Wednesday, July 2, 2008

Serah tubuh umpan Along

Harian Metro Online http://www.emedia.com.my/


KUALA LUMPUR: Ada wanita yang meminjam daripada ceti haram atau Along
sanggup memberi perkhidmatan seks kerana bimbang diambil tindakan kekerasan
apabila gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh ditetapkan.

Walaupun tiada laporan polis kerana wanita berkenaan malu berbuat demikian
tetapi Biro Pengaduan Awam MCA mendapat tahu ia dilakukan golongan wanita
yang terdesak dan amat memerlukan wang dalam tempoh segera.

Pengerusinya, Michael Chong, berkata ketika mengambil keputusan meminjam
dengan ceti haram, sesetengah wanita tidak memikir langsung risiko atau
tindakan kekerasan ceti haram jikaA gagal membuat pembayaran semula.

"Bagaimanapun, selepas wang pinjaman digunakan, kebanyakannya menghadapi
masalah untuk membuat bayaran balik mengikut tempoh ditetapkan apatah lagi
kadar faedah yang dikenakan ceti haram tinggi.

"Berikutan amaran dipukul atau tindakan kekerasan lain, kebanyakan wanita
yang gagal menjelaskan pembayaran itu terpaksa menawarkan perkhidmatan seks
sebagai cara mudah penyelesaian," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, katanya ada juga suami yang meminjam daripada ceti haram gagal
membayar balik sehingga keselamatan anak dan isteri terancam serta menjadi
mangsa gangguan ceti haram.

"Kita banyak menerima aduan daripada isteri bahawa suami mereka meminjam
daripada ceti haram beribu-ribu ringgit untuk pelbagai tujuan termasuk
berfoya-foya dan berjudi tetapi akibatnya ditanggung anak isteri.

"Ada isteri yang mengalami tekanan mental, fobia ketakutan dan tidak ada
wang untuk membeli makanan berikutan diganggu ceti haram selepas suami
mereka gagal membuat balik pembayaran mengikut tempoh ditetapkan.

Beliau mengakui, taktik yang sering digunakan ceti haram jika suami gagal
membayar balik pinjaman ialah dengan mengganggu keluarga si peminjam secara
psikologi.

Katanya, ceti haram sanggup melakukan apa sahaja seperti melarikan
anak-anak, mengunci pintu pagar dan memotong bekalan elektrik bagi memberi
tekanan serta menakutkan keluarga peminjam.

"Selain itu, kita menerima aduan ceti haram sanggup memalukan keluarga si
peminjam dengan menampal kad pengenalan suami di merata tempat dan menulis
perkataan kesat seperti "orang ini tidak berguna" di sekeliling kad
pengenalan itu.

"Jika taktik berkenaan gagal, mereka akan menulis perkataan menggunakan
dakwat merah dengan tulisan besar di dinding rumah keluarga atau di mana
sahaja bagi memalukan keluarga si peminjam.

"Perbuatan itu memberi tekanan emosi kepada keluarga si peminjam menyebabkan
anak-anak malu ke sekolah dan isteri takut untuk keluarga dari rumah dan
bergaul dengan jiran," katanya.

Chong berkata, tidak semua ceti haram gemar melakukan tindakan kekerasan
atau jenayah, sebaliknya jika peminjam sengaja enggan membayar dan melarikan
diri, mereka (ceti haram) akan terus menganggu keluarga peminjam.

Pihaknya pernah mengadakan perbincangan dengan kumpulan ceti haram itu dan
mendapati Along boleh dibawa berbincang dan peminjam yang gagal membayar
balik jangan lari sebaliknya memaklumkan kepada mereka (ceti haram) secara
baik.

"Mereka marah sebab peminjam kerap kali menipu. Peminjam berjanji membayar
hutang tetapi tidak datang.

"Ini menyebabkan kumpulan ceti haram itu marah kerana mereka juga
menjalankan perniagaan walaupun mengakui kadar faedah yang dikenakan adalah
tinggi.

"Sesetengah ceti haram tidak kisah jika peminjam tidak membayar faedah yang
dikenakan asalkan wang yang diambil itu dibayar semula mengikut jadual,"
katanya.

Chong mengakui, kegiatan ceti haram di ibu kota membimbangkan berikutan
sambutan menggalakkan daripada orang ramai termasuk peniaga kecil yang
menghadapi masalah mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.

Katanya, biro berkenaan berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes membabitkan
ancaman ceti haram tahun lalu. Tiada kes bunuh atau kekerasan yang berlaku
dan peminjam setuju untuk membayar balik.

No comments: