Tuesday, July 22, 2008

IPTS cemerlang dipromosi ke luar negara


PELAJAR Kolej Islam Sultan Alam Shah bersama hadiah yang dimenangi selepas diumum johan Debat Bahasa Arab Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 15 Julai - Kementerian Pengajian Tinggi akan mengenal pasti institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang baik untuk dipromosikan di peringkat antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelajar asing melanjutkan pelajaran di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian akan melihat kembali peranannya untuk menjadi pemudah cara bagi IPTS dalam usaha mengantarabangsakan sistem pendidikan negara.

''Dalam soal mengantarabangsakan sistem pendidikan negara terutama dalam aspek kemasukan pelajar, IPTS memainkan peranan yang sangat penting,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) dan kerajaan Republik Yemen serta Rezzen (M) Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Mengenai dakwaan pengusaha IPTS yang tidak mendapat insentif daripada kerajaan dalam usaha menarik ramai pelajar asing ke negara ini, Mohamed Khaled berkata, kementerian dan IPTS mempunyai hubungan yang sangat baik.

Menurutnya, mereka sentiasa berbincang dan bertukar-tukar pendapat selain saling bantu membantu antara satu sama lain.

Mohamed Khaled berkata, pihak kementerian akan meminta Kementerian Kewangan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat yang menyediakan tabung serta biasiswa kepada pelajar universiti.

Jelas beliau, syarikat yang berbuat demikian perlu diberi galakan dari segi pengecualian cukai kerana telah menunaikan tanggungjawab sosial korporat mereka.

''Kementerian akan mengemukakan usul itu kepada kerajaan agar dapat menggalakkan lebih banyak syarikat memberi bantuan kewangan kepada pelajar universiti di negara ini,'' ujarnya.

No comments: