Tuesday, July 22, 2008

PRPI, UPM ketengah 350 penyelidikan



Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

SEBANYAK 350 produk penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan dipamerkan pada Pameran Reka cipta, Penyelidikan dan Inovasi (PRPI 2008) yang akan diadakan dari 29 hingga 31 Julai ini di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang, Selangor.

Pengerusi PRPI 2008, Prof. Madya Dr. Irmawati Ramli berkata, pameran kali ini mengenengahkan hasil penyelidikan dan penemuan baru yang berpotensi untuk dikomersialkan.

“Setiap penyertaan ke pameran ini perlu memenuhi kriteria sama ada teknologi penyelidikan tersebut telah memperolehi status pemeliharaan harta intelek atau telah diterbitkan dalam jurnal indeks petikan.

“Pameran ini diharapkan dapat menarik pelabur daripada pihak industri dan usahawan kecil dan sederhana yang berminat untuk mengkomersilkan inovasi terbaru UPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang awam dan pelajar-pelajar sekolah terutamanya persatuan rekacipta sekolah yang berminat turut dijemput untuk menyaksikan inovasi dan reka cipta UPM

Dr. Irmawati berkata PRPI 2008 yang bertemakan ‘Pembudayaan Penyelidikan Berimpak Tinggi’ telah diadakan sejak tahun 1997 untuk melonjakkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) UPM.

Katanya pelawat berpeluang melihat produk UPM yang telah dikomersialkan dan penerbitan berfaktor impak tinggi bagi tahun 2007, selain galeri pameran kejayaan UPM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Satu Kuiz Tunas Putra juga dianjurkan pada hari kedua pameran khusus untuk pelajar Tingkatan Empat dan Lima Sekolah Menengah di sekitar Serdang,” katanya yang berharap pihak berminat dengan PRPI melayari http://www.upm.edu.my untuk maklumat lanjut.

No comments: