Saturday, December 6, 2008

UPNM bakal tubuh 2 fakulti baru 2012


KUALA LUMPUR 25 Nov. - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merancang menubuhkan Fakulti Perubatan Ketenteraan dan Fakulti Penerbangan dan Sains Angkasa menjelang 2012.

Naib Canselornya, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, perkara itu telah dipersetujui di peringkat lembaga universiti dan akan dibentangkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedikit masa lagi.

Beliau memberitahu, penubuhan fakulti itu selari dengan pengiktirafan UPNM sebagai Universiti Fokus oleh KPT, yang memberi perhatian terhadap perkembangan kepimpinan serta sains ketenteraan dan pertahanan.

Katanya, penubuhan dua fakulti itu antara lain dapat merancakkan lagi pembangunan pengetahuan dalam bidang perubatan penerbangan di negara ini.

''Selain itu, para pelajar yang meminati jurusan itu berupaya mempelajarinya dalam negara dan ini adalah lebih mudah dan ekonomi," katanya pada sidang akhbar bersempena upacara Perbarisan Diraja dan Pentauliahan Pegawai Kadet UPNM yang akan diadakan pada 4 Disember depan.

Menurutnya, walaupun universiti itu memfokuskan kepada bidang ketenteraan dan pertahanan, namun ia turut menerima 20 peratus pelajar awam dalam setiap sesi pengambilannya.

Katanya, perkara itu selari dengan penubuhan UPNM yang diwartakan di bawah Akta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sejak 2006.

Zulkifli daripada perkhidmatan Tentera Darat merupakan Naib Canselor UPNM berkuat kuasa 1 September lalu menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Ismail Samion daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

No comments: