Sunday, May 25, 2008

Telefon Walkman dengan skrin sesentuh

Telefon Walkman dengan skrin sesentuh

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
semua ikon yang tertera pada skrin boleh dikendalikan secara terus dan merupakan pintasan terbaik bagi memacu aplikasi yang disediakan.

KEHADIRAN telefon Sony Ericson W960 jelas menjadi pelengkap portfolio siri rangkaian ‘Walkman’ sekali gus meletakkan tanda aras baru dalam siri pembuatannya.

Secara jujur, pada peringkat awal menerima model tersebut untuk diguna uji, reka bentuknya sudah cukup memikat penulis tetapi berasa agak kekok untuk mengendalikannya.

Namun, setelah meneliti aplikasi dan sistemnya buat seketika, didapati W960 merupakan sebuah telefon multimedia yang pintar dan unggul dari segi prestasinya.

Dimulakan dengan rekaannya, W960 diselaputi dengan binaan plastik secara total, iaitu bahagian hadapan permukaan menampilkan warna hitam kilat dan bahagian belakang pula berwarna hitam legap.

Dalam pada itu, lapisan bahagian tengah model tersebut diwarnakan dengan warna putih yang membuatkan rekaan lebih menarik.

Tetapi lebih jelas, pengendalian yang cekap sememangnya benar seperti dijanjikan dengan memperlihatkan penerapan teknologi sesentuh pada skrin paparan dan pada masa yang sama model tersebut juga hadir dengan pad kekunci konvensional bagi memudahkan pengguna.

Penulis sangat teruja kerana teknologi sesentuh pada skrin paparan itu sangat memudahkan pengendalian aplikasi dan menguruskan tugasan yang pelbagai pada suatu masa.

Kesemua ikon yang tertera pada skrin boleh dikendalikan secara terus dan ini merupakan pintasan terbaik bagi memacu aplikasi yang disediakan.

Kehadiran teknologi pintar ini sama seperti ciri yang diterapkan oleh pembuatan telefon pembantu digital peribadi (PDA).

Prestij

Bagi sudut prestasi pula, W960 telefon yang menyokong kepada jaringan telekomunikasi generasi ketiga (3G) itu pasti berupaya melebarkan lagi aktiviti sambungan dilakukan selain dilengkapi dengan kemudahan WiFi.

Ini adalah bagi memastikan pengguna sentiasa mendapat akses kepada rangkaian Internet dan menggunakan kemudahan panggilan video.

Pada masa sama, Internet dapat dilayari dengan pantas bergantung kepada capaian kawasan dan rangkaian liputan.

Diperhatikan juga, W960 menampilkan antara muka terbaru yang begitu terperinci dalam mengurus sistem runut bunyi secara komprehensif .

Antara muka terbaru itu didapati mudah pengguna dan menjadikan ia mudah dikendalikan oleh sesiapa sahaja.

Seperti yang diketahui ramai, sebagai alat pemain muzik dengan sistem kualiti bunyi yang tinggi nyata tidak dapat ditandingi sekali gus menjadikan ia prestij kepada siri pembuatan telefon bimbit Walkman.

Dalam pada itu, kehadiran ruang simpanan memori berkapasiti 8 Gigabait (GB) nyata membolehkan pelbagai fail audio mahupun video disimpan dengan ruang simpanan yang luas.

Bagaimanapun, model ini tidak mempunyai slot kemudahan kad memori dan memori berkapasiti 8GB itu dijangka sudah mencukupi untuk dijadikan ruang simpanan.

Ruang simpanan tersebut berupaya menyimpan rakaman foto, video, lagu-lagu dan pelbagai fail dan aplikasi luaran secara optimum.

Berteraskan kamera 3.2 mega piksel, meskipun hasil rakamannya tidak sehebat siri telefon Sony Ericsson CyberShot, tetapi ia sudah memadai bagi menghasilkan gambar yang jelas lagi berkualiti.

Ditambah dengan skrin paparan yang luas, pengalaman tontonan video boleh dikatakan mengasyikkan.

Secara keseluruhan, W960 merupakan model penambahbaikan W950 yang sebelum ini tidak didatangkan dengan kemudahan kamera dan sambungan WiFi.

Selepas menggunakan W960, pujian boleh diberikan kepada model ini kerana ia mampu memenuhi ciri keperluan pengguna masa kini.

Spesifikasi

- Dilengkapi dengan kemudahan sambungan Bluetooth, USB dan radio FM.

- Perisian khas PhotoDj yang berfungsi mengedit warna imej mengikut kehendak masing-masing.

- Ruang simpanan memori berkapasiti 8 Gigabait (GB)

-Skrin paparan luas bersaiz 2.6 inci

- Kamera 3.2 mega piksel.

- Teknologi antara muka UIQ memudahkan khidmat pesanan ringkas ditulis.

No comments: