Saturday, December 6, 2008

Pensyarah UPM menang anugerah penyelidik


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Profesor Taufiq Yap Yun Hin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Penyelidik Muda MASS 2008 daripada Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia.

Anugerah tersebut disampaikan kepada Taufiq baru-baru ini bersempena Persidangan Serantau Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal ke-24 yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, anugerah tersebut hanya diberikan kepada penyelidik yang menjalankan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi keadaan pepejal.

"Penyelidikan saya adalah berasaskan kepada pemangkin mengunakan vanadium fosforus oksida (VPO) sebagai mangkin untuk tindakbalas hidrokarbon kepada bahan petrokimia yang lebih berguna.

"Mangkin ini telah berjaya disintesis dan diubahsuaikan sehingga mendapat aktiviti dan pemilihan pemangkin yang tinggi," katanya.

Beliau yang juga penyelaras, Pusat Kecemerlangan Sains dan Teknologi Katalisis, Fakulti Sains telah berjaya memfailkan dua paten untuk teknologi penghasilan mangkin.

Beliau menjelaskan, kaedah tersebut dapat mengurangkan penggunaan larutan organik dan bahan sisa buangan serta penghasilan mangkin VPO dalam struktur nanopartikel yang dapat meningkatkan keberkesanan mangkin.

Selain itu, beliau juga menjalankan kajian fotodegradasi ke atas bahan toksik organik dengan menggunakan titanium oksida dan penghasilan bahan aktif karbon daripada bahan buangan pertanian

Anugerah tersebut disampaikan kepada beliau oleh Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Shamshulkahar Mohd. Deli.

Taufiq turut menerima wang tunai berjumlah RM1,000 dan sijil penghargaan.

No comments: