Friday, July 4, 2008

Pembangunan pendidikan diutamakan

Pembangunan pendidikan diutamakan

KLUANG 19 Jun - Pembangunan bidang pendidikan akan terus diutamakan walaupun kerajaan menghadapi masalah ekonomi ekoran kenaikan harga minyak sekarang, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Beliau berkata, bidang pendidikan merupakan asas penting dalam memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Pelajaran akan terus menyalurkan peruntukan kepada sekolah-sekolah agar pelajar dapat menimba ilmu dengan sempurna.

"Kita juga akan memastikan semua projek berjalan lancar walaupun terlewat sedikit," katanya ketika merasmikan Program Bakti Siswa Daya Wawasan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Bersama Kemas Parlimen Sembrong di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Melayu Chamek di sini hari ini.

Menurutnya, perkembangan ekonomi terkini merupakan ujian kepada rakyat yang memerlukan mereka terus bersatu menghadapinya kerana kenaikan harga minyak bukan sahaja berlaku di negara ini, tetapi di seluruh dunia.

"Oleh itu kita tidak boleh menyalahkan kerajaan, sebaliknya bekerjasama dengan mengamalkan hidup berjimat-cermat," katanya.

Beliau kesal kerana kenaikan harga minyak sekarang dijadikan isu oleh pihak tertentu untuk menyalahkan kerajaan tanpa meneliti fakta sebenar yang terjadi.

"Adalah mudah untuk menuding jari berbanding menyelesaikan masalah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar memberikan kerjasama kepada kerajaan tanpa terikut-ikut rentak pihak tertentu bagi membantu menangani segala masalah yang timbul.

Menurutnya, masyarakat boleh menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat jika terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk keuntungan diri seperti menaikkan harga makanan di kantin sekolah.

No comments: