Saturday, December 6, 2008

UIAM korporatkan bakal siswazah



Dekan Kuliyyah Ekonomi & Sains Pengurusan UIAM, Prof. Dr. Mansor H. Ibrahim (kiri) bertukar dokumen dengan Mohd. Najib Abdullah (kanan) sambil diperhatikan oleh Pengerusi MIDF, Tan Sri Mahmood Taib (dua dari kanan) dan Dr. Syed Arabi Aidid di UIAM, Gombak, baru-baru ini.


UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini tampil sebagai institusi pengajian tinggi kedua tempatan dalam usaha Kumpulan Industri Pembangunan Kewangan Malaysia (MIDF) 'mengkorporatkan' bakal siswazah dalam kerjaya profesional di sektor kewangan global.

Seramai 20 mahasiswa tahun akhir yang cemerlang dalam bidang berkaitan di UIAM akan dipilih oleh MIDF untuk berkhidmat dalam program berkonsep 'berkhidmat sambil belajar' di syarikat berkenaan.

Proses pemilihan 'mengkorporatkan' bakal siswazah itu dibuat melalui kerjasama yang dimeterai pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UIA-MIDF baru-baru ini.

Rektor UIA, Prof. Datuk Dr. Syed Arabi Aidid yang mengalu-alukan langkah MIDF itu, menyifatkan usaha tersebut adalah strategi paling ideal dan berkesan dalam mencerna sumber kepakaran manusia akan datang.

Malah kata beliau, program seumpama itu tidak hanya baik untuk pelajar malah sesuai serta wajar diperluaskan di kalangan petugas ahli akademik di universiti.

"Sebenarnya kalangan petugas ahli akademik sendiri turut memerlukan latihan praktikal melalui 'berkhidmat sambil belajar' dengan agensi berkaitan sebegini untuk pendedahan terus dengan permasalahan semasa secara realiti," katanya.

Dengan cara tersebut tambah Dr. Syed Arabi, proses pengajaran, pembelajaran serta penyelidikan para pensyarah dalam melaksanakan tugas mengembangkan keilmuan akan lebih berkesan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Mohd. Najib Abdullah pula berkata, apa yang diusahakan pihaknya selain memenuhi aktiviti sosial syarikat, turut berperanan untuk membantu menjana bakal siswazah yang berskil dan benar-benar profesional apabila memasuki pasaran pekerjaan.

Menurutnya, melalui program tersebut, mahasiswa tahun akhir yang terpilih akan mengalas tugas dan tanggungjawab sebagaimana petugas tetap di MIDF.

"Mereka akan dibayar gaji dan berkhidmat mengikut masa sebagaimana pekerja tetap malah akan berpeluang untuk terus diserap sebagai anggota MIDF jika mereka menunjukkan prestasi baik dan berminat," jelasnya.

Sebelum ini MIDF menjalin kerjasama dengan Universiti Multimedia Malaysia (UMM) melalui penyediaan 20 kuota untuk pelajar tahun akhir yang mendapat keputusan cemerlang berkhidmat sambil belajar di agensi berkenaan.

Melalui program dan usaha menyerapkan mahasiswa di tahun akhir sebagai petugas sepenuh masa itu kata Mohd. Najib, MIDF yakin dapat dapat membantu kerajaan melahirkan pekerja kewangan yang profesional di masa akan datang.

Malah tambah beliau, ia akan membantu mengurangkan masalah pengangguran di kalangan siswazah apabila mereka menamatkan pengajian masing-masing.

No comments: