Saturday, December 6, 2008

5,000 siswazah dipilih ikuti SME-University Internship



Muhyiddin Yassin dan Mohamed Khaled Nordin menyaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan (kiri) dan Ketua Eksekutif Smidec Datuk Hapsah Hashim (kanan) bertukar-tukar dokumen perjanjian di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 1 Dis. - Seramai 5,000 siswazah dari 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan dipilih menyertai program latihan keusahawanan di lebih 1,200 buah industri kecil dan sederhana (IKS) seluruh negara yang akan bermula tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, para siswazah yang dipilih daripada semua bidang pengajian di universiti itu akan menjalani latihan selama tiga hingga enam bulan.

''Berbeza dengan program latihan keusahawanan yang lain, di bawah program yang dikenali sebagai SME-University Internship ini, empat hingga lima orang siswazah ditempatkan di setiap IKS untuk menjalani latihan.

''Selain menjalani latihan bagi melengkapi diri mereka dengan kemahiran dan pengalaman berkaitan keusahawanan, mereka juga dapat bertindak sebagai perunding yang boleh membantu IKS terbabit mengembangkan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan Perbadanan Pembangunan IKS (Smidec) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohamed Khaled memberitahu, program itu juga akan menitikberatkan soal membudayakan keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan di kalangan siswazah.

''Berdasarkan statistik Kajian Pengesanan Graduan 2006, daripada 108,275 lepasan universiti yang dilahirkan, hanya 5.4 peratus sahaja yang menceburi bidang keusahawanan.

''Melalui program latihan sedemikian, siswazah terbabit bukan hanya dapat mempelajari konsep perniagaan secara praktikal tetapi juga mengenal pasti cabaran serta cara untuk mengatasinya," katanya.

Sementara itu pada sidang akhbar yang sama, Muhyiddin berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperuntukkan RM3 juta untuk program latihan keusahawanan itu.

''Peruntukan itu meliputi elaun makanan, pengangkutan dan keperluan-keperluan lain yang difikirkan perlu bagi memastikan program itu berjalan lancar," katanya.

No comments: