di Sekolah Rendah Inggeris Kamil, Pasir Putih tanpa pengetahuan tentang bahasa Inggeris dan bercampur gaul dengan pelajar yang mempunyai latar belakang yang lebih baik daripadanya.

Dahulu, beliau hanya membawa papan batu dan kalam.

‘‘Jarak sekolah kira-kira tujuh kilometer, saya berbasikal ke sekolah, basikal yang dibeli ibu setelah menjual gelang emas, tetapi sepanjang tiga kilometer terpaksa memikul basikal kerana jalan terlalu becak,” katanya.

Semasa tingkatan satu, beliau mendapat bantuan kerajaan melalui Biasiswa Kecil Persekutuan RM20 sebulan.

‘‘Duit ini dimasukkan dalam akaun di pejabat pos dan bukunya dipegang oleh guru dan duit itu saya gunakan untuk membeli peralatan sekolah,” katanya.

Dalam pendidikan, beliau menghadapi hari-hari yang sukar kerana perlu membiasakan diri memahami bahasa Inggeris sementelah semua mata pelajaran diajar dalam bahasa tersebut.

‘‘Guru-guru memang amat dedikasi dan garang, memukul pelajar seperti melempang adalah perkara biasa malah saya pernah diketuk menggunakan pembaris besar sehingga bengkak,” katanya.

Mengimbau kembali pada masa dahulu, beliau dan malah ramai rakan yang hanya mempunyai sehelai baju, seluar dan pelekat untuk ke sekolah.

‘‘Malah baju seragam sekolah itu pun, dibeli semasa Hari Raya jadi bila Hari Raya boleh berbaju baru,” katanya.

Zulkurnain meminati aktiviti kokurikulum pengakap tetapi tidak mampu membeli peralatan pengakap yang ketika itu berharga RM20.

‘‘Membandingkan zaman dahulu dan sekarang, hari ini, saya amat gembira kerana kerajaan meluluskan bantuan pakaian seragam bagi aktiviti kokurikulum kerana saya tidak mahu pelajar sekarang mengalami apa yang saya lalui di mana kemiskinan menghalang saya aktif kokurikulum,” katanya.

Secara umumnya, pada tahun ini, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak RM188.8 juta setahun bagi Elaun Pakaian Seragam Unit Beruniform kepada lebih satu juta pelajar miskin di tahap dua sekolah rendah dan kepada 850,000 pelajar di sekolah menengah .

‘‘Sepanjang sekolah bermula dari sekolah rendah hingga sekolah menengah saya jarang ke kantin dan kalau pergi pun hanya untuk melihat apa yang dijual kerana saya tidak mampu,” katanya.

Namun bezanya sekarang, pelajar miskin diberi bantuan makanan melalui Rancangan Makanan Tambahan melalui peruntukan RM276 juta. Setiap pelajar mendapat RM1.20 sehingga RM2.05. Mereka juga diperuntukkan makanan berkhasiat seperti Program Susu Sekolah bernilai RM26.7 juta yang dimanfaatkan oleh 621,773 pelajar.

Bantuan makanan juga diberi kepada pelajar prasekolah melalui Bantuan Makan Khas Prasekolah yang bernilai RM50 juta untuk 171,550 pelajar.

Asrama

Manakala untuk pelajar di asrama, Bantuan Makanan Asrama dinaikkan daripada RM9.50 kepada RM12 menjadikan peruntukan pada tahun ini meningkat kepada RM1.08 bilion berbanding RM665 juta pada tahun lalu.

‘‘Bayaran untuk pelajar di sekolah berasrama disubsidikan, ibu bapa hanya perlu bayar RM1, kerajaan tanggung RM12 bagi setiap pelajar sehari dan peruntukan ini untuk 402,864 pelajar di asrama harian, sekolah berasrama penuh, sekolah teknik dan sekolah agama bantuan kerajaan,” katanya.

Zulkurnain adalah antara pelajar yang cemerlang kerana berjaya melanjutkan pengajian ke tingkatan enam di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu.

‘‘Bermula tingkatan satu sehingga tingkatan enam Biasiswa Kecil Persekutuan diberi berterusan kepada saya malah dari RM20 semasa di tingkatan satu sehinggalah kepada RM70 di tingkatan enam,” katanya.

Tegas beliau, wang biasiswa banyak membantu memastikan beliau mendapat pendidikan yang lebih baik.

Konsistensi kerajaan memperuntukkan biasiswa melalui Biasiswa Kecil Persekutuan berterusan sehingga hari ini. Tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM268.5 juta bagi Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan Universiti dan Skim Biasiswa Sukan untuk 320,000 pelajar sekolah menengah.

Kata Zulkurnain, tanpa bantuan kerajaan seperti biasiswa bermula di peringkat sekolah sehingga peringkat PhD beliau tidak dapat belajar mahupun menjadi seperti apa yang ada sekarang.

‘‘Bermula merdeka sehingga 50 tahun hari ini saya boleh melihat perubahan yang begitu besar,” katanya.

Hari ini sekolah di pedalaman mana sekalipun, kerajaan membekalkan elektrik dan air bersih termasuk kemudahan peralatan canggih seperti komputer, Internet serta banyak bantuan lain.

Bagi persekolahan tahun ini sahaja kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk bantuan tambahan iaitu 78 peratus lebih tinggi daripada peruntukan tahun lalu yang hanya RM1.68 bilion.

Daripada jumlah itu, RM200 juta diperuntukkan kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin untuk 931,673 pelajar dari Tahun 1 sehingga tingkatan satu. Manakala RM246.9 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen (SBT) yang termasuk bantuan makanan kepada 478,778 pelajar SBT.

Malah untuk kemudahan perjalanan pergi dan pulang pelajar dan sebarang aktiviti seperti lawatan, kerajaan memperuntukkan RM9.1 juta bagi Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid.

Hari ini kata Zulkurnain, sepatutnya tidak ada si miskin yang tidak ke sekolah disebabkan kemiskinan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan.

‘‘Sepatutnya tidak timbul isu itu tetapi isu sebenarnya ialah masalah disiplin dan semangat belajar,” katanya.

‘‘Saya cuba bercerita kepada anak-anak mengenai kehidupan saya tetapi mereka tidak faham dan ini menunjukkan betapa pesatnya perkembangan pendidikan di negara ini dalam tempoh satu generasi,” kata Zulkurnain yang melakarkan setiap pengalaman hidupnya melalui lukisan.

Menurut beliau, jika ada orang meninggalkan negara ini sejak 50 tahun lalu dan kembali semula ke tanah air, mereka akan terkejut dengan perubahan yang melanda negara.

‘‘Keutamaan saya adalah di pedalaman seperti Sabah dan Sarawak kerana saya mahu melihat agar tidak ada siapa yang ketinggalan dalam pendidikan hanya disebabkan kemiskinan,” katanya.

Malah mulai tahun ini Kementerian Pelajaran mengadakan kelas-kelas percuma untuk ibu bapa dalam kalangan Orang Asli supaya hadir bersama anak masing-masing,” katanya.

Pelajar Malaysia terlepas hukuman mati di Mesir

17/01/2008 7:09pm
Pelajar Malaysia terlepas hukuman mati di Mesir

SHAH ALAM 17 Jan. - Pelajar tajaan Malaysia di Mesir, yang dituduh membunuh rakan senegaranya Jun tahun lalu terlepas daripada hukuman gantung sampai mati dalam keputusan perbicaraan di Mahkamah Mesir 14 Januari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan pelajar tahun dua, Jurusan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar cawangan Mansourah itu dikenakan hukuman penjara 25 tahun atas tuduhan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, keputusan tersebut pasti menggembirakan pelajar berkenaan yang selama ini merasakan bakal dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

``Saya menerima laporan tersebut melalui kiriman pesanan ringkas (SMS) pegawai kita di sana, pagi ini yang memaklumkan pelajar berkenaan terlepas hukuman gantung.

``Selain itu, saya dimaklumkan, pelajar terbabit juga dibenarkan membuat rayuan bagi mengurangkan tempoh hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya," katanya di sini hari ini.

Abdul Rahman enggan mendedahkan identiti pelajar yang berasal dari Dengkil, Selangor dan ditaja oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu.

Makan besar mengerat hubungan keluarga

Makan besar mengerat hubungan keluarga

JIKA anda masih belum mempunyai cadangan ke mana untuk membawa ahli keluarga pada cuti sempena Tahun Baru Cina minggu depan, apa kata bawa keluarga mencuba hidangan bufet istimewa di Tropicana Golf and Country Resort.

Terletak di daerah Petaling Jaya, Selangor, destinasi tersebut sememangnya pilihan yang tepat untuk aktiviti sekeluarga terutama untuk menjamu selera.

Siapa yang tidak terpesona melihat keindahan hidangan masakan Cina yang pastinya menjanjikan kelazatan. Tambah melegakan hati terutama buat orang Islam, ia merupakan hidangan 100 peratus halal.

Bersempena sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Kekasih tahun ini, Palm Coffee House yang terletak di dalam kawasan rumah kelab ini, mengadakan promosi hidangan yang dinamakan Makan Malam Bersatu Tahun Baru Cina dan Makan Malam Hari Kekasih.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Tahun Baru Cina bukanlah sekadar melihat tarian singa dan dentuman mercun, tapi paling utama ialah berkumpul bersama ahli keluarga untuk menikmati hidangan yang dinamakan ‘makan besar’.

Uniknya di negara ini, semua bangsa dapat turut sama meraikan tradisi kaum lain kerana ketelusan serta perpaduan yang terjalin erat antara kaum sejak dulu lagi.

Bagi yang teringin untuk merasai hidangan makan besar Cina, bolehlah memilih antara tarikh 1 hingga 6 Februari ini.

Hanya RM68 untuk dewasa dan RM48 untuk kanak-kanak untuk pilihan hidangan yang pasti memuaskan hati. Antaranya, tiram di atas ais, sashimi, sup sirip yu, gulai kawah ala masakan Cina, Lok Bak ayam dan banyak lagi.

Bufet makan malam bermula pada 7.00 petang dan berakhir pada 10.30 malam. Untuk tempahan boleh menghubungi talian 03-78048888 sambungan 306.

Pokok bantut kegilaan ramai bonsai

Pokok bantut kegilaan ramai


Memiliki sejumlah pokok bonsai menjadikan Fanny Lim puas dengan apa yang dilakukan.


Sejarah bonsai dipercayai bermula seawal 2,000 tahun lalu semasa Dinasti Han di China dan telah dibangunkan dalam bentuk baru di China, Jepun, Korea dan Vietnam.

Pada mulanya, masyarakat Jepun menggunakan pokok-pokok bantut yang ditanam dalam bekas untuk menghias rumah dan taman,

Semasa era Tokugawa, landskap taman menjadi semakin penting dengan pokok-pokok seperti azalea dan maples.

Pokok bonsai paling tua yang masih ada dikatakan dalam koleksi Happo-en (sebuah taman dan restoran eksklusif) di Tokyo, Jepun yang berusia antara 400 hingga 800 tahun.

Salah seorang ahli Persatuan Bonsai Malaysia yang boleh dikatakan sifu tanaman bonsai Fanny Lim berkata, pokok bonsai yang cantik dan menarik perlu memenuhi tiga kriteria utama iaitu umur pokok yang tua, daun yang kecil dan pokok yang tahan lasak.

“Pokok bonsai biasanya dipelihara semasa berusia tiga atau empat tahun ketika ukur lilit pokok sekitar tiga inci,” katanya yang mula bergiat dalam seni bonsai sejak berusia belasan tahun.

Fanny berkata, membuat bonsai merupakan satu kepuasan baginya yang tidak didapati dalam aktiviti-aktiviti lain.

Menurut beliau, aktiviti bonsai boleh menghilang tekanan seharian selepas seharian membuat kerja-kerja di pejabat atau perniagaan.

Fanny yang juga tuan punya Sanfong Bonsai and Art Garden yang terletak di Jalan Semenyih, Selangor memberikan khidmat mengajar membuat bonsai dengan percuma.

“Di sini 40 peratus pembeli terdiri daripada orang Melayu dan mereka boleh belajar membuat bonsai di sini.

“Saya tidak mengenakan sebarang bayaran tetapi mereka perlu melakukan semua sendiri,” katanya yang juga memberikan nasihat mengenai penjagaan pokok bonsai.

Fanny berkata, bonsai biasanya menggunakan pokok berdaun halus seperti asam jawa, kemuning, cucur atap, ara dan melati.

Pokok yang hendak dijadikan bonsai biasanya ditanam di dalam pasu yang kecil agar pertumbuhannya bantut.

Penjagaannya juga mudah, hanya memerlukan banyak air disiram dua kali sehari kerana pokok diletakkan di kawasan yang terdedah dengan cahaya matahari.

Baja pula perlu diletakkan seminggu dua kali bagi mengembalikan nutrien dalam tanah dan dibuangkan daunnya mengikut keperluan. “Pokok yang hendak dijadikan bonsai perlu diuruskan dengan melilit dawai pada dahannya agar mudah dibentuk.

“Selepas selesai dibentuk, dawai akan dibuka setelah empat bulan, pokok dicantas sekali lagi dan dahan dililit dengan dawai semula,” katanya.

Ini dilakukan berkali-kali sehingga pemiliknya berpuas hati dengan bentuk bonsai yang diinginkan.

Memandangkan bonsai mempunyai peminatnya tersendiri, terdapat Persatuan Bonsai dan Suiseki Malaysia yang menganjurkan Pertandingan dan Pameran Bonsai dan Suiseki Kebangsaan setiap tahun.

Pertandingan yang telah diadakan pada 24 hingga 28 Mei lalu menampilkan antara bonsai tercantik dan termahal.

Antara acara yang bakal menarik perhatian pengunjung adalah demonstrasi membentuk pokok bonsai oleh sifu dari Taiwan, esei kanak-kanak mengenai bonsai, ceramah mengenai batu dan penjualan pokok-pokok bonsai.

Mereka yang berminat dengan pokok-pokok bonsai bolehlah meluangkan masa ke sebuah pasar raya besar di Cheras.

UiTM Kelantan anjur sidang perabot antarabangsa

UiTM Kelantan anjur sidang perabot antarabangsa

KOTA BHARU 24 Jun - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan dan Furniture Industry Technology Centre (FITEC) akan menganjurkan persidangan perabot antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 28 Julai ini.

Pengarah persidangan itu, Prof. Madya Zulkarnain Yusoff berkata, ia akan diadakan selama tiga hari dan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, persidangan itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada pengusaha industri perabot di negara ini mengenai kepentingan reka bentuk inovatif dan kontemporari dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, persidangan tersebut juga akan membincangkan mengenai strategi pemasaran terkini bagi pasaran perabot global yang begitu kompetitif, kompleks dan mencabar.

"Ia akan dihadiri kira-kira 500 peserta dari dalam dan luar negara dan sempena program itu, kita juga akan mengadakan satu pameran perabot FITEC Showcase," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis UiTM Bersama Media Kelantan di sebuah hotel di sini malam tadi. Hadir sama, Pengarah Kampus UiTM, Datuk Prof. Dr. Hussin @ Mohamad Ab. Rahman.

Zulkarnain yang juga Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Akademik UiTM Kelantan berkata, persidangan yang bertemakan mengantarabangsakan reka bentuk perabot akan mengutarakan dua perkara asas iaitu reka bentuk serta pemasaran bagi pengeluaran perabot.

Katanya, ia bertepatan dengan perkembangan yang memberangsangkan eksport perabot negara ini yang dijangka mencatat jualan melebihi RM8.5 bilion pada tahun ini berbanding RM4.36 bilion, 10 tahun lalu.

"Dua penceramah terkemuka akan membentangkan kertas kerja mereka termasuk Karim Rashid, seorang pereka perabot terkenal dunia yang akan mengupas mengenai kepentingan reka bentuk berkualiti.

"Dr. Stefan Wille daripada Aktrin Furniture Information Centre pula akan membincangkan secara terperinci mengenai strategi pemasaran," katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhannya, sebanyak 56 kertas kerja hasil penyelidikan akan dibentangkan.

11 pengurusan UiTM berentap jadi terbaik

11 pengurusan UiTM berentap jadi terbaik

SHAH ALAM Sebanyak 11 daripada 45 pengurusan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpilih untuk berentap pada peringkat akhir Konvensyen Amalan Pengurusan Terbaik UiTM 2008.Antara pengurusan UiTM yang terpilih ialah pejabat Bendahari, Perpustakaan Tun Abdul Razak dan pejabat Pendaftar.

Pertandingan itu akan diadili 10 pengadil yang diketuai Profesor Madya Dr. Rahmah Mohd. Rashid dan keputusannya akan diumumkan pada November depan.

Majlis perasmian pertandingan akhir Konvensyen Amalan Pengurusan Terbaik UiTM 2008 dirasmikan Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Datuk Dr. Nasuddin Othman di sini semalam.

Nasuddin dalam ucapannya berkata, konvensyen yang julung kali diadakan itu adalah anjuran Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), melibatkan penyertaan seluruh bahagian, jabatan, pusat, unit, fakulti dan kampus-kampus negeri.

Beliau berkata, konvensyen dengan tema 'Isu dan Perspektif Antara Pemahaman dan Pembangunan' itu bertujuan memberi pengiktirafan sama ada dalam bentuk hadiah kemenangan mahu pun perkongsian ilmu di kalangan warga kerja.

"Saya yakin melalui pelbagai inisiatif anugerah kualiti yang dilaksanakan, ia telah berjaya menyemarakkan idea-idea baru seterusnya melahirkan warga universiti yang kreatif dan inovatif.

"Semangat daya saing yang tinggi di kalangan warga kerja UiTM seharusnya mendapat penghargaan yang sewajarnya sama ada di peringkat jabatan, universiti dan seterusnya ke peringkat negara dan antarabangsa," katanya.

Menurut Nasuddin, beliau yakin hasil konvensyen itu mampu menjadi salah satu pemangkin untuk merealisasikan tema tahun 2008 iaitu Pengantarabangsaan UiTM: Menyahut Cabaran Global.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan agar projek-projek amalan pengurusan terbaik yang dipamerkan dapat diguna pakai dan dijadikan Prosedur Operasi Standard bagi memantap fungsi operasi proses-proses utama di peringkat fakulti, bahagian dan kampus negeri.

Wednesday, June 25, 2008

Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad Al-Banjari

Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad Al-Banjari

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Ulama yang diperkenalkan pada artikel kali ini pernah dibicarakan oleh penulis dalam ruangan yang sama ini pada 19 September 2005.

Namun hanya meliputi sebahagian saja iaitu nama lengkap, pendidikan, sahabat-sahabat dan penulisan beliau.

Pada artikel ini pula akan dibicarakan tentang keturunan-keturunan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang tersebar di seluruh pelosok Asia Tenggara; Brunei, Malaysia, Fathani, Mekah dan negeri-negeri lainnya. Demikian yang dapat dicatat melakukan aktiviti pendidikan, dakwah dan tokoh masyarakat, di antaranya yang diperkenalkan sebagai berikut:

DI KEDAH, MALAYSIA BARAT

Alimul ‘Allamah Kadi Haji Abu Su’ud bin Syeikh Muammad Arsyad al-Banjari kahwin di Kedah. Memperolehi seorang putera iaitu Mas’ud. Mas’ud berkahwin dengan Rajmah.

Beberapa orang keturunannya menjadi ulama-ulama besar yang terkenal di seluruh Malaysia. Mereka ialah: Alimul ‘Allamah Haji Muhd. Thayib bin Mas’ud, penyusun kitab Melayu berjudul Miftaahul Jannah. Ia sebuah kitab Melayu/Jawi yang terkenal dan banyak dikaji.

Haji Muhd. Zain bin Mas’ud, sebagai Hakim manakala Haji Bahauddin bin Mas’ud sebagai Pahlawan. Mas’ud bin Kadi Abu Su’ud sendiri adalah seorang syahid fi sabilillah yang tewas dalam peperangan antara Melayu (Islam) dengan Siam (Buddha) di Kedah ataupun Fathani Darussalaam.

Nasibnya mungkin sama seperti yang dialami oleh Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani, Haji Sulong al-Fathani dan para syuhada lainnya.

DI JOHOR, MALAYSIA BARAT

Jalan dakwah Banjar ke Johor, dirintis oleh keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Zakaria bin Mufti Haji Abdul Jalil bin Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhd Arsyad al-Banjari. Beliau berkahwin di Mersing, Johor, memperolehi 13 anak.

Kemudian dengan perkahwinan Alimul Fadhil Haji Muhd Yasin bin Khalifah Haji Hasanuddin, di Teluk Belanga Singapura, kegiatan dakwah ke Johor dipergiat lagi. Melalui perkahwinannya di Teluk Belanga Singapura itu, Haji Muhd. Yasin memperoleh lima anak iaitu, Haji Ja’afar menjadi kerani Kerajaan Johor, Haji Abdur Rahim menjadi Imam Masjid Teluk Belanga, Rahmah mengajar al-Quran dan hukum-hukum Islam di Johor, pekerjaan yang sama juga dilakukan oleh saudaranya sendiri iaitu Aminah.

Saudaranya yang terakhir bernama Haji Harun guru sekolah dan Bilal Teluk Belanga. Mereka semuanya mempunyai keturunan di Johor dan Singapura.

DI SARAWAK, MALAYSIA TIMUR

Dalam rangka menyebarkan Islam dengan memasuki sektor perdagangan, salah seorang zuriat Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Abdul Ghani pergi ke Mukah, Sarawak. Abdul Ghani sewaktu di Banjar kahwin dengan Saudah binti Haji Muhd As’ad, semua anaknya meninggal dunia.

Di Sarawak, Abdul Ghani berkahwin lagi dan memperoleh dua anak iaitu Muhd. Said dan Sa’diyah. Muhd. Sa’id memperoleh dua orang anak iaitu Adnan dan Jannah.

Sa’diyah dapat anak bernama Sailis, pindah ke Sekadau, Kalimantan Barat, Indonesia.

DI BRUNEI DARUSSALAM

Bagi memperkukuhkan dakwahnya di Brunei, Alimul ‘Allamah Haji Muhd Thasin bin Mufti Haji Jamaluddin bin Sheikh Muhd Arsyad al-Banjari berkahwin berkali-kali, iaitu dengan Hamimah memperoleh seorang putera bernama Abdur Rahman.

Perkahwinan dengan Siti, memperolehi Shafura dan Mahmud. Dengan Aminah binti Alimul ‘Allamah Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Latif memperoleh putera bernama Haji Muhd. Ramli. Melalui perkahwinan dengan Bintang memperoleh putera bernama Salman dan Thaha.

Perkahwinan tersebut semuanya di Brunei, sedang sebelumnya beliau telah berkahwin di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.

DI FATHANI DARUSSALAM

Sheikh Abdur Rahman Shiddiq menulis, “Kiai Dipa Santa Ahmad bin Fardi bin Ahmad beranak tiga orang. Pertama Haji Amin, belayar ke Fathani dan beristeri di sana. Maka zuriatnya semuanya di Fathani”.

DI PONTIANAK, KALIMANTAN BARAT (INDONESIA)

Haji Thasin bin Syeikh Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang ke Pontianak, memperoleh tiga anak iaitu Haji Muhammad Yusuf, Haji Arsyad dan Abdur Rahman.

Diceritakan bahawa Haji Muhammad Yusuf bin Haji Thasin setelah beliau belajar ilmu-ilmu keislaman, lalu menjadi seorang pedagang intan.

Beliau merantau ke seluruh Kalimantan, Sumatera hingga keluar negeri ke Saigon dan Kemboja. Di Kampung Melayu Kemboja, beliau berkahwin lagi. Bahawa beliau berkahwin sebanyak 40 kali. Isteri yang terakhir inilah yang dibawa kembali ke Kalimantan Barat.

Beliau membuka tanah perkebunan getah yang sangat luas, setelah pekerjaannya tersebut menjadi lalu diberi nama Kampung Saigon. Beliau sendiri popular dengan sebutan Haji Yusuf Saigon sehingga hilang nama negeri asalnya Banjar.

Adiknya pula seorang ulama yang menyiarkan Islam dengan berpindah dari satu kampung ke satu kampung, namun beliau sempat menulis beberapa buah kitab. Kitab Tajwid Fatihah cetakan pertama al-Ahmadiyah Singapura tahun 1348 H/1929 M adalah salah satu daripada kitab-kitab beliau yang ada pada penulis.

Keterangan daripada anak beliau, Ustaz Haji Fauzi bahawa masih ada beberapa buah karangannya di antaranya Ilmu Ushul Fiqhi. Sungguh sayang beberapa buah karya itu masih belum ditemui kerana hilang dalam simpanan beliau.

Prof. Dr. Hamka menulis pada kata pengantar karya orang tuanya, “Orang pertama menulis Ilmu Ushul Fiqhi dalam bahasa Melayu ialah Dr. Haji Abdul Karim Amrullah yang diberinya nama Sullamul Ushul Yurqabihi Sama’u Ilmul Ushul selesai ditulis pukul 6.30 pagi, Sabtu 24 Muharam 1333 H atau 12 Disember 1914 M di Jambatan Besi, Padang Panjang”.

Jika Ushul Fiqhi karya Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin itu ditemui tentu dapat dibandingkan dengan karya ayah/orang tua Buya Hamka itu. Mungkin itu lebih dahulu atau selisih tahun yang tidak begitu jauh.

Dua orang putera Haji Muhammad Thasin iaitu Haji Muhammad Yusuf Saigon dan Haji Muhammad Arsyad Pontianak yang tersebut di atas setelah melihat kesuburan pohon getah dari usaha jerih payah, mereka sendiri bangkit kembali cita-cita meneruskan perjuangan datuk mereka, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang dianggap sebagai ‘Matahari Islam’ itu.

Kedua-duanya sama-sama beriktikad bahawa tiada suatu perjuangan pun yang terlebih mulia yang dapat menyelamatkan seseorang baik di dunia mahupun akhirat melainkan perjuangan menyebarkan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh para Nabi dan Rasul Allah.

Urusan mencari dana ditangani oleh Haji Muhammad Yusuf, manakala untuk propaganda dan dakwah oleh saudaranya Haji Muhammad Arsyad. Cita-cita mereka dikabulkan Allah kerana dalam tahun 1925 M, datang seorang pemuda dari Ketapang bernama Haji Abdush Shamad yang baru tamat dari pendidikannya di Madrasah Shaulatiyah, Mekah.

Haji Abdush Shamad ditampung oleh Haji Muhammad Saigon, lalu didirikanlah Pondok Pesantren Saigoniyah yang dianggap oleh masyarakat sebagai pondok pengajian yang pertama sekali di Kalimantan Barat.

Adapun pondok pengajian selainnya ialah Darul Ulum yang didirikan oleh Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani lepasan Pondok Kenali Kelantan/Malaysia, terletak di Kampung Terusan, Mempawah.

Selain dari sistem pondok pesantren di Kalimantan Barat, terdapat juga lembaga pendidikan berbentuk madrasah di antaranya yang dianggap tua ialah Madrasah al-Falah didirikan oleh Syeikh Yusuf al-Manshuri tahun 1917 M.

Pondok Pesantren Saigoniyah banyak menghasilkan kader-kader yang masih dapat dijejaki kesan-kesannya, namun jumlahnya tidaklah ramai. Salah seorang daripada lepasan Saigoniyah ialah Haji Abdul Manaf.

Beliau pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Pondok Pesantren Al-Fathanah yang didirikan oleh penulis. Beliau merupakan seorang yang pakar tentang ilmu faraid dan ilmu nahwu.

Saigoniyah telah hilang namanya akibat perang dunia kedua, namun muncul pula dengan nama baru, dalam tahun 1977 M iaitu Madrasah Al-Irsyad.

Berkemungkinan bahawa nama itu adalah untuk mengabadikan nama Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, juga nama Haji Muhammad Arsyad.

DI SAPAT INDERAGIRI, SUMATERA

Kita tinjau pula lembaga pendidikan dan dakwah Islamiah keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di Sumatera.

Ada seorang cicit beliau bernama Haji Abdur Rahman Siddiq tinggal di Sapat, Inderagiri. Beliau adalah seorang ulama besar yang terbukti dengan karya-karya nyatanya.

Beliau adalah orang pertama menyusun sejarah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dengan buku berjudul Syajaratul Arsyadiyah. Selain itu, beliau banyak meninggalkan karya penulisan yang dicetak oleh al-Ahmadiyah Press Singapura. Ulama ini adalah orang pertama membuka sekolah di Sapat.

DI MEKAH

Dalam beberapa buku karya Sheikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani (Padang) ada menyebut bahawa anak Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Sheikh Yusuf bin Muhammad Arsyad al-Banjari.

Di belakang nama ada juga ditulis dengan al-Bantani. Syeikh Yusuf al-Banjari tersebut belajar kepada ayahnya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di Mekah dan juga kepada Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani.

Sheikh Nawawi al-Bantani adalah salah seorang murid beliau. Pelbagai bidang ilmu terdapat sambungan sanad sama ada dari ayahnya ataupun Sheikh Muhammad Abdush Shamad al-Falimbani tersebut.

Selain itu, Sheikh Yasin Padang juga menyebut salah seorang anak Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Mahmud. Iaitu keturunannya yang menjadi ulama di Mekah.

Nama penuhnya ialah Sheikh Ali bin Mahmud bin Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Sheikh Ali al-Banjari ini lahir di Mekah tahun 1285 H/1868 M. Beliau belajar kepada Sayid Abu Bakar Syata, Sheikh Said Yamani, Sheikh Yusuf al-Khaiyat, Habib Husein bin Muhammad al-Habsyi al-Alawi, Habib al-Alawi bin Ahmad as-Saqaf, Mufti ‘Abid bin Husein bin Ibrahim al-Makki, Habib Ahmad bin Hassan al-Atas, Habib Umar bin Salim al-Atas, Sheikh Mahfuz Termas, Sheikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain.

Sheikh Ali al-Banjari mengajar di Masjidil Haram. Beliau wafat pada malam Jumaat 12 Zulhijjah 1307 H, dikebumikan di Mu’alla, Mekah.

TEMPAT-TEMPAT LAIN

Selain lembaga-lembaga pendidikan zuriat-zuriat beliau di Pontianak Kalimantan Barat, Sapat/Inderagiri dan Malaysia, masih banyak lagi lembaga-lembaga lain baik di tanah Banjar sendiri mahupun di Pulau Jawa.

Di Bangil Jawa Timur terdapat Pondok Pengajian yang didirikan oleh zuriatnya dengan nama Pesantren Untuk Kelampayan. Pondok ini dipimpin oleh zuriat beliau bernama al-‘Alim al-Fadhil Haji Muhammad Syarwani Abdan.

Di Dalampagar (Banjar) terdapat dua madrasah yang didirikan oleh zuriat beliau, demikian juga di Telok Selong, Kampung Melayu dan lain-lain. Berbagai-bagai nama madrasah itu di antaranya yang dapat diketahui Madrasah Sullamul ‘Ulum dan Madarasah Mura’atus Shibyaan, kedua-duanya di Kampung Dalampagar tersebut.

Madrasah Sabiilur Rasyad di Kampung Selong, Madrasah al-Irsyad di Kampung Sungai Tuan. Berkemungkinan masih banyak lagi yang belum kita ketahui.

Sewaktu penulis menunaikan haji tahun 1979 M, ada orang menceritakan bahawa ada seorang ulama Banjar mengajar di Masjidil Haram bernama Haji Abdul Karim al-Banjari. Beliau termasuk salah seorang di antara zuriat Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Selain berita tersebut, bahawa di Martapura telah terbentuk Yayasan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjar yang diketuai oleh Haji Asdhy Suryadi. Yayasan ini terbentuk dalam rangka haulnya oleh panitia 30 November 1967, Haul Sheikh Arsyad al-Banjari ke 160 jatuh pada hari wafat beliau iaitu 7 Syawal 1387 H/ 7 Januari 1968 M bertempat di Kompleks Kubah Kelampayan, Kalimantan Barat, Indonesia

Kenaikan harga minyak punca inflasi meningkat

Kenaikan harga minyak punca inflasi meningkat
Abu Bakar Rahman
Tue | May 16, 06 | 1:49:37 pm MYT

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh): Inflasi sememangnya semakin meningkat, kian membebankan rakyat dan hakikat itu terbukti apabila indeks harga pengguna (CPI), yang merupakan indikator utama inflasi, meningkat kepada purata 4.63 peratus April ini, berbanding indeks yang dicatat April tahun lepas.

Khidmat HarakahDaily.Net melalui wap ditutup sementara untuk kerja-kerja penyelengaraan. Harap Maklum.

Menurut Business Times (BT), ia merupakan kesan kepada kenaikan harga minyak Febuari lalu dan pakar-pakar ekonomi menjangkakan inflasi akan terus meningkat pada separuh pertama tahun ini.

Sembilan pakar ekonomi yang memberi respon kepada soal-selidik BT mengenai inflasi itu juga memberi amaran bahawa inflasi akan terus memuncak dengan kenaikan tarif elektrik yang dijangka akan berlaku dalam tempoh terdekat tahun ini.

Inflasi pada Mac lalu melonjak ke tahap tertinggi dalam enam tahun, iaitu 4.8 peratus tahun atas tahun, berikutan kenaikan kos pengangkutan akibat kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato' Seri Dr Lim Keng Yaik telahpun menyatakan kerajaan akan membenarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaikkan tarif elektrik, untuk pertama kali dalam sembilan tahun.

Mengambil kira kesan kenaikan tarif elektrik yang dijangka menaikkan lagi kadar inflasi dan akan tambah membebankan rakyat, dua persatuan pengguna baru-baru ini menggesa kerajaan menghentikan spekulasi kenaikan tarif elektrik dengan mengumumkan segera kadar baru.

Menurut mereka, kenyataan demi kenyataan mengenai isu itu yang tiada penghujung menyebabkan rakyat semakin resah.

Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dato' Maamor Osman berkata, golongan berpendapatan rendah khususnya perlu bersedia awal bagi menghadapi kenaikan itu.

Beliau berkata, Lim tidak wajar menyatakan bahawa kadar tarif baru elektrik seumpama harga sebungkus rokok.

Kenyataan seperti itu, menurut beliau, boleh menggambarkan kerajaan tidak prihatin dengan masalah rakyat.

Menteri berkenaan pernah berkata, tarif baru elektrik yang akan diumumkan tidak lama lagi, sama dengan harga sebungkus rokok sahaja (harga sebungkus rokok 20 batang RM7).

Maamor berkata, kenyataan terbaru itu pasti mendorong peniaga menjadikannya alasan untuk menaikkan produk dan perkhidmatan mereka.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah mahu kerajaan menetapkan kadar baru tarif elektrik seadil-adilnya terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, ketika ini, rata-rata kadar purata bil elektrik sesebuah isi rumah berpendapatan rendah melebihi RM50.

Justeru kata beliau, kerajaan perlu memastikan bahawa kadar tarif baru elektrik itu tidak memberi kesan kepada golongan tersebut. -mr

Kelantan bakal miliki pelabuhan sendiri

Kelantan bakal miliki pelabuhan sendiri
Rizal Tahir
Thu | May 04, 06 | 7:12:43 pm MYT
PENGKALAN CHEPA, 4 Mei (Hrkh) – Kelantan yang kini semakin sendat dengan pelbagai projek pembangunan akan terus melangkah ke hadapan apabila projek pembinaan pelabuhan menjadi realiti tidak lama lagi.

Khidmat HarakahDaily.Net melalui wap ditutup sementara untuk kerja-kerja penyelengaraan. Harap Maklum.

Pelabuhan itu dijangka dibina di Pantai Sabak dekat sini. Ia bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, projek pembinaan pelabuhan itu kini masih lagi di peringkat kertas kerja untuk diangkat bagi mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Katanya, ada pihak yang berminat untuk membina pelabuhan tersebut memandangkan lokasinya begitu strategik kerana menjadi laluan terdekat menghubungkan Bangkok dan China.

“Selain itu di kawasan yang sama sebuah syarikat berminat untuk membina sekolah penerbangan untuk melatih juruterbang terlatih,” katanya pada satu majlis anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri di sini, baru-baru ini.

Pantai Sabak mempunyai nostagia tersendiri bagi rakyat negara ini apabila ia menjadi lokasi pertama pendaratan tentera Jepun di Tanah Melayu ketika perang Dunia Kedua.

Bagaimanapun pantai itu kini banyak terhakis akibat hakisan ombak. Namun kerja-kerja pembinaan benteng yang dijalankan sekarang berjaya mengurangkan hakisan tersebut.

Pada majlis yang sama Mohd Amar juga berkata, sehingga kini terdapat 3,000 jawatan kosong di kawasan perindustrian Padang Tembak dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Oleh itu, katanya, tidak timbul isu yang mengatakan kerajaan negeri tidak menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, umat Islam harus mencontohi akhlak yang ditunjukkan Nabi Muhammad s.a.w.

“Namun malangnya umat Islam sekarang hanya menyambut Maulidur Rasul dengan berarak beramai-ramai tetapi tidak mengambil intipati daripada perjuangan Nabi s.a.w.

“Kalau setakat berarak beramai-ramai ke hulu ke hilir, tetapi tidak menghayati sirah Nabi, baik tidak payah mengadakan Maulidur Rasul,” katany

Kehadiran kami tidak diterima

Kehadiran kami tidak diterima

SETIAP wanita yang berpeluang mendirikan rumah tangga buat kali kedua pastinya mengharapkan rumah tangga yang dibina itu akan kekal sampai ke akhir hayat.

Pada masa yang sama harapan tinggi menggunung agar kehadiran bersama anak-anak hasil perkahwinan terdahulu akan diterima baik oleh keluarga suami yang baru.

Malangnya tidak semua harapan akan menjadi kenyataan. Rupanya kehadiran tidak diterima sehingga mencetus ketegangan dalam hubungan.

Demikian kisah sedih yang dialami wanita ini yang menamakan dirinya Puteri Balqis kepada saya.

Membaca kisahnya hati saya turut tersentuh. Nyata wanita ini tabah menghadapi ujian walau terpaksa menanggung tekanan perasaan.

Kata Puteri Balqis, dia mahu berkongsi perasaan dan pengalamannya sebagai teladan dan sempadan kepada pembaca.

Bukan niat mengguris perasaan sesiapa tetapi sebagai panduan kepada mereka yang mungkin terjebak dalam masalah yang sama.

Begini pengakuan Puteri Balqis; “Setelah pernikahan pertama gagal kerana orang ketiga, saya bertemu jodoh buat kali kedua dengan seorang duda yang mempunyai tiga orang anak pada pada 2005.

Dianiaya

“Kami hanya berkenalan lebih kurang sebulan, ketika itu suami berumur 48 tahun dan saya 34 tahun.

‘’Merasakan saya akan bahagia di sampingnya setelah dianiaya suami pertama, saya nekad menerima Amin (bukan nama sebenar) dalam hidup saya. Anak-anak walaupun masih kecil merestui pernikahan saya kerana mereka juga perlukan ayah untuk menumpang kasih.

“Tidak seperti pasangan lain, kami bercinta selepas kahwin. Saya nampak ada bezanya dengan cinta sebelum kahwin dan cinta selepas kahwin setelah hidup bersama Amin.

“Walaupun hidup kami tidak mewah tetapi sarat dengan kasih sayang. Suami seorang yang penyabar dan saya rasa bahagia sekali menjadi isterinya.

“Namun, kebahagiaan itu hanya sementara. Saya mula nampak sikap dingin keluarga suami terhadap saya dan anak-anak. Mereka seperti memulau kami, enggan bertegur sapa dan mula menabur fitnah terhadap saya.

“Paling menyedihkan hati, mereka menuduh saya dan anak-anak membebankan suami. Saya juga dituduh berkahwin dengan suami kerana hartanya.

“Tidak pernah terlintas di hati saya untuk mengaut harta suami dan keluarganya. Apa yang saya pentingkan adalah tempat untuk saya dan anak-anak berlindung dan menumpang kasih dalam meneruskan kehidupan kami.

“Anak-anak saya berusia lima dan lapan tahun. Masih kecil dan tidak faham erti kehidupan yang sukar ini terutama dengan masalah yang saya hadapi.

“Tapi mereka anak yang baik, mendengar kata dan pandai membawa diri. Bayangkan bagaimana perasaan anda melihat anak-anak sebaya itu tidak dibenarkan oleh keluarga suami bermain bersama anak-anak mereka.

“Air mata saya mengalir apabila melihat keadaan ini. Sedih sangat. Anak-anak pula bertanya kenapa mereka tidak dibenarkan bermain dengan anak-anak saudara suami yang mereka panggil ayah.

“Apa yang boleh saya katakan melainkan memujuk mereka dengan menyuruh mereka bermain di dalam rumah sahaja.

“Mujur Amin memahami dan berjanji akan menjaga saya dan anak-anak seperti mana dia menjaga dirinya dan anak-anaknya juga.

“Anak-anak tiri saya pula berusia dari 15 hingga 25 tahun. Mereka tidak suka kepada saya sebab dihasut oleh ibu dan bapa saudara mereka supaya jangan berbaik-baik dengan saya. Mereka juga dilarang tinggal bersama saya kerana saya dituduh kuat main bomoh.

“Bagaimanapun anak tiri perempuan terpaksa tinggal dengan saya kerana dia akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) hujung tahun ini.

“Saya berusaha melakukan yang terbaik untuk melayaninya dan mencurah kasih sayang sedaya mungkin. Biarpun ada masa dia buat perangai tapi saya sabar dan berdoa agar satu hari nanti dia akan berubah.

“Perasaan saya semakin terluka apabila adik-beradik dan ipar duai yang tinggal berdekatan juga tidak mahu menegur saya biarpun saya telah berusaha untuk mengalah dengan mereka.

“Mungkin kerana terlalu sayangkan saya, Amin sehingga kini tidak bertegur sapa dengan adik-adiknya yang tinggal di belakang rumah kami. Puncanya dia marah sebab mereka mengata saya dan anak-anak menyusahkan hidup abang mereka.

“Di sebalik sikap tolak ansur yang saya tunjukkan, sehingga kini mereka masih berusaha memburuk-burukkan saya. Namun Allah Maha Berkuasa, ketika mengandung saya dipanggil temuduga. Syukur akhirnya rezeki memihak kepada saya, pekerjaan itu menjadi milik saya.

“Selain mendapat kerja, saya juga selamat melahirkan seorang anak lelaki yang kini berusia tiga bulan. Manisnya lagi saya juga telah membeli sebuah kereta.

Tertekan

“Di sebalik kegembiraan itu saya terus terluka dengan sikap keluarga suami. Saya sedih sangat, luaran nampak saya tersenyum tapi di jauh di sudut hati saya tertekan dengan sikap mereka.

“Bagaimanapun saya akan berusaha untuk menangani masalah ini tanpa berputus asa. Apa yang menggembirakan, Amin sentiasa memberi sokongan terhadap saya.

“Saya amat berterima kasih dan menghargai pengorbanannya untuk saya dan anak-anak walaupun terpaksa berselisih faham dengan keluarganya.

“Sebagai menantu saya berharap mentua akan menerima saya satu hari nanti begitu juga keluarga suami yang lain.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa daripada suami jauh sekali mengaut hartanya. Itu janji saya. Cukuplah seadanya. Apa yang saya inginkan adalah kasih sayang dan perhatiannya untuk membahagiakan rumah tangga kami sehingga ke akhir hayat. Insya-Allah saya akan menjadi isteri yang baik dan menghargai suami seperti mana dia menghargai saya dan anak-anak,’’ kata Puteri Balqis menamatkan ceritanya.

Begitulah yang tersurat dalam hidup Puteri Balqis. Kisah ini baik dijadikan iktibar kepada isteri yang pernah gagal dalam rumah tangga tetapi diberi peluang kedua untuk hidup dalam rumah tangga.

Saya pasti impian dan harapan Puteri Balqis cukup tinggi terhadap suaminya. Namun seperti biasa, ujian dan cabaran pasti akan datang. Tidak dapat dielak.

Di sinilah letaknya kekuatan Puteri Balqis untuk menghadapinya. Soal kasih sayang terhadap suami baru mungkin satu perkara mudah untuk dilakukan tetapi cabaran menghadapi mentua dan ipar duai juga satu masalah besar.

Ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk menangani perasaan dihina, dicaci dan disindir keluarga suami.

Kepada Puteri Balqis, ingin saya tegaskan, bukan mudah mengharungi dugaan rumah tangga. Pun begitu saya pasti anda mampu mengharunginya. Pesanan saya, jangan putus asa. Biarpun mereka enggan menegur, beralah dan tunjukkan muka manis.

Yang penting, jangan hampakan orang, jangan patahkan hati orang.

Menutup kata, jadikan rumah tangga mu sebagai syurga yang sarat dengan kasih sayang dan ketegangan, bukan kalut dengan masalah. Sesungguhnya ketenangan itu satu nikmat. Sebaiknya, kenangkan segala kegembiraan dan kejayaan yang telah dilalui dan lupakan kesulitan dan kesengsaraan. Sesungguhnya, masih ada bahagia yang menanti.’’

Salam

Kegagalan bukan penamat

LUMRAH alam persekolahan, setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan pasti ada yang berjaya dan gagal. Bagi yang cemerlang, mereka boleh mengatur langkah memajukan diri tetapi bagaimana jika kecundang?

Kegagalan sukar diterima dan mengecewakan terutama bagi pelajar bercita-cita tinggi. Bagaimanapun, kegagalan itu bukanlah penamat masa depan sebaliknya mengajar seseorang memperbaiki kelemahan diri.


Memang sukar menerima kegagalan dan menjadi sesuatu yang positif. Diri, fizikal dan mental perlu kuat. Kegagalan boleh menjadi sesuatu yang manis untuk masa depan jika diterima dengan terbuka.

Bagaimana? Dengan kegagalan itu, kita boleh bermuhasabah mengenai kekurangan diri mahupun usaha sudah dilakukan. Mungkin terlupa meneguhkan sesuatu aspek yang memerlukan suntikan dan usaha berganda.

Saya percaya, jika mampu mengatasinya, bukan saja pelajar namun sesiapa saja boleh menikmati kejayaan.

Justeru, pelajar jangan berputus asa. Cuba buang rasa sedih, rendah diri dan malu kerana ia menjadikan seseorang itu semakin lemah.

Secara tidak langsung, ia bakal mewujudkan konflik dan menggagalkan usaha diri mengecapi kejayaan. Ambil pendekatan menghiburkan diri sendiri atau menenangkan minda dengan bersukan, melancong atau mendekatkan diri kepada-Nya.

Perlu diingat, mengukuh dan menguatkan emosi dalaman sangat penting sebelum mengorak langkah seterusnya kerana jika rapuh, anda tidak akan pergi jauh.

Proses pemantapan mengambil masa dan apabila sudah berjaya, mudah 'mendidik' diri agar menerima kegagalan dengan lebih terbuka.

Kuatkan keazaman dan sentiasa berkata “saya juga mampu berjaya seperti orang lain jika sentiasa berusaha”.

Untuk berjaya, ujian dan ranjau tidak boleh dielakkan. Justeru, jangan patah semangat sebaliknya anggap sebagai guru dan pembelajaran terbaik yang tidak mungkin boleh didapati di sekolah.

Malangnya, ramai yang kecundang serta mengambil jalan mudah memusnahkan diri dan masa depan. Antaranya terjebak dalam penyalahgunaan dadah atau terbabit dengan gejala sosial.

Nasihat saya, jangan memusnahkan diri diri sendiri kerana ia akan memalukan ibu bapa atau menjatuhkan maruah diri.

Ibu bapa perlu memberi dorongan kepada anak yang gagal. Jangan sisihkan atau menganggap mereka tiada masa depan.

Kegagalan bukan penamat

Saya faham, tiada ibu bapa mahu melihat kegagalan, namun janganlah menambah beban sedia ada kerana anak-anak memerlukan mereka sebagai penasihat.

Mereka yang gagal seharusnya dibantu bukan dicela mahupun diketepikan.

Justeru, semua pihak perlu sentiasa peka dan pandai melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Ibu bapa menerimanya dengan hati terbuka, guru pula sentiasa memberi semangat.

Bagi yang gagal, berazam memperbaiki diri dan membuktikan kegagalan bukanlah halangan mencipta kejayaan seterusnya.

Saya yakin, kejayaan boleh dicapai daripada kegagalan kerana ia tentu lebih manis dan istimewa.

J-QAF ke arah merealisasikan misi nasional

Selama dua minggu mulai 14 hingga 25 Januari ini, para guru pelatih J-QAF (Jawi-Quran-Arab-Fardu Ain) pengambilan Januari 2008 mula mengikuti minggu orientasi di seluruh institut perguruan di seluruh negara. Program J-QAF yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini mula menampakkan hasilnya kini, memasuki tahun keempat.

Program pendidikan di sekolah rendah ini dimulakan dengan jayanya pada tahun 2005.

Mungkin ramai juga yang tertanya-tanya apakah motif atau objektif utama hasil daripada program J-QAF ini. Untuk memastikan program J-QAF ini mencapai kejayaan yang diidamkan, banyak pengorbanan dan kerjasama daripada semua pihak perlu ditagih.

Yang pasti, program J-QAF setakat ini merupakan program yang paling kurang mendapat bantahan atau sesuatu yang negatif daripada masyarakat umum. Rata-rata masyarakat awam menyokong sepenuhnya hasrat murni kerajaan.

J-QAF adalah program yang berlandaskan keilmuan iaitu membasmi buta huruf dan merungkaikan umat daripada belenggu kejahilan. Aspek yang ditekankan ialah setiap pelajar Muslim mesti boleh menguasai sekurang-kurangnya empat kemahiran asas iaitu J (boleh membaca dan menulis dalam tulisan Jawi), Q (boleh membaca al-Quran dengan fasih dan betul), A (boleh menguasai empat kemahiran asas berbahasa Arab) dan F (boleh menguasai asas-asas fardu ain).

Keempat-empat aspek tersebut sangat penting dalam kehidupan seorang pelajar Muslim terutama pada peringkat asas. Ia saling kait mengait antara satu sama lain. Contohnya, kebolehan seseorang dalam membaca al-Quran dapat membantu dalam pembelajaran Bahasa Arab. Kemahiran berbahasa Arab pula dapat meningkatkan kefahaman seseorang untuk memahami dengan lebih mendalam isi kandungan al-Quran.

Dalam hal ini, pelbagai usaha perlu dilakukan agar apa yang dirancang mendapat hasil yang diharapkan. Semua pihak sama ada kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan korporat, ilmuan, pensyarah, guru, ibu bapa, pelajar dan masyarakat awam perlu memainkan peranan masing-masing.

Sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam program ini, penulis cuba berusaha agar pengajaran dan pembelajaran J-QAF lebih menarik. Sehubungan itu, sesuai dengan bidang tugas penulis sebagai tenaga pengajar di institut perguruan, adalah lebih baik untuk menyumbang dari sudut teknik pengajaran dan pembelajaran J-QAF.

Setakat ini, penulis telah cuba mengemukakan beberapa kaedah baru yang mungkin boleh dijadikan sebagai alternatif untuk memudahkan para pelajar terutamanya dalam menguasai bahasa Arab.

Beberapa kaedah baru tersebut telah diuji secara ilmiah di beberapa sekolah dan didapati telah berkesan. Beberapa kaedah baru lain masih dalam pemerhatian. Di samping itu, terdapat beberapa kaedah yang mungkin memerlukan sedikit masa untuk melihat hasilnya.

Antara kaedah menguasai perbendaharaan kata bahasa Arab yang telah diuji alah kaedah MUKADDAM. Ia adalah ringkasan daripada singkatan (Metodologi Ubahsuai Kalimah Arab Dalam Dialek Alam Melayu). Ini berasaskan fakta terdapat lebih 1,700 perkataan Bahasa Melayu dalam Kamus Dewan berasal daripada bahasa Arab.

Sehubungan itu, modul dibina berasaskan kata pinjaman tersebut. Reka bentuk keberkesanan kajian ialah eksperimen ujian pra dan pasca. Sampel kajian terdiri daripada 180 orang pelajar daripada tiga sekolah yang dibahagikan kepada kumpulan eksperimen dan kawalan. Setelah menduduki ujian pra kumpulan eksperimen diberi rawatan pendekatan MUKADDAM dan kumpulan kawalan diberi rawatan pendekatan tradisional. Selepas menjalani rawatan selama 32 jam pengajaran (12 minggu) kedua-dua kumpulan menduduki ujian pasca.

Dua instrumen digunakan iaitu ujian pra ujian dan pasca untuk menguji pencapaian pelajar dalam kefahaman perbendaharaan kata. Hasilnya menunjukkan pendekatan MUKADDAM lebih berkesan daripada pendekatan tradisional untuk meningkatkan pemahaman perbendaharaan kata bahasa Arab.

Kesimpulannya, kajian ini berjaya membangunkan satu pendekatan alternatif yang berkesan untuk meningkatkan pemahaman perbendaharaan kata bahasa Arab yang berdasarkan kata pinjaman bahasa Arab yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Kaedah mudah

Dengan menggunakan kaedah MUKADDAM ini, para guru J-QAF didedahkan dengan teknik menggunakan perkataan-perkataan Arab yang juga diguna pakai dalam bahasa Malaysia. Antara contohnya ialah insan mahir, loghat, Arab, sebab, iktikaf, karib, masjid dan lain-lain. Sehubungan itu, para pelajar cepat menguasai perbendaharaan kata bahasa Arab dengan mudah.

Jadi, masalah sukar menyiapkan karangan bahasa Arab terutamanya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mungkin boleh diselesaikan dengan cara ini. Ini kerana karangan peringkat SPM memerlukan 150 perkataan sedangkan dalam Kamus Dewan terdapat lebih 1,700 perkataan Melayu yang berasal daripada bahasa Arab. Bukankah ini sesuatu yang mudah bagi pelajar?

Selain itu, terdapat juga beberapa kaedah lain yang didapati telah dapat meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa al-Quran itu di beberapa sekolah. Bagi guru-guru dan ibu bapa yang ingin melihat pelajar berjaya, mereka boleh mencuba beberapa kaedah mudah ini.

Antaranya ialah menggabungkan beberapa kaedah ini. Kaedah itu ialah kaedah MUKADDAM, kaedah guna bahasa badan, menggunakan zikrullah, mempelbagaikan intonasi, menggunakan ayat al-Quran, hadis, kata-kata hikmah dan kaedah panggilan mesra berkomunikasi.

Untuk itu beberapa sekolah yang meminati inovasi baru dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab telah pun mengadakan seminar khas teknik mudah menguasai bahasa Arab bagi para pelajar.

Ini sangat penting bagi memastikan program J-QAF ini dapat merealisasikan misi nasional termasuk wawasan 2020. Kita amat mengharapkan selepas 2020, lepasan pelajar J-QAF yang memperoleh ijazah dalam pelbagai bidang mampu merujuk al-Quran dan hadis untuk meningkatkan daya produktiviti.

Jangan sambut 1 januari ...

Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh saudara Zulkifli Nordin .


Dibawah ini adalah intipati kuliah beliau yang sempat disalin. ..


Diantara lain, beliau mengupas ayat 120, surah Al Baqarah, mafhumnya :-
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka
kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka yang telah
terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk
Allah ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika
engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu
yg memberi)pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau
akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi
pertolongan kepada mu.
Beliau juga menyebut hadith Rasulullah SAW yang berbunyi, lebih kurang :
UmatKu dilalaikan tanpa disedari seperti semut hitam diatas batu hitam
dimalam yang gelap. Siang ia Islam, malam ia kufur; dan siang ia kufur,
malam ia Islam. Yahudi & Nasarah yang tidak redha akan Islam kita akan
menggunakan apa saja cara untuk menyesatkan kita. Sekarang mereka
menggunakan cara yang begitu halus sampai kita sendiri tidak sedar yang
kita telah mengikuti mereka. Tengok saja disekeliling kita ...
Contohnya,haribulan . Berapa ramai yang tahu bahawa cara tarikh Masehi ini

ada kaitannya dengan tuhan mereka



21hb Ogos 2002 AD. Apa maksud AD dibelakang? Makna AD ialah "AnnoDomini"
bahasa Latin yang bermaksud "Anno" ialah aku/saya dan"Domini" ialah tuhan
dilahirkan. Jadi 21hb Ogos 2002 boleh diertikan sebagai"... beberapa hari
setelah tuhan aku dilahirkan. "Nauzubillah ... . Insaflah kita kerana
secara halus kita mungkin termasuk dalam kategori umat Nabi Muhammad SAW
seperti diatas. Sebab tulah kita dianjurkan supaya beristighfar selalu.



Bila sampai 31 Disember, berapa ramaikah umat Islam yang meraikan tahun
baru?Tetapi sedarkah mereka bahawa telah difatwakan oleh Sheikh-ul-Azhar ,
Sheikh Tantawi, Sheikh Yusof Al-Qardhawi dan Ulama2 contemporary bahawa
menyambut 31Dis. bererti menyambut ulangtahun hari jadi tuhan Yahudi &
Nasarah? Bagi mereka yang tidak tahu, hukumnya fasik, tetapi bagi mereka
yang tahu (kita sekarang sudah tahu) hukumnya ialah MURTAD . Nauzubillah.



Sesungguhnya yang baik itu adalah dari Allah S.W.T dan yang kurang
serta salah dan silap adalah dari kelemahan saya sendiri.

Wallahualam. Dapatlah kiranya dipanjangkan, Insyallah kita semua akan

diberikan hidayah'

Ibadah puasa Asyura-ilmh

leh MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS

ALLAH s.w.t. dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah (al-Rahmah) lagi Maha Penyayang (al-Rahman) telah menetapkan sesetengah bulan itu memiliki keutamaan yang lebih berbanding dengan bulan-bulan lain.

Penetapan itu agar Dia dapat memberi ganjaran yang lebih kepada hamba-hamba-Nya pada kadar-kadar masa tertentu itu.

Di antara bulan yang dianggap istimewa adalah Muharam yang merupakan bulan pertama dalam kalendar hijrah.

Ia juga merupakan salah satu dari empat bulan yang penuh berkat.

Firman-Nya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.

“Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.” – (al-Tawbah: 36)

Menerusi firman-Nya; “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)” ia menunjukkan bahawa pada bulan-bulan haram yang mana Muharam adalah salah satu darinya kita dilarang melakukan perbuatan-perbuatan yang terlarang.

Ini kerana dosa melakukan kemungkaran pada bulan-bulan ini adalah lebih buruk balasannya daripada Allah berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Namun begitu bagi mereka yang melakukan amal-amal soleh, ganjaran pahalanya juga adalah lebih tinggi berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi Muhammad s.a.w memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut: “Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Oleh itu hendaklah pada bulan Muharam yang mulia ini kita hindarkan diri daripada melakukan amalan yang dilarang dan mempertingkatkan amal ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. terutamanya ibadah puasa.

Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik puasa setelah Ramadan adalah bulan Allah al-Muharam dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat malam.” – Hadis riwayat Imam Muslim.

Sabda baginda, ‘Bulan Allah al-Muharam’ menunjukkan betapa mulianya bulan Muharam ini. Oleh itu hendaklah kita bersungguh-sungguh untuk berpuasa sebanyak mungkin pada bulan Muharam. Namun ini tidak bermakna kita disyariatkan untuk berpuasa sepanjang bulan ini kerana Rasulullah s.a.w. hanya berpuasa sebulan penuh pada bulan Ramadan sahaja.

Aisyah r.a. berkata: “Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Pada bulan Muharam ini juga terdapat hari yang digelar sebagai Asyura iaitu hari di mana Nabi Musa a.s. dan pengikutnya diselamatkan oleh Allah daripada tentera Firaun.

Nabi s.a.w. datang ke Madinah dan dilihatnya orang-orang Yahudi, berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka: Ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa daripada Firaun. Maka sabda Nabi s.a.w, Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Melalui hadis itu juga dapat kita fahami bahawa amal ibadah khusus sempena hari Asyura yang diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w. ialah ibadah puasa. Ternyata berpuasa pada hari Asyura ini memiliki kelebihan atau fadilat yang begitu besar.

Ibnu Abbas r.a. pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura, beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sehari pada hari Asyura untuk mencari kelebihan atau fadilat yang tidak ada pada hari-hari selain hari ini. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Berpuasa pada hari Asyura juga dapat menghapuskan dosa-dosa kita pada tahun sebelumnya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.” – Hadis riwayat Imam Muslim.

Allah juga mengurniakan taufik-Nya kepada mereka yang berpuasa pada hari Asyura. Dari Ibnu ‘Umar r.a., dia berkata: ”Tidaklah seorang hamba berpuasa di dalamnya (hari Asyura) kecuali puasanya akan memberikan taufik kepadanya.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Disunahkan juga untuk menambahkan puasa pada hari Asyura tersebut dengan berpuasa sehari sebelum ataupun sehari sesudahnya. Rasulullah s.a.w. memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi.

Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.” – Hadis riwayat Imam Ahmad.

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah: Susunan (kelebihan) puasanya ada tiga, yang paling sempurna ialah puasa (dimulakan) sehari sebelumnya dan sehari selepasnya, berikutnya (boleh juga) puasa pada hari kesembilan (Tasu’aa) dan kesepuluh (‘Asyura), terdapat banyak hadis dalam perkara ini, berikutnya pula (boleh juga) puasa pada 10 Muharam sahaja. - Rujuk Zaad al-Ma’ad.

Rasulullah s.a.w. tidak pernah memerintahkan amalan ibadah lain untuk dikhususkan sempena hari Asyura melainkan ibadah berpuasa sebegini sahaja.

Oleh itu sebaik-baiknya kita berusaha untuk mengamalkan sunah Nabi s.a.w.

* MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS ialah Penolong Naib Presiden Bahagian Perbankan

Perniagaan, Affin Bank Berhad.

Harga getah asli terus meningkat

Harga getah asli terus meningkat

Oleh Shariza Abdullah

ALOR STAR 15 Jan. – Harga getah asli diramal akan meneruskan trend meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang berikutan jangkaan peningkatan permintaan bagi komoditi tersebut di pasaran.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, ramalan itu disokong oleh jangkaan penurunan harga bahan api fosil di pasaran dunia, sekali gus membolehkan pengeluaran getah asli bersaing dengan getah sintetik.

‘‘Jika harga bahan fosil api rendah, pengeluaran bagi getah sintetik akan meningkat dan harga getah sintetik juga kekal pada harga yang amat mahal.

‘‘Keadaan ini membolehkan harga getah asli mengejar harga getah sintetik kerana apabila pengeluaran getah sintetik meningkat, pengeluaran getah asli turut meningkat.

‘‘Jadi saya menjangkakan harga getah asli akan terus kekal pada sekitar harga sekarang,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat dua hala kementerian itu dengan kerajaan negeri, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Fah Kui berkata, pengeluaran getah asli dijangka terus bertambah ekoran harga pasaran semasa yang tinggi sekali gus akan menggalakkan pekebun kecil meningkatkan aktiviti penorehan.

Katanya, berdasarkan harga semasa, pekebun kecil yang memiliki kebun getah seluas kira-kira dua hektar mampu meraih pendapatan sehingga RM38,000 setahun menerusi sistem torehan kekerapan rendah (LITS) dengan hanya menoreh sebanyak sembilan kali dalam sebulan.

Katanya, Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan membina sebuah lagi stesen penyelidikan yang berperanan sebagai pusat pembangunan perindustrian getah membabitkan kos pelaburan sebanyak RM20 juta di Sungai Sari, daerah Padang Terap tidak lama lagi.

Katanya, projek bersepadu merangkumi ladang dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) baka getah itu adalah untuk pasaran tempatan dan eksport.

Projek perintis fasa pertama projek yang dikenali sebagai kluster industri getah itu melibatkan tanah seluas 3,200 hektar.

“Ia juga dijangka meletakkan Kedah sebagai pengeluar utama getah negara,’’ katanya.

Mahdzir pula berkata, selain getah, kerajaan negeri akan menumpukan kepada industri pengeluaran kenaf dengan 30 hektar tanah

Frasa baru pendidikan

Hak sama rata timba ilmu
DUNIA pendidikan negara memperoleh suntikan baru dan mampu menjana pembangunan nilai modal insan dengan pengumuman Bajet 2008 dibentang, baru-baru ini.

Bermula peringkat sekolah rendah, menengah dan tinggi, bajet berkenaan memperuntukkan jumlah besar demi memastikan mutu pendidikan negara dipertingkat bagi melahirkan generasi berilmu.

Dengan peruntukan RM30 bilion kepada Kementerian Pelajaran, pelajar institusi pengajian tinggi tempatan mendapat kenaikan biasiswa antara 23 hingga 84 peratus dan bagi pengajian di universiti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada, kenaikan sehingga 97 peratus.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Abdul Rashid Mohamed, berkata pendidikan negara perlu memasuki frasa baru dengan memperhebatkan kemampuan pelajar menerokai pelbagai kemahiran dan pencapaian akademik.

Menurutnya, peruntukan bajet itu membuktikan hasrat kerajaan memberi pendidikan terbaik bermula daripada peringkat rendah hingga tertinggi.

“Untuk melahirkan generasi berkualiti, asas utama adalah pendidikan awal yang betul kerana mempengaruhi pembentukan peribadi dan pemikiran seseorang.

“Dalam usia masih muda, mereka mudah menyerap ilmu serta boleh dicorakkan dengan asas disiplin bagi pemantapan sahsiah.

“Penekanan pertama mesti dilakukan pada peringkat awal persekolahan bukan institusi persekolahan saja tapi dengan sokongan ibu bapa dan masyarakat kerana ini boleh merangsang pembentukan minda pelajar mengenai tanggungjawab belajar,” katanya.

Bermula tahun depan, pendidikan di peringkat rendah dan menengah di negara ini percuma, ini meringankan bebanan ibu bapa kurang berkemampuan memberi pendidikan terbaik kepada anak.

Pada masa sama, memansuhkan beberapa yuran tahunan sekolah rendah dan menengah serta memperluaskan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak.

Ia juga dianggap langkah terbaik menyamaratakan hak memperoleh pendidikan berkualiti di kalangan masyarakat.

Dr Abdul Rashid berkata, apabila pelajar sekolah rendah diasuh dengan mekanisme sesuai, kredibiliti boleh dipertingkat dengan mudah kerana kemampuan berfikir berkembang.

Menurutnya, pada peringkat ini, kepentingan pendidikan harus dilaksanakan dengan serius sebagai persediaan berdepan peperiksaan penting sekali gus melayakkan mereka memasuki menara gading.

“Dalam transformasi ilmu, hendaklah dilakukan secara berterusan kerana ia membentuk penyaluran maklumat penting dalam diri pelajar. Jika maklumat tidak mantap, penafsiran juga berbeza.

“Peringkat ini adalah antara proses terpenting dalam membentuk masa depan pelajar bagi merencana masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, dia berkata semua usaha itu memerlukan kesinambungan berterusan bagi melihat hasil sepertimana disasarkan.

“Kesinambungan itu, perlu dimulakan sejak di bangku sekolah rendah lagi secara berterusan. Untuk menyuntik kecemerlangan, kena tahu apa fungsi sekolah dan menekankan aspek akademik dan vokasional.

“Asas dan fungsi pendidikan negara perlu diperhalusi selain melihat misi negara yang disasarkan untuk masa depan. Misalnya, kalau ingin menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan Islam terkemuka, pelbagai pihak perlu menekankan kepentingan subjek seperti bahasa Arab.

“Dengan cara itu, kesinambungan dapat diteruskan selain berupaya mencapai aspirasi negara,” katanya.

Pada peringkat pendidikan tinggi, kerajaan memperuntukkan RM12 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek dan program pengajian tinggi termasuk meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan di empat Universiti Penyelidikan.

Kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mencapai sasaran 200,000 pelajar menjelang 2010, manakala Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan akan dinaik taraf.

Ini memperlihatkan usaha pelbagai pihak untuk menaikkan taraf institusi pendidikan di peringkat antarabangsa selain melahirkan golongan masa depan berkualiti.

Namun, ia sukar dilaksanakan jika pelajar masih tidak berubah selain dibelenggu masalah disiplin.

Satu kajian dijalankan mendapati antara punca kegagalan pelajar disebabkan faktor persekitaran seperti tempat kediaman sesak atau bising, pengurusan sekolah kurang berkesan termasuk aspek disiplin dan masalah pembelajaran pelajar yang kurang kefahaman dan lemah.

Bagi menanganinya, pelbagai program berprestij dikaji serta diperkenalkan, antaranya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan Program Sekolah Cemerlang bertujuan memartabatkan profesion keguruan.

Selain itu, pendekatan pelbagai pihak yang hanya mementingkan sistem peperiksaan juga perlu diubah bagi melahirkan golongan pelajar berkeyakinan tinggi terutama bagi memenuhi permintaan kerjaya.
emel Emel Artikel cetak