Saturday, December 6, 2008

205 terima biasiswa Maybank



penerima anugerah biasiswa tajaan Maybank bersama Mohamed Basir (tengah) di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Dis. - Malayan Banking Bhd. (Maybank) memperuntukkan biasiswa RM1.8 juta untuk 205 mahasiswa tahun ini.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Mohamed Basir Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 54 mahasiswa adalah penerima baru.

Menurutnya, 151 mahasiswa lain adalah penerima biasiswa yang sedia ada dan sedang menuntut pada tahun kedua dan akhir di beberapa universiti tempatan.

''Setiap mahasiswa akan menerima RM7,000 dan satu komputer riba jenis Dell berharga RM4,000,'' katanya semasa berucap pada majlis penyampaian biasiswa Maybank sebelum menyampaikan anugerah biasiswa di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Sumber Manusia Kumpulan Maybank, Nora Abd. Manaf dan ibu bapa mahasiswa tersebut.

Dalam majlis yang sama, enam siswazah yang juga pemegang biasiswa Maybank dan mendapat kelas satu turut menerima anugerah khas.

Mohamed Basir berkata, walaupun Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurang 3.50 menjadi syarat utama permohonan biasiswa, pihak bank menerima lebih daripada 1,300 pemohon.

''Di Maybank, penerima biasiswa diberi peluang untuk mengembangkan kerjaya mereka hasil inisiatif Jabatan Sumber Manusia bank.

''Kami juga melaburkan sejumlah RM56.1 juta untuk program latihan semata-mata,'' katanya.

Sementara itu, Nora memberitahu, semua penerima biasiswa dipilih daripada pelbagai disiplin termasuk sains, kejuruteraan, undang-undang dan sastera.

Menurut beliau, kepelbagaian disiplin itu akan memperkayakan sumber manusia bank itu kelak.

Anugerah Biasiswa Maybank diwujudkan pada 1972 dan setakat ini, lebih 1,000 siswazah mendapat manfaat daripada biasiswa itu.

No comments: