Tuesday, July 22, 2008

Hentikan tuntut UiTM untuk semua kaum


Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Julai - Mana-mana orang bukan Melayu yang cuba menuntut supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum diingatkan agar menghentikan sahaja hasrat tersebut.

Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad (gambar) berkata, walaupun setakat ini belum ada yang secara terbuka menuntutnya, namun kemungkinan wujud cubaan ke arah itu adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan.

Ketika dihubungi di sini hari ini, beliau berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan orang Melayu, UiTM sudah tentu mempunyai sejarah panjang kepada perjuangan dan pengorbanan orang Melayu.

Menurut beliau, tentu sekali keharmonian negara boleh terjejas jika kedudukan UiTM disentuh.

"Mungkin selepas Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), timbul pula soal biasiswa (Jabatan Perkhidmatan Awam). Jadi, tidak mustahil lepas ini, ada yang minta UiTM buka pintu kepada bukan Melayu pula.

"Namun, jangan ingat bila minta itu dapat, minta ini dapat, UiTM pula hendak dijadikan sasaran. Jika ada yang bergerak ke arah itu, saya nasihatkan hentikanlah saja.

"Perlu diingat UiTM bukan sahaja institusi pendidikan orang Melayu, tetapi ia juga jambatan penghubung keharmonian kaum. Jadi, jangan biarkan ia rosak,'' kata beliau.

Abdul Rahman yang juga Pro-Canselor UiTM berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah semalam bahawa UiTM tidak boleh diperluaskan kepada kaum lain.

Ibrahim berkata, sebagai institusi bumiputera, terutama bagi orang Melayu, keistimewaan yang ada pada UiTM harus dipertahankan sampai bila-bila.

Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu, walaupun UiTM menjadi hak orang Melayu, namun dasar tersebut tidak sedikit pun menutup peluang orang bukan Melayu dalam bidang pendidikan.

Katanya, terdapat 17 buah lagi universiti awam selain 36 buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang membuka peluang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja.

"UiTM ini pada saya tidak pun membawa apa-apa pengertian kepada mereka (bukan Melayu) kerana ada 17 IPTA dan 36 IPTS lagi.

"Kalau IPTS, siapa yang menguasainya? Melayu tidak mampu. Janganlah tempat yang pelajar Melayu mampu ini pun nak cuba diganggu,'' jelasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman percaya bahawa kedudukan UiTM boleh dipertahankan kerana ia terletak pada keazaman politik iaitu pada kerajaan.

"UiTM sendiri masih ke arah mencapai sasaran 200,000 pelajar. Kita belum pun sampai ke tahap kapasiti itu, tetapi ada pula kemungkinan yang mahu pintunya dibuka,'' ujarnya.

Sementara itu, Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) menegaskan, UiTM tidak boleh disamakan dengan mana-mana institusi termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang telah dibuka ruangnya kepada bukan Melayu.

Setiausaha Satu MMMM, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, UiTM adalah institusi yang ditubuhkan berasaskan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak istimewa Melayu.

"UiTM mempunyai akta penubuhannya sendiri yang sekali gus menjadikannya berbeza dengan universiti awam yang lain.

"Justeru, seharusnya dasar UiTM kekal seperti mana hari ini untuk menjadi institusi pendidikan bumiputera khususnya dalam bidang profesional,'' katanya.

Beliau menambah, sejarah UiTM itu sendiri sejak dari zaman Allahyarham Datuk Onn Jaafar sehinggalah ia muncul sebagai sebuah universiti harus dikaji dan difahami sebelum ada yang cuba menuntutnya dibuka kepada semua kaum.

"Kedudukan UiTM mempunyai makna tersendiri buat orang Melayu. Jadi, lebih baik jangan ada yang berhasrat mengubahnya.

"Setakat ini tiada yang menuntutnya secara terbuka, tetapi siapa tahu mungkin selepas MRSM dan lain-lain, ada pula cuba mengintai UiTM,'' katanya.

No comments: