Saturday, December 6, 2008

Tepung biji cempedak



Biji cempedak yang biasanya dibuang kini menjadi kandungan berkhasiat dalam pembuatan pasta.


Cempedak atau nama saintifik Artocarpus integer merupakan tanaman yang biasa di kawasan Asia Tenggara. Biasanya hanya isi cempedak yang manis dan berserat dimakan, sama ada secara mentah atau digoreng.

Cempedak dikatakan mempunyai keasidan paling rendah di antara ahli keluarga Moraceae.

Rasanya yang manis ditambah dengan serat dan kandungan nutrien tinggi dan memberikan pilihan kepada penyediaan pasta herba yang bebas gluten bagi pasaran global.

Tepung bijirin bebas gluten diperbuat daripada biji cempedak dan diperisakan dengan daun selasih.

Pengguna biasanya menggunakan tepung daripada gandum atau beras tetapi tidak banyak yang diketahui mengenai tepung yang dihasilkan daripada biji cempedak.

Penghasilan tepung biji cempedak akan dapat mengurangkan pencemaran memandangkan bahan ini biasanya dibuangkan begitu saja tanpa nilai.

Bagaimanapun kajian menunjukkan biji cempedak boleh dijadikan pasta dan sesuai bagi mereka yang ada alahan dengan penyakit celiac.

Biji cempedak tidak mempunyai gluten dan sebanyak satu peratus populasi manusia tidak boleh mengambil gluten.

Biasanya biji cempedak akan dibuang begitu saja dan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapati biji cempedak mempunyai kandungan nutrien yang tinggi berbanding isi cempedak.

Menurut pensyarah kesihatan awam dan keselamatan makanan, dari Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelancongan, UiTM, Prof. Datin Toh Poh See, kajian yang dijalankan menunjukkan biji cempedak boleh digunakan untuk menghasilkan tepung bagi membuat pasta yang lebih enak dan ini boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

“Tepung bagi menghasilkan pasta saja mendapat pasaran di dalam negara tetapi juga boleh dikembangkan ke luar negara terutama di Asia Tenggara memandangkan masing-masing mempunyai sumber yang sama.

“Sebelum ini tepung biji cempedak telah dijadikan roti tetapi kini dijadikan pasta yang berkhasiat,” katanya semasa ditemui semasa Pameran BioMalaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, menambah pasta biji cempedak amat sesuai bagi menggantikan bijirin dan mereka yang mengalami masalah alergi kepada gluten.

Tepung biji cempedak bukan saja boleh berkhasiat tetapi boleh membantu dalam menangani masalah pencemaran.

No comments: