Sunday, May 25, 2008

UM diiktiraf paling cemerlang dalam bidang penyelidikan 2007

UM diiktiraf paling cemerlang dalam bidang penyelidikan 2007

PUTRAJAYA 16 Mei - Universiti Malaya (UM) diiktiraf sebagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang paling cemerlang dalam bidang penyelidikan bagi tahun 2007, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, pengiktirafan itu berdasarkan Sistem Penarafan IPTA (Setara) yang diseliakan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan dibantu oleh satu panel yang terdiri daripada empat wakil IPTA dan seorang wakil bebas.

''Pengiktirafan terhadap universiti berkenaan hari ini dibuat berasaskan enam kriteria utama melibatkan reputasi kakitangan akademik, pilihan pelajar, penyelidikan, program akademik, sumber dan pengurusan.

''Dalam bidang yang sama, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing menduduki tempat kedua serta ketiga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun dan Datuk Hou Kok Chung.

Sebanyak 17 IPTA terlibat dalam kajian sistem Setara yang pertama kali diadakan itu dan ia dilakukan dalam tempoh dua tahun sekali.

Bagaimanapun, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Imam Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia tidak terlibat dalam kajian itu kerana masih baru diwujudkan.

Mohamed Khaled memberitahu, dalam sistem yang sama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) diiktiraf sebagai Universiti Umum IPTA yang terbaik.

Beliau menambah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula diiktiraf sebagai Universiti Khusus IPTA yang terbaik.

"Saya percaya dengan adanya sistem Setara itu, maka dalam tempoh dua tahun sekali, kita boleh melihat ada penambahbaikan dan perubahan kepada IPTA yang terlibat.

"Sistem berkenaan juga akan membolehkan kita tahu di mana kedudukan IPTA kita sebenarnya dan apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki kedudukannya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan memperluaskan penggunaan sistem Setara itu untuk Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tidak lama lagi.

No comments: