Friday, July 4, 2008

UUM anjur program realiti on-line

UUM anjur program realiti on-line

KAMPUS

ALOR STAR 2 Julai - Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menganjurkan program realiti pencarian bakat terpendam graduan universiti secara on-line iaitu D' graduate-the Star Search.

Program dengan kerjasama Mypath Sdn. Bhd., Jaring dan sebuah tabloid berbahasa Inggeris itu disasarkan kepada pelajar sarjana muda tahun akhir daripada semua bidang pengajian di UUM.

Program tersebut akan dilancarkan pada 8 Julai ini di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen, universiti berkenaan.

Pengarah Jabatan Canselori UUM, Mohd. Zaini Nasri berkata, program berbentuk realiti on-line ini bermatlamat menonjolkan bakat terpendam graduan berkebolehan dalam pengurusan kerjaya yang berumur dari 21 hingga 26 tahun serta warganegara Malaysia.

"D'graduate ini menggunakan sistem mentor bagi membantu calon merealisasikan impian mereka dan ia mengambil masa selama enam minggu bagi menentukan graduan yang layak bergelar bintang.

"Program ini boleh melahirkan mahasiswa yang mempunyai pemikiran positif, inisiatif diri, keyakinan dan pengetahuan seiring dengan seruan kerajaan yang menggalakkan perkembangan multimedia dan pembangunan teknologi maklumat di negara kita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, program tersebut memberi peluang kepada bakal graduan UUM memperoleh pekerjaan kerana organisasi-organisasi yang berkaitan dijemput untuk melihat video persembahan peserta melalui portal yang dibina khas bersama MyPath Sdn. Bhd. dan Jaring.

Katanya lagi, D'graduate merupakan satu-satunya program seumpama itu di Malaysia dan pelajar boleh mengikuti program tersebut tanpa sebarang bayaran.

"Pemilihan pemenang akan ditentukan oleh pengundi yang terdiri daripada pelajar UUM tidak kira semester yang dibuat secara online dan juga oleh panel juri yang dilantik khas," ujarnya.

Beliau berkata, program ini merupakan sokongan kepada perkembangan modal insan dan menyokong misi dan visi UUM.

Menurut beliau, kemuncak kepada pertandingan ini ialah pemenang akan diberikan pekerjaan atau latihan industri di organisasi penaja di samping menerima hadiah lumayan dan juga sijil penyertaan.

Sehubungan itu, mereka yang berminat boleh menghubungi Rafidah Mahayuddin di talian 04-9285793 atau Pusat Jaringan Universiti-Industri (UIL) di talian 04-9285193/5194.

No comments: