Saturday, December 6, 2008

RM50 juta untuk GSM-UPM, GSB-UKM



Mohamed Khaled Nordin (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Prof. Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin (kanan) dari UKM selepas mengumumkan sekolah perniagaan utama di Malaysia dan melancarkan Kolokium Perniagaan Antarabangsa Pasca Siswazah 2008 di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 2 Dis. - Kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada Sekolah Pengurusan Siswazah (GSM) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sekolah Perniagaan Siswazah (GSB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bersaing lebih cemerlang di peringkat global.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu diberikan sejurus kedua-dua sekolah terbabit diiktiraf sebagai sekolah perniagaan utama di negara ini.

Katanya, sebanyak RM25 juta diberikan kepada setiap sekolah terbabit iaitu RM13.5 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan infrastruktur manakala RM11.5 juta lagi bagi pembangunan insan.

''Kedua-dua sekolah tersebut dipilih berdasarkan pencapaian kualiti kakitangan akademik, kajian pendidikan dan pembelajaran serta kualiti pasca siswazah.

''Selain inovasi pendidikan, hubungan akrab antara universiti tempatan dan antarabangsa serta konsep pembelajaran autonomi turut menjadi kriteria pemilihan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan Sekolah Perniagaan Utama di Malaysia seterusnya merasmikan Kolokium Perniagaan Antarabangsa Pasca Siswazah di sini hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, sembilan daripada 11 fakulti perniagaan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menawarkan program pengajian peringkat sarjana yang diyakini dapat mencapai standard antarabangsa.

''Kita harap pengiktirafan ini dijadikan penanda aras oleh IPTA lain untuk berusaha mencapai program pengajian yang kompetitif dan relevan bukan sahaja untuk pasaran negara tetapi melangkaui pasaran guna tenaga antarabangsa," katanya.

Status GSM-UPM dan GSB UKM sebagai sekolah perniagaan utama akan terus diiktiraf dan seterusnya berusaha mencapai penghormatan standard akreditasi.

''Kita akan memberi peluang kepada universiti lain untuk cuba mentransformasi sistem pendidikan mereka dalam usaha mengukuhkan pengajian tinggi negara," katanya.

No comments: