Saturday, December 6, 2008

Ramai bakal hilang pekerjaan



YEE Moh Chai (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Ekspo Kerjaya 2008, Datuk Abidin Madingkir melawat tapak pameran ekspo di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 6 Dis. - Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah menjangkakan ramai rakyat di negeri ini akan kehilangan pekerjaan berikutan krisis ekonomi dunia terutama pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Yee Moh Chai menggesa rakyat di negeri ini supaya berdaftar dengan Pusat Kerjaya Sabah bermula sekarang bagi memastikan kadar pengangguran tidak terlalu tinggi.

"Dalam perkara ini, Pusat Kerjaya Sabah mempunyai peranan penting dalam mendaftar dan membantu mereka mendapat pekerjaan lain," katanya ketika berucap pada Ekspo Kerjaya 2008 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Likas dekat sini hari ini.

Beliau berkata, pusat tersebut juga perlu melipat gandakan usaha mencari pekerja-pekerja baru sebagai persediaan awal kerajaan dalam menghadapi masalah kehilangan pekerjaan.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja-pekerja asing dalam sektor tertentu untuk memberi keutamaan kepada rakyat tempatan.

Dalam pada itu, katanya, beliau turut mengingatkan rakyat Sabah supaya berhati-hati apabila berdaftar dengan ejen mencari pekerjaan di Singapura bagi mengelak daripada tertipu.

"Seperti yang maklum, ramai belia kita yang pergi bekerja di Singapura telah ditipu oleh ejen yang tidak sah dan bertanggungjawab. Di Sabah hanya ada satu ejen yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja negeri," katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, seramai 5,474 pencari kerja di Sabah sudah berdaftar dengan pusat tersebut sejak ia dibuka pada bulan lalu.

Katanya, seramai 300 majikan juga sudah pun mendaftar dengan pusat tersebut dan diharapkan langkah berkenaan dapat membantu mereka yang mencari kerja.

Pada masa yang sama, Moh Chai meminta pusat tersebut agar meningkatkan sistem penyampaian dan mengurangkan kerenah birokrasi bagi memudahkan pencari kerja berurusan.

Mengenai ekspo berkenaan, beliau mengalu-alukannya kerana dengan cara itu pencari kerja akan diberi pendedahan lebih banyak tentang dunia pekerjaan selain mendapat maklumat terkini.

Menurutnya, ekspo itu yang diadakan selama dua hari, merupakan platform terbaik bukan sahaja kepada pencari kerja tetapi sebagai tempat untuk memperkenalkan syarikat masing-masing.

Katanya, difahamkan seramai 89 majikan swasta, pembekal latihan dan ejen kerajaan terlibat dalam ekspo ini dan oleh itu, adalah penting peluang seperti ini dimanfaatkan sepenuhnya.

No comments: